Pertolongan Cemas dan Sokongan Hayat Asas: Bahagian II – Dr Khoo Yoong Khean

Artikel ini bersambung dari: Pertolongan Cemas dan Sokongan Hayat Asas: Bahagian I

Pendarahan dari luka:

  1. Pertama sekali, dail 999 dan panggil ambulans.
  2. Matlamat utama ialah menghalang kehilangan lebih banyak darah.
  3. Periksa jika ada apa-apa yang terbenam di dalam luka. Jika tiada, tekan luka dengan sekata dan kejap untuk menghentikan pendarahan.
  4. Jika tidak kelihatan sebarang tulang patah pada luka, angkat anggota tersebut untuk mengurangkan aliran darah.
Sumber: modernsurvivalblog.com

Sumber: modernsurvivalblog.com

Nota khas untuk hidung berdarah:

  1. Duduk dan cubit bahagian hidung yang lembut, atas sedikit dari lubang hidung, selama 10 minit dengan kejap.
  2. Tunduk ke depan dan bernafas melalui mulut. Ini akan mengeluarkan darah melalui hidung dan bukan mengalir turun ke kerongkong.
  3. Duduk tegak, dan elakkan berbaring. Ini mengurangkan tekanan darah di dalam pembuluh darah di dalam hidung dan akan membantu menghentikan pendarahan.
  4. Terus tekan hidung anda selama 30 minit (catat masa dengan jam) supaya darah boleh menggumpal. Letakkan pek ais pada batang hidung.
  5. Elakkan dari menghembus hidung, membongkok dan aktiviti berat untuk sekurang-kurangnya 12 jam selepas hidung berdarah. Cuba pastikan kepala anda berada lebih tinggi daripada paras jantung pada masa ini.

Terbakar dan melecur:

  1. Pertama, dail 999 dan panggil ambulans.
  2. Letakkan tempat lecur di bawah air dingin (bukan ais) yang mengalir selama 10 minit atau sehingga kesakitan lega.
  3. Tanggalkan pakaian atau barang kemas jika ia tidak melekat pada kulit.
  4. Jika kawasan lecur itu besar, selimutkan mangsa supaya badannya kekal hangat  (elakkan kawasan lecur) untuk menghindar hipotermia (suhu badan turun).
  5. Jangan sapu apa-apa krim atau losen.
  6. Jika boleh, angkat anggota yang melecur tersebut untuk mengelak kebengkakan.

Nota khas untuk lecur kimia:

  1. Lindungi diri anda dahulu dengan memakai sarung tangan pelindung.
  2. Letakkan tempat lecur di bawah air dingin (bukan ais) yang mengalir selama 20 minit.
Sumber: ADAM Interactive Anatomy

Sumber: ADAM Interactive Anatomy

Tercekik:

  1. Pertama, dail 999 dan panggil ambulans.
  2. Jika laluan udara hanya separuh tersekat, mangsa masih boleh bercakap, batuk, menangis atau bernafas. Dalam kes sebegini, galakkan mangsa untuk terus batuk untuk mengeluarkan benda yang menyekat pernafasan.
  3. Jika tersekat teruk dan mangsa bergelut untuk bernafas, ketuk kuat-kuat pada belakang mangsa (di antara tulang belikat) sehingga 5 kali menggunakan tumit tangan.
  4. Jika langkah di atas tidak dapat membantu mengeluarkan benda tercekik, lakukan ‘Heimlich maneuver’.
  • Berdiri di belakang mangsa yang sedang tercekik.
  • Peluk pada pinggangnya dan bongkokkan mangsa  ke depan.
  • Genggam satu tangan anda dan letakkan tangan ada pada bahagian abdomen yang atas sedikit daripada pusat mangsa dan  bawah daripada tulang dada.
  • Pegang dengan tangan yang satu lagi dan tekan dengan kuat ke dalam dan ke atas.
  • Ulang sebanyak lima kali sehingga objek yang terperangkap  di kerongkong terkeluar daripada mulut mangsa.
  • Matlamat Heimlich maneuver adalah untuk mengeluarkan objek yang tersekat dengan setiap tujahan, bukanlah bermakna anda wajib melalukannya sebanyak lima kali.

Lemas:

  1. Pertama sekali, dail 999 dan panggil ambulans.
  2. Apabila mangsa sudah berjaya dibawa ke darat, periksa pernafasan. Jika tidak bernafas, mulakan CPR.
  3. Jika mangsa bernafas, letakkan dalam posisi pemulihan dengan kepalanya lebih rendah daripada badan untuk membiarkan air mengalir keluar.

Kecederaan elektrik:

  1. Pertama sekali, dail 999 dan panggil ambulans.
  2. Matikan punca arus elektrik jika anda boleh menjumpainya.
  3. Jika tidak:
  • Lindungi diri anda dengan bahan penebat.
  • Gunakan sesuatu yang kering dan bukan logam seperti batang kayu, dan tolak mangsa menjauhi punca elektrik.
  • Jangan sentuh mangsa sehinggalah bekalan elektrik diputuskan.
  • Jika mangsa tidak bernafas, mulakan CPR.

Patah:

  1. Pertama sekali, dail 999 dan panggil ambulans.
  2. Andai disyaki ada kepatahan tulang, sekiranya mangsa berdarah dan tidak bernafas, anda harus uruskan hal pendarahan dan pernafasan dahulu.
  3. Ampu anggota tersebut dengan selimut atau kain yang digulung. Jika tidak pasti, jangan alihkan mangsa daripada posisi asalnya.
  4. Dalam kes-kes patah yang parah tetapi mangsa boleh berjalan (patah pada tangan, hidung dsb), bawa mangsa ke hospital terdekat dengan kenderaan.

Keracunan:

  1. Pertama sekali, dail 999 dan panggil ambulans.
  2. Jika mangsa stabil, cuba tanya apakah punca keracunan (sama ada patukan ular, tertelan bahan kimia dsb).
  3. Jangan paksa mangsa muntah atau beri mangsa makanan atau minuman dalam kes tertelan racun.

Dalam kes patukan ular:

  1. Cuba ingat rupa ular jika boleh.
  2. Tanggalkan barang kemas seperti rantai, cincin atau gelang.
  3. Jangan gerakkan anggota yang dipatuk. Bertenang dan elakkan pergerakan untuk mengelakkan bisa terus merebak.
  4. Perlahan-lahan cuba letakkan mangsa pada posisi di mana anggota badan terbabit lebih rendah daripada jantung.
  5. JANGAN PASANG TORNIKET (mengikat bahagian yang terlibat).
  6. JANGAN POTONG BEKAS PATUKAN ATAU CUBA MENYEDUT BISA KELUAR.
  7. JANGAN TANGKAP ULAR TADI.

Dr. Khoo Yoong Khean adalah Penolong Ketua Editor Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau dengan lebih lanjut dalam kolum ‘The Team’. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box