G6PD ialah sejenis enzim yang diperlukan untuk menstabilkan membran sel darah merah. Kekurangan enzim G6PD akan menyebabkan sel darah merah rosak dan pecah (hemolisis) apabila terdedah kepada jangkitan, ubat-ubatan atau makanan tertentu. Kekurangan enzim ini adalah keadaan yang diwarisi melalui keturunan. Ia ditentukan oleh bahan baka yang dibawa oleh kromosom X. Oleh itu kebanyakan mereka yang mempunyai kekurangan enzim G6PD adalah kaum lelaki, manakala kaum perempuan biasanya adalah pembawa.
Kebanyakan pesakit yang mempunyai kekurangan enzim G6PD jarang mengalami sebarang gejala atau komplikasi. Namun, pesakit kekurangan enzim G6PD perlu berwaspada terhadap infeksi (jangkitan), beberapa ubat-ubatan dan makanan yang tertentu seperti kacang parang yang boleh menyebabkan sel darah merah musnah lebih awal daripada tempoh matangnya. Akibatnya, pesakit akan mengalami gejala penyakit kekurangan darah (anemia) seperti pucat, sesak nafas, lemah, tidak bermaya, degupan jantung yang laju, penyakit kuning (jaundice) dan pembesaran limpa. Rawatan untuk krisis sel darah pecah (hemolisis anemia) adalah rawatan sokongan oksigen, transfusi (pemindahan) darah dan mengambil zat tambahan asid folik.
Pesakit kekurangan enzim G6PD dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilan makanan dan ubat yang boleh menyebabkan sel darah merah pecah. Oleh sebab itu, pesakit perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan pesakit kekurangan enzim G6PD boleh menjalani kehidupan secara normal dan hanya perlu mengambil perhatian terhadap diet dan ubatan yang diambil.
Ng Shy Pyng adalah seorang pegawai farmasi yang bertugas di hospital kerajaan.
Rujukan:
- Pamplet Penyakit Kekurangan Enzim G6PD Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, available http://jknterengganu.moh.gov.my/v4/upload/penjagaan/Penyakit%20Kekurangan%20Enzim%20G6PD.pdf, last accessed 18/9/2014
- MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, available at http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/kekurangan-enzim-g6pd, last accessed 18/9/2014
- Mims Training Gateway, available athttp://online1.mimsgateway.com.my/,last accessed 18/9/2014
- G6PD Deficiency favism association, available at http://www.g6pd.org/en/G6PDDeficiency/SafeUnsafe/LowRisk.aspx, last accessed 19/9/2014
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]