Penyakit Malu Patologikal: Lebih Daripada Sekadar Yang Kelihatan? – Dr Sumeet Kaur

Sumber: socialanxietyinstitute.org

Sumber: socialanxietyinstitute.org

Melissa ialah seorang pelajar kolej berumur 21 tahun yang gagal dalam peperiksaan tahun pertamanya kerana tidak berjaya menyempurnakan pembentangan lisan. Sejak tahun lalu, tugasan seperti perbincangan berkumpulan dirasakan semakin sukar bagi Melissa kerana dia menganggap dirinya “bodoh”. Apabila ditanyakan soalan di dalam kelas, dia perasan yang dia akan tergagap-gagap, tidak dapat melihat terus ke arah professor dan mukanya memerah. Dia juga tidak lagi keluar makan bersama rakan-rakannya kerana takut dia akan memalukan diri ketika makan di restoran dan mengeluarkan kata-kata yang “bodoh” dalam perbualan. Masalah ini merumitkan kehidupannya – dia tidak lagi dapat bergaul dengan mudah dan ibu bapanya pula risau akan prestasi akademiknya.

Senario di atas bukanlah sesuatu yang luar biasa. Individu seperti Melissa kerapkali diketepikan umum sebagai “seorang yang pemalu”. Namun, mungkin ada sesuatu yang perlu dikesan dan dirawat di sebalik gejala “malu” ini. Jika dibiarkan, ia akan menyebabkan kesukaran dan menjadi halangan dalam menjalani kehidupan seperti biasa.

Apa itu Gangguan Kebimbangan Sosial/ ‘Social Anxiety Disorder’ (SAD)?

Gangguan Kebimbangan Sosial, atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Social Anxiety Disorder’ (SAD), pernah dikenali sebagai fobia sosial atau penyakit malu patologikal dalam masyarakat umum. SAD, walaupun dianggap remeh dalam komuniti perubatan, boleh menjadi halangan dalam menjalankan kehidupan seharian. Mujurlah ia boleh dirawat. Keadaan ini agak biasa berlaku dan boleh terjadi dalam hampir 12% daripada populasi. SAD lebih kerap terjadi dalam golongan wanita.

Menurut Manual Diagnostik dan Statistik V/ ‘Diagnostic and Statistical Manual V’ (DSM-V), SAD didiagnos apabila seorang individu menghadapi;

  • Rasa takut yang berterusan selama lebih daripada 6 bulan dalam situasi yang mana individu tersebut terdedah kepada pengamatan oleh orang awam
  • Situasi ini menyebabkan kebimbangan yang berlebihan dan menganggu rutin kehidupan normalnya
  • Gejala-gejala ini tidak berpunca daripada masalah perubatan

Apakah punca SAD?

Seperti kebanyakan ganguan kebimbangan, punca SAD adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya ialah persekitaran, turun-temurun dan juga keadaan luar normal dalam ‘neurotransmitters’ di dalam otak. ‘Neurotransmitters’, atau ‘pemancar saraf’, adalah bahan kimia endogenik (dalam badan) yang membawa signal di antara neuron dan antara elemen penghubung saraf.

Adakah saya ada SAD?

Antara soalan saringan yang digunakan oleh para doktor adalah:

  • Adakah anda sering mengelakkan aktiviti yang membuatkan anda menjadi tumpuan ramai?
  • Adakah anda sering mengelakkan berbual dan bercakap dengan orang lain kerana takut memalukan diri?
  • Adakah ketakutan anda yang paling utama ialah rasa takut yang anda akan kelihatan “bodoh” dan dimalukan?

Ujian ini, dikenali sebagai Inventori Mini Fobia Sosial/ ‘Mini Social Phobia Inventory’ (MINI-SPIN), adalah cukup sensitif untuk mengesan SAD dalam hampir 90% daripada kes-kes yang berlaku.

Dalam sesetengah keadaan, serangan panik (‘panic attack’) juga boleh berlaku dalam situasi sosial yang ditakuti oleh individu tersebut.

Jika anda rasa anda mungkin menghadapi gejala di atas, sila berunding dengan doktor umum anda sama ada di klinik kesihatan kerajaan mahupun swasta untuk ujian saringan yang lebih terperinci dan rujukan ke pakar psikiatri jika perlu.

Bolehkah SAD diatasi?

Ada beberapa rawatan yang berkesan untuk SAD, termasuklah rawatan dalam bentuk ubat-ubatan dan Terapi Perilaku-Kognitif/ ‘Cognitive Behavioral Therapy’ (CBT).

Ubat-ubatan seperti ‘Selective Serotonin Reuptake Inhibitors’ (SSRI) digunakan sebagai rawatan peringkat pertama bagi SAD. Ia membantu meningkatkan jumlah ‘neurotransmitters’ serotonin dan mengurangkan gejala kebimbangan. Hampir 80% pesakit menunjukkan peningkatan dan bertambah baik selepas 12 minggu rawatan. Doktor anda juga mungkin membekalkan anda dengan ‘Benzodiazepine’ untuk jangka masa pendek bagi menangani gejala kebimbangan anda.

Rawatan psikologi, seperti Terapi Perilaku-Kognitif/ ‘Cognitive Behavioral Therapy’ (CBT), juga amat berkesan dalam membantu pesakit mengesan dan mengatasi fikiran-fikiran negatif, misalnya – “orang akan fikir yang saya gila” atau “saya akan memalukan diri sendiri”. Kemudian, perilaku seperti perbuatan penghindaran situasi sosial akan disasarkan dan pesakit akan diberi matlamat yang membina, contohnya – “saya akan berbual dengan sekurang-kurangnya 2 orang di majlis hari ini”. Ini merupakan salah satu bentuk latihan kemahiran sosial.

Melissa berunding dengan doktornya yang kemudiannya melakukan ujian saringan dan merujuknya kepada pakar psikiatri. Dia mula mengambil Escitalopram, sejenis SSRI, dalam dos yang kecil dan diberi Alprazolam untuk kegunaan satu minggu jika dia menghadapi gejala kebimbangan. Keadaannya mula menjadi semakin baik dengan bantuan ubat-ubatan tersebut dan dia telah mula meneruskan pembelajarannya di kolej selepas 6 minggu rawatan. Meskipun sudah hampir pulih, Melissa tetap menghadirkan diri untuk temujanji susulan.

Artikel ini adalah hasil tulisan Dr Sumeet Kaur, seorang pakar psikiatri daripada ‘Early Career Psychiatrist (ECP) Chapter’, Persatuan Psikiatri Malaysia (Malaysia Psychiatry Association). Artikel ini diterjemahkan oleh Dr Maimun daripada https://www.mmgazette.com/pathological-shyness-more-than-meets-the-eye-dr-sumeet-kaur/

Rujukan:

  • American Psychiatric Association (2013).  Diagnostic and statistical manual of mental disorders (5thedition). Washington, DC:  American Psychiatric Association.
  • Connor, K., Kobak, K., Churchill, L., Katzelnick, D. and Davidson, J. (2001). Mini-SPIN: A brief screening assessment for generalized social anxiety disorder. Depression and Anxiety, 14(2), pp.137–140.
  • Schneier, F. (2006). Social anxiety disorder. New England Journal of Medicine, 355(10), pp.1029–1036.
  • Stein, M. and Stein, D. (2008). Social anxiety disorder. The Lancet, 371(9618), pp.1115–1125.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box