Inspirasi untuk menubuhkan organisasi sukarelawan bukan badan kerajaan ini tercetus menerusi pengalaman kami sebagai pasukan Obstetriks dan Ginekologi (O&G) yang melakukan lawatan bulanan di salah satu hospital pedalaman di Sarawak. Kami mendapati bilangan kes kanser wanita seperti kanser pangkal rahim (serviks), kanser rahim dan ovari adalah sangat tinggi di situ. Kebanyakan pesakit yang dirujuk ke klinik pakar O&G kami sudahpun pada peringkat stage 3 ke atas. Apabila ditanya kepada pesakit mengapa tidak merujuk kepada klinik berdekatan dengan lebih awal walaupun simptom sudahpun dihidapi untuk jangka masa yang agak lama sebelum itu, pesakit-pesakit dari kawasan pedalaman ini menjawab:
“Saya ingatkan darah period saya memang biasa tidak tentu keluar seperti ini”
“Perut yang makin besar ini saya ingatkan buncit biasa sahaja”
“Saya ingin buat pap smear di klinik, tapi darah period saya tak pernah berhenti berminggu-minggu”
“Misi klinik ada suruh saya pegi jumpa doktor pakar di hospital, tapi saya miskin dan tak ada kenderaan untuk pergi ke sana”
Jawapan sebegini membuat kami menggeleng-geleng kepala. Tambahan lagi, apabila pemeriksaan kami mengesahkan kanser mereka sudah pun merebak ke tempat lain. Alangkah baiknya sekiranya kanser ini boleh dicegah dan dikesan lebih awal. Dengan itu, Pink & Teal Empowher telah ditubuhkan pada 29 Jun 2018 bersama-sama anggota perubatan dan bukan perubatan untuk meningkatkan kesedaran kanser wanita di kalangan masyarakat pedalaman di Sarawak. Pink Ribbon adalah simbol kepada kanser payudara, manakala Teal ribbon mewakili kanser serviks. Kedua-dua simbol ini digabungkan bersama kerana kami yakin kedua-dua kanser ini boleh disaring dan dirawat lebih awal pada masa yang serentak. Kedua-dua kanser ini mencatatkan statistik paling tinggi untuk kanser wanita di dunia secara keseluruhannya. Selain itu, kami juga menawarkan perkhidmatan imbasan ultrabunyi pelvis secara percuma, dengan berharap boleh mengesan petanda awal kanser rahim dan ovari, walaupun setakat ini belum ada saringan yang spesifik boleh digunakan untuk kanser rahim dan ovari.
Apabila dianalisis kenapa insiden kanser serviks lebih tinggi di kawasan pedalaman Sarawak, kami mendapati ramai wanita kurang faham mengapa pap smear mesti dilakukan. Stigma terhadap pemeriksaan ini serta perasaan malu menyukarkan lagi pesakit untuk datang berjumpa dengan doktor. Sesetengah wanita yang sudah pun mengalami simptom atau tanda awal prakanser, sukar untuk pegi ke klinik berdekatan kerana kampung mereka berada jauh di dalam hutan dan bukit (kami sudahpun merasai naik ke kawasan tersebut dgn lori biasa). Selain tu, kebanyakkan pesakit adalah sangat miskin dan pendapatan harian mereka cuma bergantung kepada tanaman kebun yang kurang daripada RM500 sebulan. Beberapa pesakit yang didapati positif semasa saringan kami akan dibantu oleh wakil rakyat di kawasan itu agar pesakit dapat pegi mendapatkan lawatan susulan menggunakan kenderaan yang telah disediakan oleh penghulu kampung.
Pada awal penubuhan persatuan Pink & Teal ini, pihak kami mendapat tentangan yang hebat daripada pelbagai pihak. Dengan tiada dana disediakan pada awal penubuhan, kami bersama-sama menggunakan duit poket sendiri untuk membeli barang-barang yang diperlukan. Dengan bilangan sukarelawan yang kecil, kami teruskan juga aktiviti kami di beberapa kawasan Puncak Borneo, Pedawan. Pada mulanya program kami kurang mendapat sambutan daripada orang kampung. Setelah menganalisa masalah dan punca kegagalan program ini, kami perlahan-lahan menaiktaraf perkhidmatan yang ditawarkan dan sambutan amat menggalakkan selepas itu. Pada waktu ini, jumlah sukarelawan sudahpun mulai bertambah untuk memastikan aktiviti-aktiviti berjalan lancar.
Apa yang menarik mengenai persatuan Pink & Teal ini, kami memperkenalkan saringan kanser serviks menggunaan Visual Inspection of Acetic Acid (VIA) yang boleh memberikan keputusan normal atau abnormal pada masa yang sama. Ianya tidak seperti pap smear yang perlu menunggu 2 minggu hingga satu bulan untuk mendapatkan keputusan kembali kepada pesakit. VIA mempunyai sensitiviti lebih kurang 75% berbanding dengan pap smear yang cuma setinggi 45%. Pesakit yang didapati positif untuk VIA akan disarankan utk pemeriksaan segera menggunakan kolposkopi dan biopsy/sampel akan diambil dari pangkal rahim untuk mengesahkan diagnosis prakanser. Kelemahan VIA adalah kekurangan tenaga staff terlatih yang boleh membaca keputusan VIA. Dengan itu, Jabatan O&G UNIMAS telah menganjurkan bengkel VIA untuk beberapa staf yang terpilih sebagai langkah untuk melatih doktor atau jururawat melakukan VIA dibawah pantauan pakar O&G.
Kumpulan Pink & Teal ini juga disertai oleh pakar radiologi, kesihatan awam dan ENT (hidung, tekak anda telinga). Saringan secara besar-besaran ini juga akan menarik kehadiran penduduk lain terutamanya bangsa bidayuh yang mempunyai insiden kanser hidung yang sangat tinggi di area ini. Kegiatan terbaru sebelum ini juga dibantu oleh pihak sukarelawan jabatan pergigian untuk menarik lebih penduduk kampung datang semasa aktiviti dijalankan. Jururawat terlatih akan melakukan pemeriksaan payudara sendiri (self breast examination) kepada wanita. Pesakit yang mempunyai masalah payudara akan diimbas dengan lebih lanjut oleh pakar radiologi kami, supaya pesakit yang disyaki mendapat kanser payudara boleh dihantar segera ke hospital pakar untuk rawatan susulan.
“Every great man, every successful man, no matter what the field of endeavor, has known the magic that lies in this words: Every adversity has the seed of an equivalent or greater benefit.” (W. Clement)
Seorang pakar perunding yang sangat dikenali juga pernah menasihati kami, mengalami tentangan semasa memperkenalkan sesuatu yang baru adalah biasa. Ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk orang ramai akan mula menerima dan memahami projek yang kami perjuangkan selama ini. Impian Pink & Teal EmpowHer adalah untuk mengumpul dana membeli bas atau trailer bergerak yang lengkap dengan fasiliti perubatan supaya pasukan ini boleh pergi lebih jauh ke kawasan pedalaman Sarawak yang memerlukan servis kami, disamping membantu menurunkan insiden kanser wanita di Sarawak. Buat masa ini, kami melakukan lawatan ke kawasan pedalaman Pedawan, Serian dan Lundu.
Kami yakin kanser wanita sebenarnya boleh dikesan dan dirawat dengan lebih awal. Untuk informasi yang lebih lanjut mengenai persatuan Pink & Teal EmpowHer, sila layari Facebook atau Instagram kami. Sesiapa yang ingin menderma juga boleh melayari alamat ini: https://www.simplygiving.com/event/cancerscreeningoutreach
Artikel disediakan oleh Dr Mardiana Kipli, Pakar Obstetriks dan Ginekologi, UNIMAS. Beliau juga merupakan penasihat kepada Persatuan Pink & Teal EmpowHer.