Penyelidikan Di Zaman Pandemik COVID-19: Di Mana Ihsan Etika Kita? – Dr Nuruliza Roslan & Dr Faizul Helmi Addnan

Seluruh kehidupan manusia merupakan ibadah yang disandarkan kerana Allah SWT, sesuai dengan Firmannya, Al-Dhariyat, 51:56, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”

LillahiTa’ala iaitu bermaksud kerana Allah SWT.

Iman, Islam dan Ihsan merupakan tiga komponen utama di dalam agama Islam. Ihsan itu menuntut kesempurnaan atau terbaik. Ihsan membawa maksud seseorang yang menyembah Allah SWT seolah-olah ia melihat-Nya, dan jika ia tidak mampu membayangkan melihat-Nya, maka orang tersebut membayangkan bahawa sesungguhnya Allah melihat perbuatannya. Oleh yang demikian, mereka yang mengamalkan ihsan ini, menuntut untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh dan teliti seolah-olah Allah melihat nya dan kemudian membentangkan kerjanya di hadapan Allah SWT.

Professor Dr Yusuf al-Qaradawi menyebutkan berkenaan ihsan iaitu, “Allah SWT cinta kepada seseorang yang apabila diberikan tugasan, dia melaksanakan tugasan tersebut dengan sesempurna mungkin”. Ini merupakan motivasi yang terbaik untuk setiap daripada kita yang senantiasa melaksanakan ihsan di dalam kehidupan. Meraih cinta Allah merupakan rahmat yang sangat besar.

Salah satu hadith sahih yang sangat penting dan popular ada menyebutkan bahawasanya agama Islam yang kita anuti ini merupakan nasihat. Hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, dari Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, Kitab-Nya, rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya). Nasihat merupakan intipati agama Islam. Nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah SWT, hak Al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan hak rakyat.

Tiada siapa yang menyangka bahawa dunia akan berhadapan dengan pandemik COVID-19 di kurun ke-21. Kurun yang menyaksikan kemajuan peradaban manusia dalam pelbagai bidang terutamanya di dalam bidang sains, teknologi dan perubatan.

Allah berfirman di dalam Al Quran, Al-Talaq, 65:3,

“……Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Di negara kita Malaysia, kita telah mengharungi pandemik ini  selama setahun sejak kes pertama COVID-19 dikesan iaitu pada 23 Januari 2020. Sehingga ke hari ini, Malaysia dan seluruh warga dunia masih lagi melawan pandemik ini.

Firman Allah di dalam Surah Al-Taghabun, 64:11,

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar), dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” 

 

Juga Allah SWT menyebutkan di dalam Surah Al-Baqarah,  2:286

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya……”

Kesemua ayat-ayat yang dinyatakan di atas dengan jelas menuntut untuk setiap manusia itu kembali kepada ajaran Al-Quran. Di jadikan kehidupan ini sebagai ujian bagi yang bergelar manusia, dan kita seharusnya menumpukan sepenuh perhatian terhadap melaksanakan amal perbuatan yang terbaik/ihsan.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Mulk, 67:2,

“Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Yang Maha Perkasa, Maha Pengampun.”

Segala permasalahan/kemudaratan yang berlaku itu pasti akan dapat dilalui oleh setiap manusia, sekiranya kita mengamalkan dan menjiwai ajaran Islam itu dengan sebenar-benarnya.

Sejarah tercipta di Malaysia apabila tahun 2021 ini dengan sesi persekolahan pertama darjah satu anak-anak berlangsung secara maya/online. Tahun lepas sejarah telah tercipta dengan anak-anak memulakan pembelajaran dan pengajaran oleh pengajar, baik di tadika, sekolah, atau universiti secara maya. Ini jelas menunjukkan betapa besarnya implikasi pandemik COVID-19. Melibatkan seluruh lapisan masyarakat.

Begitu juga dengan penyelidikan.

Kerja penyelidikan masih perlu diteruskan. Geran masih berjalan. KPI perlu dipenuhi. Penyelidik harus cakna dengan isu-isu semasa pandemic COVID-19. Sesuatu perlu dilakukan. Cabaran besar bagi para penyelidik di saat perintah kawalan keselamatan (PKP) dikuatkuasakan pada tanggal 18 Mac 2020. Bagaimana dengan kelangsungan penyelidikan sedia ada? Bagaimana untuk mengaut peluang menjalankan penyelidikan di pandemic COVID-19 yang sedang hangat di perkatakan ini? Demi ummah? Demi KPI? Apakah kerakusan mengejar dapatan penyelidikan membuatkan kita penyelidik memejam mata proses etika yang perlu dan sepatutnya dijalankan? Apakah yang sebenarnya matlamat mutlak kita dalam penyelidikan kita?

Di mana jiwa ihsan dalam diri kita sebagai penyelidik? Ya, kita boleh menyatakan dengan jelas bahawasanya apa yang kita laksanakan (kerja-kerja penyelidikan) sesuai dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasullullah SAW iaitu ‘Iqra’. Allah berfirman di dalam surah Al-‘Alaq, 96:1, “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” Ya, Firman Allah SWT ini harus sentiasa dijadikan pedoman, agar ilmu atau kemahiran yang dianugerahi oleh Allah SWT digunakan secara beretika melaksanakan kerja-kerja penyelidikan, memberikan penyelesaian terhadap permasalahan masyarakat.

Ada sebab mengapa etika penyelidikan diwujudkan. Agar semua aspek penyelidikan dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat dalam penyelidikan tersebut dan persetujuan di antara pihak penyelidik dan subjek yang terlibat (kajian melibatkan manusia) memperoleh penjelasan yang sewajarnya sebelum kajian dilaksanakan. Ini merupakan hak-hak yang perlu dijaga supaya tidak berlaku penindasan atau ketidakadilan.   Agar kedua-dua belah pihak faham dan sama-sama terpelihara dari sudut liabiliti. Harus ditanamkan di dalam dada kita semua iaitu, setiap apa yang dilakukan akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT. Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih, daripada Ibnu ‘Umar RA, ia berkata Rasullullah SWT telah bersabda: “Setiap orang dari kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan dimintai pertanggungjawaban atas kepimpinannya.”

Sebagai penyelidik kita sememangnya sangat bagus seandainya mempunyai semangat juang untuk menjalankan kajian demi kesejahteraan ummat. Tetapi haruslah kita berbalik kepada niat asal kita mengapa perlunya ada proses etika penyelidikan tersebut. Adakah kita risau sekiranya kita lambat bertindak (kerana lambat nya proses geran dan lambat nya proses penilaian etika) kita berhak untuk “langar” semua itu atas dasar untuk menolong ummah? Ironi. Apakah justifikasi sebenarnya akan ketakutan kita untuk pihak lain mengambil peluang ke atas penyelidikan kita? Apakah yang unik nya kajian kita yang sekiranya pun telah dijalankan oleh pihak lain, kita boleh sama-sama membantu negara dalam menambah kepada data sedia ada?

Allah itu Yang Maha Adil. Allah itu tak pernah silap alamat.

Sesebuah mesyuarat etika penyelidikan akan meneliti secara mendalam perihal penyelidikan yang akan dilaksanakan. Secara asasnya, penyelidikan yang dimajukan ke mesyuarat etika ini telahpun dinilai mempunyai merit yang bagus, namun harus dipastikan pelaksanaan penyelidikan tersebut memenuhi hak-hak etika penyelidikan seperti yang termaktub di dalam Deklarasi Helsinki, yang menjelaskan prinsip-prinsip etika untuk penyelidikan perubatan yang menggunakan subjek manusia.

Iya, matlamat tidak menghalalkan cara. Jadilah penyelidik yang penuh dengan etika yang bermanfaat kepada ummah! Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani, dari Ibn Umar RA bahawasanya Nabi SAW bersabda “Orang yang paling dikasihi oleh Allah SWT adalah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain”

InsyaAllah.

 

Ditulis oleh:

 

Dr Nuruliza Roslan

Penyelidik Biology Kanser

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM

Timbalan Pengarah, Institut Sains Islam, USIM

 

Dr Faizul Helmi Addnan

Penyelidik Nutrisi Pemakanan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box