Pengenalan
Permainan video kini menjadi salah satu bentuk hiburan paling popular di seluruh dunia. Dari kanak-kanak hingga dewasa, permainan video menawarkan dunia maya yang penuh dengan cabaran, pencapaian, dan interaksi sosial. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai ketagihan permainan video, terutama di kalangan remaja.
Fakta: Apakah Itu Ketagihan Permainan Video?
Ketagihan permainan video diiktiraf sebagai gangguan kesihatan mental oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018, di mana ia digelar sebagai “Gaming Disorder” dalam Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11). Ketagihan ini dicirikan oleh ketidakupayaan untuk mengawal permainan, peningkatan keutamaan diberikan kepada permainan berbanding aktiviti lain dan bermain secara berterusan, meskipun menghadapi kesan negatif dalam kehidupan seharian.
Kajian menunjukkan bahawa sekitar 3-4% daripada pemain permainan video mungkin mengalami gejala ketagihan yang serius. Antaranya termasuklah pengasingan sosial, penurunan prestasi akademik atau pekerjaan, serta gangguan emosi seperti kebimbangan dan kemurungan.
Mitos: Salah Faham dan Persepsi Umum
Mitos 1: Semua pemain permainan video adalah ketagih.
Tidak semua pemain permainan video mengalami ketagihan. Majoriti pemain dapat mengawal masa permainan mereka dan bermain secara rekreasi tanpa mengalami kesan negatif. Kajian mendapati bahawa hanya sebilangan kecil pemain menunjukkan tanda-tanda ketagihan, dan kebanyakan mereka bermain dalam lingkungan yang sihat dan seimbang.
Mitos 2: Ketagihan permainan video hanya menjejaskan golongan muda.
Walaupun remaja sering menjadi fokus utama perbincangan mengenai ketagihan permainan video, kajian menunjukkan bahawa orang dewasa juga boleh terjejas. Kajian yang dijalankan mendapati, walaupun ketagihan permainan video lebih ketara dalam kalangan remaja, orang dewasa yang terlibat dalam permainan dalam talian juga berisiko, terutamanya jika mereka menjadikan permainan video sebagai cara untuk melarikan diri daripada tekanan kehidupan.
Mitos 3: Permainan video hanya membawa keburukan.
Salah satu mitos terbesar ialah permainan video hanya membawa keburukan. Sebenarnya, jika dimainkan dengan cara yang seimbang, permainan video boleh memberikan manfaat seperti peningkatan dalam kemahiran menyelesaikan masalah, kerja berpasukan, dan kebolehan kognitif. Permainan video juga digunakan dalam terapi untuk meningkatkan kebolehupayaan koordinasi otot-otot kecil tangan dan sistem saraf, serta membantu individu dengan kelainan upaya (fizikal dan mental).
Realiti: Impak Ketagihan Permainan Video
Realitinya, ketagihan permainan video boleh memberi kesan yang serius terhadap kehidupan seseorang. Ketagihan ini boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti gangguan tidur, keletihan kronik, dan sakit belakang akibat duduk berjam-jam di hadapan skrin. Selain itu, ketagihan permainan video juga boleh mengganggu hubungan sosial dan keluarga, di mana pemain yang ketagih cenderung mengasingkan diri daripada rakan-rakan dan keluarga.
Permainan video juga direka untuk mencetuskan ketagihan dengan menggunakan elemen seperti ganjaran segera dan mekanisme ‘loot boxes’, yang serupa dengan perjudian. Ini boleh menyebabkan pemain terjerat dalam lingkaran ketagihan yang sukar untuk diatasi tanpa bantuan profesional.
Langkah-langkah Pencegahan dan Pengurusan
Untuk mengelakkan ketagihan permainan video, adalah penting untuk mengamalkan kawalan diri (self-restraint) yang ketat. Individu harus menetapkan had masa bermain dan mereka juga digalakkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti lain seperti bersenam, membaca, atau meluangkan masa dengan keluarga. Bagi ibu bapa, adalah penting untuk memantau waktu permainan anak-anak dan menggalakkan mereka untuk berinteraksi secara sosial di luar dunia maya.
Pendidik dan pembuat dasar juga perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran tentang risiko ketagihan permainan video, serta menyediakan sumber dan sokongan bagi mereka yang memerlukan bantuan. Program pendidikan di sekolah boleh membantu mendidik pelajar tentang cara mengurus masa dengan lebih baik dan memahami risiko ketagihan digital.
Kesimpulan
Ketagihan permainan video adalah isu yang kompleks dan perlu difahami dengan baik untuk mengelakkan salah faham serta stigma di kalangan masyarakat. Walaupun permainan video menawarkan banyak manfaat, penting untuk mengenali had dan mengamalkan keseimbangan dalam kehidupan seharian. Dengan kesedaran yang lebih tinggi dan strategi pencegahan yang efektif, risiko ketagihan permainan video dapat dikurangkan.
Artikel ini ditulis oleh,
Dr Mohd Aizuddin bin Abd Rahman
Pakar Perubatan Keluarga,
Jabatan Perubatan Keluarga, IIUM
Rujukan
- Cheng, C., & Li, A. Y. (2019). “Internet addiction prevalence and quality of (real) life: A meta-analysis of 31 nations across seven world regions.” Computers in Human Behavior, 82, 303-312.
- Granic, I., Lobel, A., & Engels, R. C. M. E. (2014). “The benefits of playing video games.” American Psychologist, 69(1), 66-78.
- Przybylski AK, Weinstein N. (2019). “Digital Screen Time Limits and Young Children’s Psychological Well-Being: Evidence From a Population-Based Study”. Child Dev. 90(1), 56-65.
- World Health Organization. (2018). “International Classification of Diseases 11th Revision (ICD-11).”