Peranan Aktif Komuniti Boleh Mencegah Denggi – KKM

Source: durangoherald.com

Dari bulan Januari hingga 26 April 2014, sejumlah 29,788 kes telah dilaporkan berbanding dengan hanya 7,912 kes bagi tempoh yang sama tahun 2013, peningkatan sebanyak 277 peratus. Untuk tempoh sama, jumlah keseluruhan kematian akibat denggi adalah sebanyak 66 kematian berbanding 15 kematian yang dilaporkan pada tahun 2013 iaitu peningkatan sebanyak 340 peratus.

Pada minggu ke 17 iaitu dari 20 hingga 26 April 2014, sebanyak 974 kes Denggi dilaporkan berbanding 1,252 kes pada minggu sebelumnya dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 22%. Pada masa ini secara keseluruhannya kes Denggi di seluruh negara menunjukkan tren penurunan.

Pada tempoh yang sama, sejumlah 241 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 11 negeri dan daripada jumlah tersebut, 30 lokaliti adalah merupakan lokaliti hotspot dan 15 lokaliti merupakan wabak tak terkawal.

Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dalam aktiviti pencegahan dan kawalan Demam Denggi. Walaupun bilangan kes menunjukkan trend penurunan pada masa ini, orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak alpa dan sentias menjaga dan memastikan persekitaran tempat tinggal, belajar dan bekerja adalah bebas dari menjadi punca pembiakan Aedes. Dengan perubahan cuaca yang tidak menentu, risiko penularan denggi juga boleh meningkat. Namun begitu, jika tiada tempat-tempat pembiakan Aedes, perubahan cuaca tidak akan memberi kesan kepada kejadian Demam Denggi. Oleh itu, hanya persekitaran yang bersih dan bebas dari tempat pembiakan Aedes sahaja yang dapat mencegah wabak Demam Denggi dari berlaku.

Pada 27 April 2014, Kementerian Kesihatan telah menganjurkan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat kebangsaan 2014 di kawasan perumahan Flat Jasmin Senawang, Seremban, Negeri Sembilan yang disempurnakan perasmiannya oleh YB Menteri Kesihatan dengan tema ‘Gigitan Kecil, Ancaman Besar’. Melalui Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2014 tersebut, kesedaran komuniti tentang ancaman nyamuk Aedes dapat ditingkatkan serta mendorong mereka mengambil tindakan proaktif untuk mengelakkan risiko dijangkiti Demam Denggi. Di samping itu, pihak komuniti juga adalah digalakkan untuk menubuhkan pasukan COMBI (Communication For Behavioural Impact) iaitu ‘Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku’ di lokaliti perumahan masing-masing kerana ianya terbukti berkesan dalam mengurangkan kejadian kes dan wabak Denggi.

YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box