Penyakit Sjogren’s Syndrome – Dr La Reina Sangaran

Apa itu penyakit Sjogren’s Syndrome?

Sjogren’s Syndrome adalah suatu penyakit di mana terjadi radang pada kelenjar seperti kelenjar air liur and kelenjar mata. Ini menyebabkan pesakit merasa mulut dan mata mereka sentiasa kering kerana kurang penghasilan air liur dan air mata. Sjogren’s Syndrome adalah suatu penyakit autoimun di mana sistem imun pesakit yang sepatutnya berfungsi melawan penyakit sebaliknya menyerang kelenjar-kelenjar badan mereka sendiri, terutamanya kelenjar air liur dan kelenjar air mata.

Apakah tanda-tanda penyakit Sjogren’s Syndrome?

Adakah penyakit Sjogren’s Syndrome boleh terjadi pada kanak-kanak?

Walaupun jarang, penyakit Sjogren’s Syndrome boleh terjadi pada kanak-kanak tanpa mengira umur dan jantina. Gejala yang dialami oleh kanak-kanak sedikit berbeza daripada gejala yang dialami oleh orang dewasa. Lazimnya, pada usia kanak-kanak, mereka akan mempunyai gejala kelenjar bengkak dan sakit sendi dan jarang mengeluh tentang mulut dan mata kering.

Bagaimanakah penyakit ini dikenal pasti?

Pesakit biasanya akan dirujuk kepada pakar rheumatologi (doktor yang merawat penyakit autoimun), pakar mata atau pakar gigi. Doktor perlu mendapatkan sejarah terperinci daripada pesakit. Kemudian, doktor akan melakukan pemeriksaan badan yang menyeluruh dan juga melakukan pemeriksaan khas untuk menilai penghasilan air liur dan air mata pesakit (Shrimer’s test). Mereka juga akan melakukan ujian darah, ultrasound kelenjar air liur dan biopsi kelenjar air liur.

Bagaimanakah penyakit ini diubati?

Matlamat rawatan penyakit Sjogren’s Syndrome adalah untuk mengurangkan rasa sakit, mengurangkan keradangan dan mencegah kerosakan jangka panjang. Ubat-ubatan yang digunakan bergantung kepada gejala pesakit dan tahap penyakit. Kanak-kanak yang mengalami kelenjar bengkak yang berulang biasanya akan dirawat dengan ubat hydroxychloroquine iaitu sejenis ubat anti-malaria yang juga berfungsi mengurangkan gejala-gejala penyakit Sjogren’s Syndrome. Kadangkala, pesakit juga memerlukan ubat kortikosteroid yang boleh diberikan secara oral atau rawatan intravena. Segelintir pesakit akan memerlukan ubat-ubatan imunosupresif seperti Methotrexate dan Myophenolate Mofetil dan ubat biologika seperti Rituximab. Semua kanak-kanak yang menghidap penyakit Sjogren’s Syndrome perlu menjalani penilaian dan rawatan doktor gigi dan doktor mata secara berkala untuk menjaga kesihatan mulut dan mata mereka. Selain itu, pesakit akan digalakkan untuk minum banyak air dan juga menggunakan ubat titis mata jika mereka mengalami gejala mata dan mulut kering. Kanak-kanak yang menghidap penyakit Sjogren’s Syndrome digalakkan untuk mengekalkan gaya hidup sihat dan kekal aktif.

Apakah prognosis kanak-kanak yang menghidap penyakit Sjogren’s Syndrome?

Prognosis setiap kanak-kanak yang menghidap penyakit Sjogren’s Syndrome adalah berbeza bergantung kepada manifestasi penyakit mereka serta tindak balas terhadap rawatan yang diberikan. Dengan rawatan yang sesuai, kebanyakan gejala pesakit akan bertambah baik. Oleh itu, amat penting untuk ibu bapa bekerjasama rapat dengan doktor pakar untuk menentukan pelan rawatan yang terbaik untuk anak mereka. Kanak- kanak yang menghidap penyakit Sjogren’s Syndrome juga memerlukan pemantauan berkala untuk mengenalpasti secara awal dan mencegah komplikasi jangka panjang.

 

Ditulis oleh:

Dr La Reina Sangaran,

Pakar Pediatrik, Hospital Selayang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box