Bulan Ramadan merupakan bulan kesembilan dalam kalendar tahun Hijrah. Pada bulan yang dimuliakan dalam agama Islam ini, seorang Muslim yang berkemampuan diperintahkan untuk menunaikan ibadat puasa selama 29 atau 30 hari mengikut syarat-syarat yang digariskan dalam syariat Islam.
Ibadat puasa bagi umat Islam diertikan sebagai menahan diri daripada makan,minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Secara purata, umat Islam di Malaysia akan berpuasa selama hampir 14 jam sehari.
RUKHSAH DALAM IBADAT PUASA
Walau bagaimanapun sekiranya seorang Muslim tidak mampu berpuasa, terdapat rukhsah iaitu kelonggaran ketetapan hukum syarak dalam menjalankan ibadat ini. Namun, kewajiban menggantikan puasa yang ditinggalkan itu (qada) perlu juga dibuat.
Ini dinyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud : “(Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.” Surah al-Baqarah : ayat 184)
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakridi dalam Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kategori pesakit yang diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa ialah apabila dia berpuasa menyebabkan penyakitnya semakin sukar untuk pulih dan bertambah mudarat.
Meskipun demikian, apabila seseorang pesakit memilih untuk meneruskan ibadat puasa, sokongan dan bimbingan perlu diberikan dengan sewajarnya. Satu kajian berimpak tinggi yang dijalankan oleh Monash University Malaysia pada tahun 2016 merumuskan pendidikan kesihatan juga adalah satu inisiatif positif yang dapat membantu kalangan pesakit diabetes menjalani ibadat puasa dengan selamat. Bagi pesakit yang berisiko tinggi mengalami hipoglisemia, pengubahsuaian ubat-ubatan perlu dibuat.
RISIKO HIPOGLISEMIA
Antara gejala yang kerap dialami pesakit kencing manis yang berpuasa di bulan Ramadan ialah penurunan paras kandungan gula (glukosa) yang sangat rendah dalam darah atau dikenali juga sebagai hipoglisemia.Tanda-tanda yang perlu diberi perhatian awal ialah :
- Letih-lesu.
- Sakit kepala.
- Lemah, menggigil.
- Penglihatan Kabur.
PANDUAN UMUM KEPADA PESAKIT
Secara umum, pengambilan ubat-ubatan oleh pesakit yang berpuasa akan berubah dari segi waktu makan, dos dan frekuensi. Waktu pengambilan ubat perlu disesuaikan dengan waktu sahur dan waktu berbuka. Bagi pesakit kencing manis dan buah pinggang kronik, perubahan dos dan frekuensi ubat yang tidak mematuhi kesesuaian penyakit akan meningkatkan risiko berlakunya komplikasi yang tidak diingini.
Oleh itu, amat penting bagi pesakit merujuk pengamal perubatan sebelum membuat sebarang perubahan. Berikut adalah beberapa panduan umum yang boleh membantu pesakit sebelum menjelangnya bulan Ramadan:
- Mematuhi jadual saringan kesihatan yang telah diatur agar ujian darah yang dibuat menggambarkan tahap kesihatan yang terkini.
- Memaklumkan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal kepada Pegawai Perubatan sekiranya pesakit bercadang untuk berpuasa.
- Mendapatkan khidmat nasihat daripada Pegawai Farmasi berkenaan jadual pengambilan ubat sepanjang bulan Ramadan.
- Mengatur menu pemakanan yang sihat bagi mengekalkan keseimbangan nutrisi mengikut saranan Pegawai Pemakanan.
Amalan pemakanan yang sihat merangkumi semua kumpulan makanan perlu dititik beratkan semasa waktu sahur dan berbuka. Selain sihat dan seimbang dengan sumber vitamin dan zat galian, karbohidrat kompleks dan makanan yang mempunyai kadar serat yang tinggi dapat membekalkan tenaga yang berpanjangan seharian. Ia juga mengenyangkan.
Pemakanan yang betul semasa berpuasa, membantu kawalan gula dalam darah bagi pesakit kencing manis. Pengurangan kolesterol dan tekanan darah yang stabil juga adalah antara kebaikan yang diperolehi semasa berpuasa. Tambahan juga, pembuangan toksin oleh sistem badan juga akan berlaku semasa seseorang berpuasa.
PERANAN AHLI KELUARGA
Sebagai rumusan, kefahaman seorang pesakit sebelum menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadan adalah inti penting dalam persiapan diri. Ahli keluarga mempunyai peranan yang amat penting dalam memantau keadaan pesakit yang sedang berpuasa. Risiko pesakit tiba-tiba pitam dan tidak sedarkan diri amat membahayakan nyawa sekiranya tidak diberikan bantuan kecemasan dengan segera. Selain membantu pesakit mengekalkan kesihatan, manfaat beribadat secara optimum tanpa memudaratkan lagi penyakit sedia ada boleh dicapai.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1800-88-6722(Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang).
RUJUKAN
- Lee SW, Lee JY, San San Tan C, Wong CP. Strategies to make Ramadan fasting safer in type 2 diabetics: a systematic review and network meta-analysis of randomized controlled trials and observational studies. Medicine. 2016 Jan;95(2).
- Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #80: Orang Yang Diberi Keuzuran Makan Secara Terbuka Di Siang Hari Ramadhan Retrieved from : http://muftiwp.gov.my/
- Puasa dan Ubat [Artikel] Retrieved from : http://www.myhealth.gov.my/puasa-dan-ubat/
- Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (2015). [Slide] Puasa dan Ubat.
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Panduan Berpuasa bagi Pesakit. Cetakan kedua. 2013.
Artikel ini ditulis oleh:
Norvena binti Hisyam
Pegawai Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Melaka, Kementerian Kesihatan Malaysia.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]