Plantar Fasciitis / Sakit Tumit – Dr Ahmad Mahyuddin

plantar-fascia_13

Source: http://www.plantar-fasciitis-elrofeet.com/

Lokasi sakit ini boleh dikenalpasti dengan khusus. Apabila ditekan ia menimbulkan rasa sakit yang amat sangat. Kadang-kala anda boleh merasa satu benjolan (nodule) sebesar duit 5 sen pada bahagian yang paling sakit tersebut apabila anda menekan bahagian itu.
Antara penyebab Plantar fasciitis ini ialah:
  1. Berat badan berlebihan
  2. Memakai kasut yang tidak sesuai (keras, tidak selesa)
  3. Banyak berjalan atau berdiri lama
Ia boleh dirawat dengan cara berikut:-
  1. Memilih kasut atau selipar yang mempunyai lapisan dalam (insole) yang lembut dan selesa
  2. Mengurangkan berat badan
  3. Ubat tahan sakit (semasa peringkat awal diagnosis) biasanya ubat anti-radang seperti Ponstan/ Voltaren / Celebrex
  4. Fisioterapi – ultrasound / heat / cold
Sekiranya cara rawatan seperti yang dinyatakan di atas tidak berkesan, maka suntikan campuran ubat anti-radang (steroid) dan ubat bius setempat (lignocaine) boleh diberi pada tumit di kedudukan ‘plantar fasci’ (plantar fasci origin). Ini akan memberi kesan kelegaan segera.Namun suntikan ini hanya dibenarkan maksima 3 kali setahun. Sekiranya anda bertanya pendapat saya mengenai rawatan yang terbaik,jawapannya semestilah dengan membuat pilihan yang bijak iaitu pemilihan serta penggunaan kasut/selipar yang sesuai dan selesa. Ini mungkin akan melibatkan kos pembelian yang sedikit tinggi, namun kasut yang sesuai mendatangkan kebaikan serta  boleh menghindari dari menghidapi sakit tumit. Kita tidak seharusnya mempertikaikan atau merasa berat hati untuk berbelanja lebih bagi mendapat barangan yang terbaik untuk diri sendiri, lebih-lebih lagi sekiranya ianya mendatangkan manfaat dan kebaikan. Alah membeli, menang memakai…bukankah begitu?
Dr Mahyuddin seorang pakar ortopedik. Beliau amat mementingkan peningkatan kesedaran kesihatan di kalangan pesakitnya dan juga komuniti secara amnya. Kenali beliau lebih lanjut di ruangan Columnists kami.
[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]

9 comments for “Plantar Fasciitis / Sakit Tumit – Dr Ahmad Mahyuddin

  1. Sapili Samita
    September 20, 2013 at 9:07 am

    Apa sebab seseorang merasakan sakit yang amat sangat pada tapak kaki berhampiran jari kaki kelingking, bukan pada joint?

  2. September 21, 2013 at 5:06 pm

    Puan Sapili,

    Terima kasih kerana bertanya.

    Pada pandangan saya, sakit yang puan alami tidak berkaitan dengan penyakit Plantar fasciitis ini.

    Sakit pada bahagian tapak kaki berhampiran jari kelingking boleh disebabkan oleh pelbagai kemungkinan. Antaranya tekanan pada saraf digital dan juga kekurangan bekalan darah akibat gangguan pada salur darah. Ia boleh juga disebabkan oleh tekanan daripada dalam tisu tapak kaki akibat ketumbuhan.

    Puan perlu berjumpa doktor bagi melakukan permeriksaan lanjut bagi memastikan sebab kesakitan ini berlaku. Terima kasih.

    Dr. Mahyuddin

  3. Ang
    November 19, 2013 at 12:25 pm

    Hi. Saya sudah mengalami sakit pada tepi tapak kaki dua tahun lebih. Mula-mula sakit tidak begitu ketara iaitu ia akan reda sendiri. Tetapi beberapa bulan lepas, sakit sudah mula serius.
    Ingin bertanya bagaimana untuk memilih atau membeli kasut/selipar yang sesuai dan selesa? Apa pandangan doktor berkenaan syarikat yang membuat kasut khusus (ready made) untuk tujuan ini yang berharga beberapa ribu? Ada alternatif yang lebih murah? Terima kasih.

    • November 21, 2013 at 12:01 am

      Mr Ang,

      Terima kasih kerana bertanya. Secara asasnya, dari segi perubatan, kasut atau selipar yang kita pakai perlu memenuhi beberapa kriteria bagi mengelakkan masalah timbul apabila kita berjalan. Kriteria yang saya maksudkan ialah, kasut atau selipar tersebut perlu mempunyai tapak dalam (alas yang bertemu secara langsung dengan kaki) yang lembut, serta ia mestilah tidak ketat. Ia bagi membolehkan mengudaraan kaki, mengelakkan pembentukan luka, radang atau luka, serta mengelakkan ketidakselesaan semasa berjalan.

      Bagi menjawab soalan Encik, kita perlu pastikan apakah masalah yang sedang encik hadapi kerana masalah berbeza memerlukan kasut yang berbeza. Kebanyakkan kasut ready-made sesuai untuk masyarakat umum, namun sesetengah masalah perubatan yang disebabkan oleh kaki, memerlukan kasut yang custom-made.

      Di hospital, alternatif yang lebih murah memang ada iaitu occupational therapist, dimana mereka boleh menawarkan modifikasi kepada kasut encik dan juga khidmat nasihat. Namun terdapat juga masalah yang perlu kasut yang custom-made.Saya cadangkan Encik berjumpa doktor dahulu bagi memastikan diagnosis bagi masalah encik.

      Terima kasih.

      Dr. Mahyuddin

  4. Miss PL
    December 6, 2013 at 9:18 am

    As Salam Doc,Saya mengalami Plantar Facitis (PF) kedua-dua tumit hampir setahun. Keadaan makin teruk sehingga saya berjumpa pakar. Setelah di x-ray, didapati ada pertumbuhan Heel Spur di kaki kanan.Doktor menyarankan saya membuat rawatan awal dgn makan ubat tahan sakit serta physio. sudah 2 bulan sakit masih tidak pulih. Doktor mencadang untuk memberi suntikan. Menurut doktor, suntikkan akan dilakukan dalam keadaan saya tidak sedar (dibius). Saya ingin meminta padangan dari Doktor Mahyuddin:1. Apa kesan sampingan setelah saya disuntik? 2. Senaman atau cara lain untuk kurang sakit. 3. Dimanakah saya boleh dapatkan kasut yg sesuai di KL? 4. Semasa physio, sakit diberi rawatan ultrasound dan hot pad, adakah betul?Pandangan doktor amat saya hargai.

  5. December 10, 2013 at 10:55 pm

    Waalaikumussalam.

    Terima kasih kerana bertanya. Puan perlu maklum bahawa heel spur tidak semestinya menyebabkan Plantar fasciitis. Plantar fasciitis disebabkan oleh radang tisu plantar fascia.

    1. Kesan sampingan – hanya kesakitan sementara akibat suntikan jarum. Namun sekiranya tidak dilakukan dengan betul dan pada tempat yang tepat, sakit mungkin tidak akan hilang. Suntikan tidak boleh diberi melebihi 3 kali setahun kerana boleh menyebabkan kerosakan tisu plantar fascia itu sendiri.

    2. Kasut yang sesuai akan membantu.

    3. Saya cadangkan kasut Scholl. Boleh dapat di Suria KLCC

    4. Betul. Hotpad dan ultrasound boleh digunakan bagi mengurangkan radang dan kesakitan.

    Semoga jawapan saya membantu Puan. Saya doakan puan segera sembuh, aamiin.

  6. diana
    September 15, 2014 at 10:10 am

    Doktor,
    Saya mgalami skit tumit ..mula nye ingt peranakan.tetapi bukan…slepas urut masih lg sakit ..kalau pergi ke klinik adakah doktor akan mberikan rawatan dgn meberi ubt atau xray …perlukan saya menurunkan berat badan dan sakit tumit akan hilang .

    • October 16, 2014 at 11:16 pm

      Saudari Diana,
      Kita perlu pastikan apa sebab sebenar sakit tumit puan ni. Sekiranya plantar fasciitis, biasanya puan akan diberi ubat bagi mengurangkan keradangan dan dirujuk ke fisioterapi bagi rawatan awal. Xray boleh dilakukan sekiranya difikirkan perlu namun ia tidak akan mengubah rawatan yang bakal diberikan.

      Mengurangkan berat badan MEMANG akan mengurangkan bebanan kepada tapak kaki dan insyaALlah akan membantu Puan mengatasi maslah Puan ni. Terima kasih

  7. Azilah
    May 2, 2015 at 1:55 pm

    Assalamulaikum dr,

    Anak saya yg aktif sukan kebelakangan ini kerap mengadu sakit tumit. Adakah kanak kanak juga boleh mendapat plantar fascitis?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box