Situasi 1.
Anda mengalami sakit perut, senak di bawah rusuk kanan. Anda pergi ke klinik untuk rawatan dan doktor mengarahkan supaya anda berpuasa pada malamnya dan kembali ke klinik keesokan paginya untuk pemeriksaan ultrabunyi. Anda pulang dan berlapar sepanjang malam.
Mengapa?
Bagi pemeriksaan abdomen, juruultrabunyi atau jururadiograf (sonografer atau radiografer) akan memeriksa semua organ di dalam rongga abdomen. Organ-organ ini ialah hati, pundi hempedu, pankreas, buah pinggang/ginjal, limpa dan aorta. Anda akan dinasihatkan supaya berpuasa untuk mendapatkan imej yang baik dan diagnosis untuk sesuatu penyakit atau permasalahan. Anda hanya dibenarkan minum air kosong sahaja dan adalah penting untuk anda mengikuti nasihat ini.
Apabila anda makan, anda bukan sahaja menelan bahan makanan tetapi juga gumpalan-gumpalan udara. Bahan-bahan makanan (diistilahkan sebagai bolus) dan gumpalan udara akan memenuhi organ perut dan menghalang gelombang ultrabunyi daripada pantul ke organ yang disasarkan untuk tujuan diagnostik. Akibatnya, imej yang terhasil akan menjadi kabur dan berkabut.
Juga, apabila anda makan, kandungan lemak dan minyak dalam bahan makanan akan menyebabkan tindakbalas pengosongan pundi hempedu. Cecair hempedu akan dirembes keluar dari pundinya sehingga pundi hempedu menjadi kempis. Juruultrabunyi memerlukan pundi hempedu yang penuh untuk memastikan tiada batu hempedu, ketumbuhan, atau masalah-masalah lain dalam pundi hempedu.
Situasi 2.
Apabila anda ke tandas untuk membuang air kecil dan mendapati air kencing dicemari dengan warna merah seakan darah, anda pergi ke klinik untuk mendapat kepastian. Anda diminta untuk minum air sehingga terasa hendak ke tandas semula apabila berada di klinik sebelum pemeriksaan ultrabunyi.
Mengapa?
Bagi pemeriksaan sistem perkumuhan, organ yang diperiksa ialah ginjal, pundi kencing dan kelenjar prostat bagi lelaki. Pendarahan dalam air kencing boleh berpunca daripada organ-organ tersebut. Contohnya batu karang pada buah pinggang / ginjal, ureter atau prostat. Pada masa yang sama, juruultrabunyi juga akan memeriksa sama ada terdapat batu karang yang menyumbat sambungan daripada ureter ke pundi kencing. Pundi kencing yang penuh penting untuk mendapatkan gambaran kedudukan yang lebih jelas bagi kelenjar prostat (bagi lelaki) dan rahim (bagi wanita) . Saiz kelenjar prostat juga akan disukat, terutamanya pada golongan lelaki veteran (yang berusia 50 tahun ke atas). Jumlah isipadu sebelum membuang air (pundi kencing penuh) dan selepas membuang air (pundi kencing kosong) juga akan disukat dengan mesin ultrabunyi untuk memastikan keupayaan membuang air masih baik.
Situasi 3.
Anda mengalami pendarahan faraj dan tidak menjangkakan haid tiba pada ketika itu. Ketika di klinik, anda diminta supaya minum dan memenuhkan pundi kencing sebelum pemeriksaan.
Mengapa?
Sistem peranakan wanita, secara anatominya, berada di antara pundi kencing dan rektum. Apabila pundi kencing berisi air, ia akan menolak rahim supaya kelihatan hampir dan melintang pada monitor. Kedudukan melintang ini adalah yang terbaik untuk juruultrabunyi melakukan pemeriksaan. Pundi kencing yang penuh juga akan mengelakkan usus kecil daripada mengganggu aliran gelombang bunyi dan juga bertindak sebagai ‘kanta’ untuk menghasilkan imej yang lebih baik. Organ yang diperiksa termasuklah rahim dan lapisannya, adnexa (ovari serta tiub fallopio kiri dan kanan, tisu-tisu sekitarnya) serta ruang-ruang sekitar rahim. Pundi kencing juga dijadikan sebagai ‘tingkap’ untuk mengetahui kedudukan ovari kerana ia acapkali sukar untuk dikesan lantaran saiznya yang kecil (terutama wanita menopaus) dan sifatnya yang ‘tergantung-gantung’ di dalam rongga tubuh.
Sekiranya rahim tersebut retrovert (terlipat ke belakang), pemeriksaan transvaginal diperlukan untuk mendapat imej yang lebih jelas. Untuk pemeriksaan transvaginal (prob ultrabunyi dimasukkan melalui vagina), pundi kencing haruslah dikosongkan terlebih dahulu untuk keselesaan pesakit. Prob transvagina berupaya mendapatkan imej dengan lebih tepat dan jelas. Sekiranya pundi kencing penuh, rahim tersebut akan tertolak terlalu jauh dari prob dan menyukarkan proses pengimejan.
Bagi pemeriksaan kelenjar tiroid, payudara, testis, otot dan sendi, arteri karotid, ketulan-ketulan bawah kulit, serta thrombosis vena dalam (DVT), tiada persediaan khusus diperlukan. Pesakit boleh terus diperiksa tanpa perlu berpuasa atau minum air sebelum pemeriksaan ultrabunyi.
Glosari
- Bolus: Gumpalan makanan yang telah dikunyah dan sedia untuk ditelan atau yang melalui esofagus.
- Polip: Sejenis ketumbuhan yang berlaku pada sebarang membran mukus, misalnya dalam hidung.
- Anomali: Kelainan yang ketara daripada biasa
- Adnexa: Tiub fallopio dan ovari
- Retrovert: Terbengkok ke belakang
- DVT: Deep Vein Thrombosis/Thrombosis vena dalam
Azizul Ismie mempunyai ijazah MD Perubatan (Odessa State Medical University, Ukraine), tetapi beralih arah dan menukar bidang ke Pengimejan Ultrabunyi. Kini, beliau memegang Diploma Pasca Ijazah dalam bidang Ultrasonografi yang diiktiraf ASUM (Australasian Society of Ultrasound Medicine). Seorang sonografer/juruultrabunyi sepenuh masa.
[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]