Kelahiran seorang cahaya mata sememangnya dinantikan oleh kebanyakan pasangan yang telah berkahwin. Melalui detik-detik manis dalam perjalanan menjadi seorang ibu daripada mula hamil, melahirkan dan seterusnya menyusukan si bayi adalah sesuatu yang didambakan oleh seseorang wanita yang telah berkahwin.
Namun begitu, ada segelintir wanita yang sudah berkahwin tetapi tidak dikurniakan rezeki untuk melalui detik-detik indah menjadi seorang ibu. Pelbagai usaha dan rawatan telah dijalankan untuk mendapatkan seorang cahaya mata namun masih hampa. Lalu pengambilan anak angkat menjadi alternatif bagi pasangan ini untuk merasai pengalaman menjadi ibu bapa.
Dewasa ini, ramai pasangan yang baru memiliki bayi angkat ingin merasai sendiri pengalaman penyusuan susu ibu walaupun tidak pernah hamil. Ini adalah langkah yang baik untuk meningkatkan jalinan kasih sayang antara ibu dan bayi angkat. Selain itu, bagi masyarakat Islam pula tujuan menyusukan bayi angkat mereka adalah memudahkan perhubungan mereka sebagai anak dan ibu susuan. Proses penyusuan anak angkat yang dikenali sebagai proses cetusan laktasi adalah tidak mustahil dan boleh dilakukan.
Berikut adalah beberapa perkara yang patut anda jangka dan tahu sebelum bercadang untuk memulakan cetusan penyusuan susu ibu:
- Berjumpa dengan Perunding Laktasi/Kaunselor Penyusuan untuk sesi kaunseling
Adalah lebih baik sekiranya anda dapat berjumpa dengan mereka ini seawal yang mungkin sebelum ketibaan bayi angkat anda. Kami amat menggalakkan anda untuk berjumpa sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum kelahiran bayi angkat anda. Ini untuk memastikan anda tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan diri untuk proses cetusan penyusuan atau laktasi. Sekiranya bayi angkat anda telah dilahirkan, jangan bimbang; proses cetusan laktasi masih boleh dilakukan tetapi sekiranya datang berjumpa lebih awal, peratus kejayaan adalah lebih tinggi.
- Persediaan fizikal dan mental
Anda dan pasangan harus membuat persediaan dari segi fizikal iaitu anda harus bersedia untuk membeli pam payudara untuk memudahkan proses cetusan laktasi. Anda juga harus bersedia dari segi mental di mana anda harus mempunyai motivasi dan kekuatan semangat untuk menjayakan penyusuan susu ibu.
- Mengetahui tentang proses cetusan laktasi
Ibu-ibu yang berminat untuk penyusuan anak angkat selalunya akan melalui 3 fasa cetusan laktasi. Fasa pertama adalah penyediaan payudara untuk penyusuan dengan mengambil pil perancang. Pil perancang ini adalah untuk memastikan payudara ibu mengalami perubahan seperti ibu-ibu yang mengandung. Semasa ini juga ibu akan diberi ubat penambah susu yang perlu diambil setiap hari bersama pil perancang tersebut.
Fasa kedua adalah fasa pemberhentian pil perancang dan meneruskan pengambilan pil penambah susu selepas berlaku perubahan payudara.
Pada fasa ketiga pula, ibu haruslah mengepam payudara untuk proses pengeluaran susu. Ketika ini susu mungkin belum kelihatan tetapi dengan kekerapan pengepaman dan stimulasi urutan payudara akan membantu penghasilan dan pengaliran susu ibu lebih cepat.
Fasa terakhir adalah pemberian susu ibu kepada bayi angkat samada secara penyusuan terus dari payudara atau penggunaan botol. Apabila susu mula dihasilkan, ibu-ibu boleh mengumpul dan menyimpan susu tersebut untuk diberi kepada bayi. Ibu- ibu yang ingin menyusukan anak angkat juga boleh menggunakan alat bantuan penyusuan seperti ‘Supplementary Nursing System’ untuk membantu dalam penghasilan susu melalui penghisapan bayi angkat secara terus pada payudara untuk meningkatkan penghasilan susu dan mengeratkan hubungan.
Cabaran ibu yang menjalani proses cetusan laktasi
Antara cabaran yang mungkin dihadapi ialah:
- Kekurangan sokongan daripada orang sekeliling
- Kesuntukan dan kekangan masa untuk mengepam
- Motivasi diri yang tidak konsisten
- Ilmu penyusuan yang tidak mencukupi
- Penolakan penyusuan di payudara oleh bayi angkat yang sudah berumur lebih dari 1 bulan
Kesimpulannya, sekiranya anda bercadang untuk mengambil anak angkat dan ingin menyusukan bayi angkat anda, segeralah berjumpa dengan doktor, kaunselor laktasi atau perunding laktasi untuk membantu anda merealisasikan impian anda. Cetusan penyusuan atau laktasi memerlukan kesabaran yang tinggi dan usaha yang bukan sedikit. Namun begitu, ia mampu direalisasikan dan telah berjaya dilakukan oleh ramai wanita di seluruh dunia!
Rujukan:
- .Walker M. Breastfeeding Management for the Clinician using the evidence. Burlington. Jones & Barlett Learning 3rd 2014.Print
- Hairin Anisa, Siti Mariam Ali. Berjaya Menyusukan Tanpa Kehamilan. Johor. Permata Management & Services. 2016
Artikel ini ditulis oleh Dr Nurjasmine Aida Jamani, Pensyarah, Pakar Perubatan Keluarga dan Perunding Laktasi (IBCLC) IIUM.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
.