Penyakit Jantung Dalam Kehamilan, Bolehkah Diambil Mudah? – Dr Mardiana Kipli

Sumber: www.ihearteatwelllivewell.org

Sumber: www.ihearteatwelllivewell.org

Semua wanita ingin normal dan sihat ketika hamil serta melahirkan anak tanpa sebarang masalah. Namun begitu, wanita yang sedia ada mengalami penyakit jantung sebelum berkahwin seringkali mendapat tekanan daripada saudara-mara dan keluarga untuk mempunyai anak. Hal ini boleh memberi tekanan kepada pesakit dalam golongan ini. Dengan pembacaan rencana ini, diharap anda akan memahami kesan-kesan tertentu yang mungkin dialami ibu-ibu berpenyakit jantung semasa kehamilan.

Penyakit jantung ketika kehamilan bukanlah kontraindikasi (larangan) untuk hamil tetapi bergantung sepenuhnya pada keadaan penyakit jantung itu. Pakar kardiologi (jantung) akan menentukan sama ada seseorang pesakit itu termasuk dalam kategori penyakit jantung teruk atau ringan berdasarkan penilaian aktiviti seharian menggunakan panduan daripada Persatuan Jantung New York (NYHA). Sesetengah pesakit mungkin memerlukan ekokardiogram untuk melihatkan kerosakan dan mengesahkan diagnosis. Biasanya, pesakit yang mengalami masalah jantung yang ringan dan tidak mengambil sebarang ubat untuk merawat kegagalan jantung atau antibiotik pencegah boleh hamil dengan selamat.

Apa yang berlaku kepada jantung ketika kehamilan?

Dalam trimester pertama, isipadu plasma akan meningkat dalam badan. Ini bermaksud isipadu darah akan bertambah sehingga 40 peratus sehingga minggu ke-28 kehamilan. Kesannya, jantung perlu bekerja lebih keras dengan meningkatkan kadar pengepaman darah dan pengeluaran. Jantung juga perlu bekerja pada daya maksimum ketika tahap kedua kelahiran bayi, iaitu ketika bersalin atau meneran. Jantung seorang wanita yang sihat boleh menampung stres dalam keadaan tersebut. Tetapi bagi pesakit yang mempunyai penyakit jantung, jantung yang bekerja terlalu kuat mungkin gagal pulih semula. Pesakit mungkin menjadi tidak sedarkan diri.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya anda hamil?

Sebaik sahaja kehamilan disahkan, pemeriksaan penuh akan dilakukan ketika pendaftaran di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) untuk menilai keadaan anda. Hemoglobin hendaklah padai paras optimum, sebaiknya melebihi 10gm/dl untuk mengelakkan tekanan terlalu tinggi kepada jantung disebabkan anemia. Kad antenatal anda akan dilabel kod MERAH. Ini bermaksud anda perlu berjumpa dengan ahli obsterik (sakit puan) di hospital tertiari di klinik gabungan bersama pakar kardiologi. Ini adalah bagi memastikan sebarang tanda dan simptom kegagalan jantung seperti sesak nafas, sakit dada pada waktu malam, bengkak kedua belah kaki atau kulit kebiruan (sianosis) dikesan awal. Ekokardiografi akan dilakukan setiap trimester untuk memastikan jantung berupaya menahan stres perubahan ketika kehamilan. Di samping itu, anda akan perlu berjumpa dengan pakar anestesia (bius) untuk memeriksa jika anda perlukan sokongan ICU selepas bersalin.

Adakan bayi saya terkesan?

Terdapat risiko sekatan disebabkan ketumbuhan dalam rahim atau saiz bayi yang kecil ketika kehamilan disebabkan kekurangan bekalan oksigen sekiranya jantung anda tidak mengepam dengan baik. Dalam penyakit jantung yang serius, bayi mungkin mengalami kematian dalam rahim disebabkan kekurangan oksigen dan perfusi plasenta yang rendah (kurangnya bekalan oksigen kepada plasenta) kepada bayi dalam kandungan. Sekiranya anda mewarisi atau mengalami penyakit jantung kongenital (sejak lahir) dari kecil, bayi anda mempunyai risiko 1 hingga 3 peratus untuk mewarisi penyakit ini daripada anda. Dalam kes ini, rujukan awal ke unit fetomaternal untuk imbasan di minggu 18 ke 22 kehamilan adalah perlu bagi menyaring sebarang kemungkinan penyakit jantung kongenital pada bayi. Sesetengah penyakit jantung mungkin memerlukan ubat pencair darah (antikoagulan) atau warfarin semasa kehamilan. Ubat-ubat ini boleh melepasi plasenta dan imbasan teliti diperlukan ketika kehamilan kerana bayi mungkin terjejas.

Bolehkah saya bersalin secara normal sekiranya saya berpenyakit jantung?

Keadaan jantung anda akan diperiksa oleh pakar kardiologi sepanjang kehamilan. Oleh itu, adalah penting untuk tidak terlepas sebarang janji temu lanjut. Mereka (pakar kardiologi dan ahli obsterik) akan menentukan masa yang sesuai untuk kelahiran bayi, sebolehnya dalam situasi terkawal dan terancang di mana ketersediaan pakar terjamin ketika proses bersalin. Dalam kes di mana keadaan jantung semakin teruk, pesakit mungkin perlu melahirkan anak lebih awal untuk mengelakkan kemerosotan kesihatan ibu. Kaedah kelahiran akan ditentukan oleh doktor bergantung pada jenis penyakit jantung. Pada penyakit jantung yang lebih teruk, pembedahan Caesarean elektif adalah pilihan utama bersama sokongan ICU untuk bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. Bagi ibu-ibu yang dirasakan sesuai untuk kelahiran melalui vagina, epidural analgesia disyorkan untuk mengelakkan sebarang stres tambahan ketika bersalin. Bersalin menggunakan instrumen perlu dilakukan dalam kes-kes tertentu untuk mengelakkan tekanan berlebihan pada jantung ketika meneran sewaktu bersalin.

Saya mempunyai penyakit jantung yang teruk dan hamil tanpa sengaja. Apa perlu saya lakukan?

Hal ini antara perkara biasa tetapi menyukarkan keadaan yang diperiksa di hospital. Sekiranya kandungan masih dalam trimester awal, pakar kardiologi akan memeriksa ibu bersama si bapa. Kaunseling yang wajar dan teliti akan dilakukan bersama ahli obsterik tentang prognosis. Mereka perlu sedar bahawa melambatkan kehamilan mungkin merisikokan hidup pesakit dan membawa kepada mortaliti ibu (kematian). Dalam keadaan tertentu, sekiranya pasangan masih berhasrat mengambil risiko setelah kaunseling teliti, pesakit akan membuat lawatan lanjutan bersama ahli obsterik dan pakar kardiologi secara bulanan. Kelahiran awal dicadangkan sekiranya pesakit menunjukkan sebarang kemerosotan keadaan jantung yang boleh membahayakan kedua-dua nyawa pesakit serta bayi.

Bolehkah pesakit berpenyakit jantung ringan hamil lagi?

Perkara ini bergantung kepada keadaan jantung mereka. Penjarakan selang 2 tahun adalah penting untuk memberi masa untuk badan kembali ke fungsi normalnya. Biasanya ahli obsterik akan menasihati kumpulan pesakit ini untuk mempunyai jumlah anak yang kecil kerana keadaan jantung pada kehamilan masa depan sukar dijangka. Pil hormon gabungan hendaklah dielakkan. Penggunaan alat kontraseptif dalam rahim (IUCD) masih dibahaskan bergantung kepada jenis penyakit jantung. Pil, suntikan, atau implan yang mengandungi progestron antara pilihan yang sesuai. Namun begitu, sila rujuk kepada ahli obsterik terlebih dahulu mengenai pencegah kehamilan terbaik yang sesuai dengan keadaan jantung anda.

Bagaimana pula jika saya mempunyai penyakit jantung yang teruk?

Dalam sesetengah keadaan jantung yang mengancam nyawa seperti kardiomiopati, mitral stenosis yang teruk, penyakit Eisenmengger atau hipertensi pulmonari, kehamilan perlu dielakkan kerana kehamilan itu sendiri meningkatkan risiko mortaliti ibu (kematian) sebanyak 50 peratus. Biasanya untuk pesakit dalam golongan ini, pakar kardiologi akan merujuk mereka kepada ahli ginekologi untuk nasihat mencegah kehamilan. Bagi mereka yang telah melengkapkan keluarga, pengikatan tiub pada kedua-dua belah antara pilihan yang ada. Tetapi perlu diingati bahawa ketika prosedur pengikatan tiub, anestesia (bius) itu sendiri merupakan risiko yang boleh membahayakan nyawa. Pil kontraseptif campuran hormon juga tidak sesuai disebabkan kesan sampingan yang menyebabkan pembekuan darah (trombogenik). Vasektomi bagi suami adalah pilihan terbaik.

Opppss…saya terdengar desiran!

Desiran jantung (heart murmur) adalah bunyi bergelora yang boleh didengar menggunakan stetoskop. Ini adalah pemeriksaan rutin yang perlu dilakukan oleh doktor di mana-mana klinik ketika tempahan atau lawatan lanjut. Sekiranya doktor anda terdengar desiran, beliau tidak boleh lupa memeriksa untuk sebarang tanda-tanda penyakit jantung lain pada pesakit. Desiran ketika kehamilan kemungkinannya normal (fisiologikal), tetapi desiran abnormal (patologikal) perlu diasingkan juga. Oleh itu, bagi para doktor di luar sana, pastikan anda menjalankan auskultasi pada jantung pesakit dengan baik supaya dapat mengesan sebarang penyakit jantung yang tidak didiagnos sebelum itu. Anda pasti terkejut mengetahui ramai wanita sihat yang tidak mengetahui mereka mempunyai masalah jantung. Sebaik sahaja anda mengesan perkara ini, jangan teragak-agak untuk merujuk kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut. Jangan lupa menepuk belakang sendiri kerana anda telah mengambil langkah pertama dalam menyelamatkan nyawa pesakit dan mengelakkan mortaliti ibu disebabkan penyakit jantung.

Dr. Mardiana Kipli M.D (UNIMAS) merupakan seorang pakar Obsterik dan Ginekologi yang bertugas di Kuching. Rencana ini diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dari rencana asal di https://www.mmgazette.com/heart-diseases-in-pregnancy-should-we-take-it-lightly-dr-mardiana-kipli/ oleh Nur Nadhirah.

Rujukan:

  • ThorneSA, Nelson-Piercy. Risks of contraception and pregnancy in heart disease. Heart 2006; 922:1520-525.
  • Nelson Piercy C. handbook of obstetric medicine. Informa healthcare 2010; 4:19-39
  • Sarris I, Bewley S. Training in obstetrics and gynaecology, the essential curriculum. Oxford 2009;148-156
  • David ML, Philip NB. An evidence based text for MRCOG. Hodder Arnold 2010; 2:59-64

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box