Systemic Lupus Erythematosus atau lebih dikenali sebagai penyakit SLE adalah sejenis penyakit autoimun di mana sistem pertahanan badan yang sepatutnya berfungsi membantu badan kita melawan penyakit sebaliknya melawan organ-organ badan sendiri. Penyakit ini boleh menyerang pelbagai organ-organ penting tubuh seperti buah pinggang, otak, darah, kulit, sendi, paru-paru dan hampir semua organ badan yang lain. Penyakit ini adalah suatu penyakit yang kronik dan jika tidak mendapat rawatan ianya boleh mengakibatkan kematian.
Adakah penyakit SLE boleh terjadi pada kanak-kanak?
Penyakit SLE lazimnya terjadi pada usia dewasa, namun, penyakit ini juga boleh terjadi pada kanak- kanak terutamanya kanak-kanak wanita sekitar umur akil baliqh. Pesakit SLE kanak-kanak lazimnya mendapat penyakit yang lebih parah daripada pesakit dewasa.
Apakah tanda-tanda penyakit SLE?
Penyakit SLE boleh menampakkan pelbagai jenis tanda bergantung kepada organ tubuh yang diserang. Jika SLE menyerang buah pinggang, pesakit akan mempunyai tanda-tanda seperti bengkak badan, kencing berbuih dan tekanan darah tinggi. Jika penyakit SLE menyerang otak, pesakit mungkin akan mendapat sakit kepala, sawan atau menampakkan kelainan peribadi. Selain itu tanda-tanda yang sering terjadi pada pesakit SLE adalah demam berpanjangan, selera makan menurun, susut berat badan dan keletihan yang berlebihan daripada biasa. Pesakit SLE juga boleh menampakkan tanda-tanda seperti ruam pada muka yang khas (malar rash), gugur rambut, ulser pada lelangit mulut dan sensitif pada cahaya matahari.
Apakah punya penyakit SLE dan bolehkah penyakit ini dicegah?
Penyakit SLE tidak mempunyai punca yang khusus tetapi faktor genetik, faktor hormon, pendedahan terhadap jangkitan tertentu, ubat-ubatan dan cahaya matahari boleh menjadi pencetus penyakit SLE pada pesakit yang rentan. Malangnya, penyakit ini tidak boleh dicegah.
Bagaimakanah penyakit ini boleh dikenal pasti?
Pesakit yang mempunyai tanda-tanda yang dicurigai sakit lupus harus berjumpa dengan doktor yang berpengalaman. Kebiasaannya, penyakit ini didiagnosa dan dirawat oleh pakar penyakit autoimun atau lebih dikenali sebagai pakar bidang rheumatologi. Doktor akan mendapatkan sejarah penyakit yang teliti, membuat pemeriksaan badan dan selanjutnya ujian darah, kencing, pemeriksaan air tulang belakang dan ujian radiologi seperti x-ray, ultrasound dan MRI tergantung kepada organ badan yang diserang. Pesakit yang mempunyai tanda-tanda buah pinggang diserang akan memerlukan ujian biopsi buah pinggang.
Bagaimanakah penyakit ini diubati?
Ubat-ubatan yang diberikan bergantung kepada tahap penyakit. Lazimnya, pesakit SLE memerlukan ubat-ubatan imunosupresif seperti ubat steroid, ubat yang membunuh sel seperti cyclophosphamide dan ubat- ubatan biologika seperti Rituximab. Pesakit yang menghidap kerosakan buah pinggang yang teruk akan memerlukan rawatan cuci darah (hemodialisis) dan ubat darah tinggi. Sesetangah pesakit akan memerlukan rawatan pemindahan darah. Pesakit SLE juga mungkin memerlukan ubat-ubatan suplemen seperti ubat kalsium dan vitamin D. Semua pesakit SLE perlu menghindar daripada sinaran matahari yang terik dengan menggunakan topi, baju lengan panjang dan losyen pelindung matahari. Selain itu, pesakit SLE dinasihatkan untuk mengelak daripada terdedah kepada orang-orang yang menghidap penyakit-penyakit berjangkit seperti cacar air dan tuberkulosis kerana badan mereka lebih rentan untuk dijangkiti.
Apakah prognosis pesakit SLE?
Walaupun penyakit ini tidak mempunyai penawar, kebanyakan pesakit SLE yang mendapatkan rawatan akan dapat dikawal. Pesakit yang penyakitnya terkawal, lazimnya boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Mereka boleh bersekolah, bersukan dan selanjutnya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, mendapat pekerjaan, berkahwin dan mempunyai keluarga mereka sendiri di masa hadapan. Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk kanak-kanak ini mendapat rawatan yang sewajarnya dan tidak berputus asa.
Artikel ini ditulis oleh
Dr La Reina Sangaran
Pakar Pediatrik, Hospital Selayang.