Perkara Yang Dijangka Untuk Tahu Sebelum Pergi Ke Hospital – Dr Anis Nabillah

working2Perlunya ke hospital bukanlah suatu perkara yang baik. Pesakit dalam keadaan tidak sihat manakala ahli keluarga pula tertekan. Akan tetapi, kemasukan ke hospital boleh dipermudahkan sekiranya beberapa perkara penting diingati sebelum ke hospital.

Seseorang untuk menemani pesakit, seeloknya penjaga atau ahli keluarga terdekat.

  • Sememangnya ini bukanlah permintaan atau situasi yang paling ideal. Namun kami sering menerima pesakit yang kurang stabil dan memberi sejarah kesihatan yang tidak tepat. Tambahan pula, sesetengah pesakit tidak ingat sejarah penyakit mereka sendiri serta menghadapi sekatan bahasa kerana kurang atau tidak fasih berbahasa Malaysia atau Inggeris.
  • Adanya seorang ahli keluarga terdekat atau penjaga yang mengetahui keadaan pesakitsangat-sangat membantu dalam mendapatkan sejarah penyakit yang tepat; bilakah pesakit mula demam atau muntah? Bagaimanakah keadaan pesakit sebelum kejadian strok? Adakah ini kejadian pertama atau berulang? Adakah pesakit dapat bergerak atau menguruskan diri sendiri? Bagaimanakah selera makan pesakit sebelum ini?
  • Soalan-soalan ini mungkin kelihatan remeh tetapi sebenarnya sangat membantu doktor di Jabatan Kecemasan dalam membuat diagnosis yang tepat dan memulakan rawatan yang sesuai. Kelewatan atau kesulitan dalam mendapatkan maklumat-maklumat ini boleh membantut kemajuan atau pengurusan sewajarnya bagi pesakit kerana doktor mungkin terlepas pandang perkara-perkara penting lalu memberi diagnosis yang kurang tepat.

Bawa semua laporan-laporan perubatan sebelumnya, buku temujanji dan pengimejan seperti x-ray/imbasan CT.

  • Kerap kali pesakit dipindahkan dari satu hospital ke hospital yang lain atau mendapatkan nasihat kesihatan dari pusat yang lain untuk keadaan mereka tanpa sebarang rekod/pemeriksaan dijalankan di hospital semasa.
  • Pesakit dan ahli keluarga mereka dinasihatkan untuk membawa laporan-laporan perubatan sebelumnya serta sebarang pengimejan (laporan atau filem x-ray, CT, MRI dan sebagainya) supaya doktor boleh menggunakannya sebagai rujukan dan menentukan status semasa penyakit anda. Ini juga membantu meneruskan rawatan yang telah diterima sebelum kemasukan semasa.
  • Laporan Simple Echoradiogram (ECHO) sangat bermakna bagi doktor dan pakar bedah terutama sekali bagi pesakit penyakit jantung supaya kami tahu sama ada ianya selamat atau tidak untuk menjalankan pembedahan kecemasan sekiranya diperlukan.
  • Sekiranya ini kali pertama anda ke hospital dan lawatan susulan sebelum ini semua di klinik persendirian atau klinik kesihatan, sila minta doktor sediakan laporan perubatan, surat rujukan lengkap atau laporan ringkasan kesihatan anda. Adalah hak anda dan tanggungjawab mereka untuk menyediakan laporan kesihatan lengkap untuk anda.

Berusaha untuk tahu dengan lebih mendalam keadaan penyakit anda dan perkembangan terkini.

  • Tiada sesiapa mengenali penyakit anda lebih baik dari diri sendiri. Doktor dan rekod-rekod perubatan boleh membantu ke peringkat tertentu. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sekiranya ini kemasukan baru ke hospital baru yang tidak mempunyai rekod anda, doktor hanya boleh bergantung kepada anda untuk bertanyakan tentang perkembangan penyakit yang dihidapi.
  • Oleh itu, berusahalah untuk tahu dan memahami penyakit-penyakit anda, lebih-lebih lagi penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, penyakit buah pinggang, strok atau asthma.
  • Ingat perkara-perkara penting seperti alahan kepada ubat, jangka masa menghidapi penyakit, lawatan susulan bulanan, sebarang komplikasi, pembedahan, atau rawatan yang sedang dan pernah diterima.
  • Doktor mungkin mempunyai garis panduan untuk merawat keadaan perubatan tertentu, tetapi setiap rawatan dirumus khas untuk setiap pesakit kerana setiap individu bertindak balas berbeza kepada ubat-ubat berbeza.

Tahu akan ubat-ubat terkini yang diambil.

  • Saya kagum setiap kali berjumpa dengan pesakit, terutama sekali warga emas, yang sangat mengenali ubat-ubatan yang sedang diambil, waktu atau cara pengambilannya. Ini menunjukkan betapa mereka menjaga kesihatan diri dan mengikuti perkembangannya.
  • Percaya atau tidak, sesetengah pesakit tidak endah tentang perihal perubatan. Ada yang bergantung pada suami, isteri, atau anak untuk mengingatkan mereka tentang ubat kerana banyak yang perlu diambil sehari. Sentiasa adakan rekod atau preskripsi tepat tentang ubat-ubat yang diambil.
  • Ingat ubat-ubat penting dan kadar yang perlu diambil terutamanya pencair darah seperti Aspirin atau Clopidogrel, ubat anti-darah tinggi dan ubat penyakit jantung.
  • Kelewatan dalam menyediakan ubat-ubat ini ketika kemasukan baru boleh membawa kepada komplikasi serius yang membuat keadaan lebih teruk.

 Jangan bawa bayi atau kanak-kanak kecil.

  • Saya masih tidak memahami keputusan sesetengah orang membawa anak-anak kecil ke hospital semasa waktu melawat atau menunggu ketika pembedahan besar dijalankan.
  • Saya faham sekiranya tidak ada orang lain untuk menjaga anak-anak anda ketika bergegas ke hospital. Tetapi menunggu dengan lama, membiarkan bayi tidur di lantai koridor ICU, kanak-kanak berlari di sekitar wad dan didedahkan kepada pesakit yang sangat tenat serta kuman-kuman tahan ubat mengatasi segala nilai-nilai kekeluargaan yang diamalkan.
  • Perbuatan ini sangat berisiko kepada anak-anak kecil. Sistem imun kanak-kanak belum berkembang sepenuhnya seperti orang dewasa. Oleh demikian, kadar imuniti mereka lebih rendah daripada kita. Mendedahkan mereka kepada persekitaran hospital juga sangat merbahaya dan tidak selamat. Suara kanak-kanak menjerit atau bayi mengangis boleh mencemaskan pesakit-pesakit yang sedang berehat.
  • Kebanyakan hospital berbau Dettol atau ubat pembasmi kuman kerana permukaan perlu dibersihkan beberapa kali untuk membunuh bakteria. Akan tetapi, ibu bapa atau penjaga masih membenarkan kanak-kanak bermain atau baring di permukaan-permukaan kotor ini.
  • Lain kali, biarkan kanak-kanak tinggal di rumah dan jangan bawa mereka ke hospital melainkan mereka memerlukan bantuan atau pemeriksaan perubatan.

Pakai baju yang bersesuaian.

  • Selama ini memang terdapat kata sepakat mengenai pakaian yang bersesuaian untuk melawat bangunan dan institusi kerajaan. Tentunya, ini tidak pernah dikenakan sepenuhnya kepada hospital, khususnya pelawat.
  • Doktor dan pekerja hospital perlu mengikuti panduan pemakaian seperti pegawai-pengawai kerajaan lain. Kemeja, tali leher, seluar panjang, kasut bertutup, blaus yang berpatutan, gaya rambut dan lain-lain. Akan tetapi, peraturan ini tidak dikenakan pada pelawat atau pesakit.
  • Boleh difahami sekiranya orang atau pesakit yang datang ke Jabatan Kecemasan tidak memakai pakaian yang bersesuaian kerana bergegas untuk mendapatkan bantuan perubatan. Tetapi bagi mereka yang datang melawat atau menjaga pesakit, mengenakan pakaian yang bersesuaian tidak begitu sukar, kan?
  • Kejadian terbaru pelawat hospital memakai tuala memulakan perbincangan hangat dikalangan rakyat Malaysia. Ketua Pengarah Kesihatan sendiri mengulas isu ini di laman Facebook beliau dan turut melampirkan sebahagian peraturan dan garis panduan hospital-hospital di negara lain yang lebih ketat pada pendapat saya. Memakai pakaian yang bersesuaian lebih wajar di hospital. Jadi saya rasa sekurang-kurangnya kita boleh cuba.

Saya harap perkara-perkara di atas boleh membantu pesakit dan ahli keluarga mereka bersedia untuk kemasukan hospital. Perkara ini bukan sahaja membantu doktor tetapi memberi kebaikan kepada pesakit juga. Bukan sahaja rawatan akan lebih lengkap dan efisien, ianya juga lebih jimat kos kerana ulangan pemeriksaan dan imbasan yang tidak perlu, boleh dielakkan sekiranya kita mempunyai maklumat dan pengimejan terkini pesakit.

Dr. Anis Nabillah seorang pegawai perubatan di sebuah hospital tertier di Kuala Lumpur. Beliau juga editor Malaysian Medical Gazette. Rencana ini diterjemahkan dari rencana asal di https://www.mmgazette.com/things-we-expect-you-know-before-coming-to-the-hospital-dr-anis-nabillah/ oleh Nur Nadhirah.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box