Penyakit Mental, ‘Penyakit Moral’ atau ‘Penyakit Spiritual’? – Dr Zul Azlin Razali

mental_2699742b

Picture source: www.telegraph.co.uk

Ramadhan dan ‘Eidul fitri

Dalam tradisi Islam sebagaimana yang difahami oleh generasi tiga abad pertama, ‘eidul fitri, atau lebih mesra di Malaysia dengan nama ‘Hari Raya Aidilfitri’ adalah hari kemenangan spiritual. Suatu simbol kegembiraan atas peluang mendapat didikan dan spiritual nurturing yang berlaku ketika sebulan berpuasa (bukannya ‘menang’-‘lega’ bahawa proses berlapar dan dahaga secara harian telah tamat).

Entah mengapa, didikan spiritual ini kadang kala tidak menjadi. Natijahnya kegagalan moral masih juga terserlah di cuti perayaan ini. Manusia berpencar-pencar memenuhi jemputan dan menemui keluarga di kampung. Maka kesibukan jalanraya menuntut kesabaran dan tolak ansur. Puasa ramadhan yang sepatutnya membina semula keseimbangan fizikal dikecewakan dengan pemakanan tidak seimbang, dan yang paling buruk, pembaziran. Kealpaan menunaikan ibadat ritual yang lebih mustahak juga berlaku. Tidak kurang juga media sosial yang walaupun sarat dengan ucapan baik-baik, tetap di selang seli dengan sindiran, buah-buah lawak sinikal dan lagak narsisistik.

Masalah kesihatan mental dan moraliti

Moraliti menjadi satu elemen yang sering dikaitkan dengan penyakit mental. Stigma yang sungguh liat untuk dikikis dari penyakit mental seperti ‘semua pesakit mental akan bertindak ganas’ adalah satu contoh ketara di mana penyakit mental dikelirukan dengan masalah moraliti. Ini adalah contoh-contoh lain bicara-bicara diri individu yang mempunyai stigma pada pesakit dan penyakit mental;

“Pesakit mental ditimpa penyakit mental kerana dosa-dosa yang telah mereka lakukan sebelum ini.”                     “Individu yang murung sengaja tidak mahu merubah diri sendiri.”

“Individu yang murung mengambil jalan mudah dengan membunuh diri untuk menyelesaikan masalah.”                                                                                                                                          “Individu terencat akal wajar dilayan sebegitu rupa (i.e secara hina, tidak berperikemanusiaan, dimanipulasi) kerana mereka sewel dan tiada perasaan.”

Hasil dari bicara-bicara beginilah pesakit-pesakit atau keluarga pesakit malu hendak berjumpa doktor. Menyamakan simtom sakit mental seperti keinginan membunuh diri dengan kerendahan moral akan mengundang nahas.

‘Penyakit spiritual’ dan penyakit mental

Penyakit spiritual pula sesuatu yang lebih rumit. Spiritualiti dan keagamaan, dua entiti serupa tetapi tidak sama (1). Baik yang beragama mahupun yang agnostik atau atheist, sedikit sebanyak unsur spiritualiti tetap hadir dan diambil berat dalam kehidupan. Keagamaan pula sinonim dengan kepercayaan ketuhanan. Sistem keagamaan tertentu membentuk kefahaman spiritual seseorang penganut.  Tidak melampau jika penulis katakan semua orang mempunyai masalah spiritual. Tiada siapa boleh mendabik dada imannya utuh dan konsisten keampuhannya. Majoriti beriktiqad bahawa keruntuhan spiritual mampu membawa kepada masalah moral dan mental. Akan tetapi dengan menjumudkan simtom sakit mental dalam ranah gangguan spiritual semata-mata adalah tindakan tidak adil. Islam adalah agama yang rasional berpaksikan kewahyuan. Dalil naqli (divine scriptures) menjadi pedoman ketika dalil aqli (scientific endeavor) bebas dijelajahi. Faktor penyebab sakit mental dari sudut biologi, psikologi dan sosial adalah hasil pemerhatian sains (tajribah) di samping penganut Islam meyakini spiritualiti secara generiknya bisa memantapkan emosi dan mental. (Berkenaan gangguan jinn dan penyakit psikiatri, ia mungkin menuntut perbincangan dalam artikel yang lain).

Pembulian siber di ambang Syawal

Di ambang ‘eidulfitri saat Ramadhan hampir melabuhkan tirainya, sesuatu yang sangat menyedihkan telah berlaku pada seorang gadis yang dikenali sebagai Arlina Banana. Lantaran terlalu sakit dihempas gelombang sinis dan sarkastik dalam komentar-komentar media sosial yang ditujukan kepadanya, beliau bertindak mengumumkan ingin mencederakan dirinya. Tohmahan dan andaian keji terhadap beliau bertambah. (http://says.com/my/seismik/arlina-banana)

Internet dan papan kekunci menjadi tamsilan busur dan panah zaman moden; kebaikan boleh tersebar melaluinya, kejahatan juga berpeluang bermaharajalela dengannya. Internet dan papan kekunci memanifestasikan niat insan yang baik untuk berkongsi kebaikan. Internet dan papan kekunci juga menjadi tempat yang subur untuk melampiaskan kutukan, penghinaan, fitnah dan sindiran yang langsung tidak memajukan umat. “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (2). “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam Neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (3).

Moga Allah permudahkan urusan anak muda yang dikhabarkan berpenyakit mental ini. Si ‘wira-wira papan kekunci’ sinis dan sarkastik itulah yang berpenyakit moral. Moga-moga kita semua tidak berpenyakit spiritual.

Wallahu musta’an ‘ala maa tasifun.

Rujukan:

  1. Miller, William R., and Carl E. Thoresen. “Spirituality, religion, and health: An emerging research field.” American psychologist1 (2003): 24.
  2. Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Hadith 1511 dalam Riyadhus Salihin, Kitab 17, Bab 254 Haramnya Ghibah & Perintah Menjaga Lisan.
  3. Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Hadith 1514 dalam Riyadhus Salihin, Kitab 17, Bab 254 Haramnya Ghibah & Perintah Menjaga Lisan.

Dr. Zul Azlin Razali adalah Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kanan Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Klinik Pakar Kesihatan USIM di Nilai menawarkan perkhidmatan perubatan dalam pelbagai bidang kepakaran. 06-8504921.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box