Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut : Apa Yang Saya Perlu Tahu? – Dr Shaiful Ehsan

Umum mengetahui penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) seringkali terjadi di kalangan kanak-kanak yang mana kebanyakannya akan sembuh dengan sendirinya berserta rawatan sokongan di rumah. Namun baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan peningkatan kes tersebut sehingga ke peringkat wabak yang merbahaya. Mengapa ini boleh terjadi? Apakah kita juga berisiko menghidapi penyakit ini?

Apakah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)?

Sumber gambar: 5s

Penyakit ini juga dikenali sebagai “Hand, foot and mouth disease” atau singkatannya HFMD iaitu penyakit yang mudah berjangkit di mana pesakit hadir dengan demam berserta dengan bintik-bintik merah dan ruam air, yang akhirnya memecah pada kulit di kaki dan tangan. Ia juga menyebabkan luka dan ulser pada rongga mulut yang mana boleh menyebabkan pesakit berasa sakit untuk menelan dan makan.

Demam yang dikaitkan dengan HFMD selalunya tidak tinggi iaitu tidak melebihi 38.30c. Namun, penyakit HFMD juga boleh berlaku tanpa kehadiran demam. Walaupun ciri-ciri utama HFMD adalah ruam air pada tiga kawasan utama iaitu tangan, kaki dan mulut, namun ianya juga boleh terjadi pada salah satu tempat sahaja. Kebanyakan ruam ini juga akan hilang pada hari ketiga dan keempat bermulanya demam.

Siapakah yang cenderung untuk mendapat jangkitan HFMD?

HFMD mudah merebak di kalangan kanak-kanak dan di tempat awam seperti sekolah dan taska. Namun ianya juga boleh berlaku pada golongan dewasa.

Apakah kuman yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)?

Kuman yang menyebabkan berlakunya penyakit HFMD adalah virus yang dikenali dari kumpulan Enterovirus – iaitu kuman virus yang biasanya berada dan merebak melalui lendir daripada saluran pernafasan dan saluran pemakanan manusia. Antara jenis virus yang selalunya menyebabkan wabak adalah dikenali dengan nama “Coxsackievirus A16” and “enterovirus A71”.

Coxsackievirus A16 selalunya meyebabkan penyakit HFMD yang mudah untuk sembuh dengan sendirinya tanpa sebarang komplikasi. Manakala virus Enterovirus A71 selalunya akan menyebabkan kesan jangkitan yang agak teruk seperti demam yang lebih tinggi dan berlarutan serta keadaan badan yang lemah. Ia juga boleh menyebabkan kawasan ruam yang lebih luas dan banyak. Kuman ini juga boleh merebak kepada paru-paru, jantung dan otak yang mana akhirnya boleh membawa kepada kegagalan organ untuk berfungsi dengan baik. Ini seterusnya akan mengakibatkan kematian.

Berapa lamakah pesakit HFMD dijangka sembuh?

Tempoh kesembuhan dari jangkitan HFMD adalah berbeza-beza. Namun secara umumnya, pesakit akan sembuh dalam tempoh lima hingga 10 hari. Walau bagaimanapun, pesakit akan mudah menyebarkan jangkitan kepada orang lain dalam tempoh tujuh hari pertama menghidapi HFMD.

 

Bagaimana kuman ini boleh merebak?

Kuman ini boleh merebak melalui lendir-lendir daripada saluran pernafasan dan pemakanan seperti hingus, air liur dan juga najis. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan pada kulit yang mengalami ruam air atau luka. Justeru, pesakit yang mengalami gejala-gejala HFMD perlulah di kuarantin di rumah dan tidak melawat atau berada di tempat-tempat awam seperti taska dan sekolah.

Apa yang perlu saya lakukan jika saya mengesyaki saya mahupun anak saya mengalami HFMD?

Sumber gambar: Livestrong

Sesiapa sahaja yang mengesyaki dirinya menghidapai HFMD, sama ada dewasa mahupun kanak-kanak perlulah berjumpa dengan pihak doktor di klinik dengan segera. Ini kerana pengecaman kes HFMD boleh dilakukan oleh pihak doktor melalui pertanyaan gejala-gejala yang dihidapi dan pada keadaan kulit, mulut dan pemeriksaan badan yang lainnya pada masa itu. Ini adalah penting supaya notifikasi kepada pihak kesihatan dapat dilakukan agar langkah-langkah pengesanan dan pencegahan dapat dijalankan dengan segera untuk mengelakkan wabak daripada berlaku di kawasan tersebut. Notifikasi oleh pihak doktor kepada unit kesihatan akan dilakukan seawal yang boleh dalam tempoh 24 jam.

Adakah darah perlu diambil untuk mengesan jangkitan HFMD?

Pengambilan sampel darah daripada pesakit HFMD kebiasaannya adalah tidak perlu. Ini kerana pihak doktor boleh mengenalpasti penyakit HFMD melalui gejala-gejala yang ada dan keadaan badan pesakit ketika diperiksa. Namun pengambilan sampel seperti dari rongga mulut dan lendir pada ruam adalah penting dalam siasatan oleh unit kesihatan terutama ketika wabak. Pengambilan sampel yang lebih lanjut seperti darah adalah perlu ketika keadaan pesakit adalah teruk atau berbeza daripada kebiasaan HFMD dan juga ketika pesakit dimasukkan ke hospital untuk mengenalpasti jenis virus yang merebak.

Apakah rawatan untuk penyakit HFMD?

Rawatan utama untuk penyakit HFMD secara umum adalah rawatan sokongan di rumah. Iaitu menggalakkan pesakit berehat di rumah dan mengambil air dan makanan secukupnya. Namun, rawatan susulan di hospital adalah perlu jika keadaan pesakit menjadi teruk atau berbeza seperti demam yang terlalu tinggi, lemah, tidak bermaya, tidak lalu makan, muntah berterusan, sawan, nafas menjadi laju atau sesak nafas.

Pesakit juga perlu dimasukkan ke hospital jika tiada sokongan yang cukup di rumah seperti ketiadaan penjaga atau pihak ibu bapa tidak berdaya memberi rawatan di rumah. Justeru itu, pihak kerajaan telah memperkenalkan cuti khas untuk salah seorang penjaga untuk menjaga anak yang menghidapi HFMD di rumah.

Apakah komplikasi penyakit HFMD?

Keadaan HFMD yang teruk boleh meyebabkan pesakit tidak lalu makan dan kekurangan air. Virus yang merebak dengan pantas juga boleh menyebabkan kegagalan organ dalam berfungsi dengan baik dan boleh menyebabkan kematian. Justeru, pemantauan yang kerap amatlah penting sama ada di rumah atau di hospital.

Adakah terdapat vaksin yang dapat mengelakkan jangkitan HFMD?

Sehingga kini, masih belum terdapat vaksin yang dicipta untuk mencegah jangkitan HFMD. Ianya masih dalam tempoh kajian.

Apa yang saya boleh bantu untuk mengelakkan wabak HFMD daripada berlaku?

Untuk mengelakkan daripada wabak HFMD berlaku, setiap individu mahupun penjaga apabila megesyaki diri atau anak jagaan mereka menghidapi HFMD perlulah berjumpa dengan pihak doktor dengan kadar segera. Mereka juga perlulah mengasingkan diri mereka daripada bercampur gaul dengan orang ramai. Cuti sakit yang diberi perlulah diamanahkan dengan sewajarnya dengan menjaga diri mahupun anak di rumah. Kebersihan diri perlulah dijaga seperti membasuh tangan terutama apabila berjumpa atau mengendalikan pesakit HFMD. Untuk penjaga yang menjaga anak-anak yang lebih kecil, penjagaan kebersihan yang lebih rapi juga perlulah diamalkan terutama apabila membersihkan najis anak dan ketika menukar lampin. Elakkan daripada berkongsi penggunaan sudu, cawan dan barang-barang peribadi yang lain ketika dijangkiti HFMD dan kesemuanya hendaklah senantiasa dibasuh dengan betul sehingga bersih selepas digunakan.

Pihak taska dan pusat jagaan kanak-kanak juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalankan saringan bagi memastikan kanak-kanak tiada sebarang tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum mereka dibawa ke pusat jagaan dan dibenarkan bercampur dengan kanak-kanak yang lain. Sekiranya ada kanak-kanak yang dilihat mengalami tanda-tanda jangkitan HFMD, pihak guru atau taska perlulah mengasingkan kanak-kanak tersebut di bilik yang sesuai sehingga pihak ibu bapa atau penjaga datang membawa kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan rawatan. Kebersihan di taska dan di sekolah juga perlulah senantiasa dititikberatkan.

Kesimpulannya, penyakit HFMD adalah penyakit yang mudah berjangkit dan boleh membawa maut sekiranya teruk. Langkah terbaik untuk mencegah penyakit ini daripada menjadi wabak adalah dengan mengamalkan kebersihan oleh semua pihak.

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan. Dr Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan klinik kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

Rujukan:

Jose R Romero (2018) UpToDate: Hand, foot, and mouth disease and herpangina.

Hand, foot and mouth disease – Clinical Practice Guidelines, Ministry of Health, Malaysia.

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) – Hand, Foot and Mouth Disease (2017).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box