Polio, sejenis penyakit berjangkit yang jarang diperkatakan. Malah hampir tidak pernah dilihat oleh kebanyakan doktor di Malaysia sejak berpuluh tahun melainkan melalui buku rujukan dan laporan kes terdahulu. Apa yang kita ketahui sebelum ini adalah Polio adalah suatu penyakit yang dianggap sejarah setelah negara kita bersama dengan negara-negara rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region) telah berjaya diisyhtiharkan bebas daripada penyakit Polio pada tahun 2000. Apatah lagi, kes terakhir dilaporkan di Malaysia terjadi pada tahun 1992 iaitu hampir 30 tahun yang lalu. Namun, ternyata sejarah tidak hanya tinggal sejarah sekiranya kita alpa dan lalai untuk memahami pengajaran yang ada disebaliknya. Baru-baru ini, Malaysia digemparkan sekali lagi dengan kehadiran jangkitan Polio melibatkan bayi berumur 3 bulan di Tuaran, Sabah.
Apakah itu Polio?
Polio atau poliomyelitis ialah sejenis penyakit mudah berjangkit disebabkan oleh kuman Poliovirus. Ianya menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan lumpuh dalam masa beberapa jam.
Bagaimana ianya merebak?
Secara umumunya, Polio dikaitkan dengan keadaan persekitaran yang kotor dan tidak bersih. Ianya menjangkiti sesama manusia dengan merebak ke dalam sistem pencernaan badan melalui najis ataupun melalui pengambilan makanan dan minuman yang telah tercemar oleh najis. Virus ini kemudiannya membiak dengan banyaknya di dalam usus manusia dan dikumuhkan melalui najis. Justeru, kitaran jangkitan ini akan berterusan. Apatah lagi sekiranya kadar rangkuman imunisasi di sesuatu kawasan adalah kurang daripada 95%.
Siapakah yang cenderung menghidapi Polio?
Kanak-kanak yang berusia 5 tahun dan kebawah, mereka yang tidak mengendalikan najis secara bersih dan tidak mendapatkan sumber air yang bersih.
Apakah gejala-gejala Polio?
Polio tergolong dalam kes acute flaccid paralysis atau keadaan lumpuh yang mengejut. Ini kerana jangkitan polio boleh menyebabkan kelumpuhan iaitu 1 dalam 200 jangkitan terutama pada kaki. Gejala-gejala awal adalah tidak khusus seperti demam, keletihan, muntah dan sakit-sakit badan.
Bolehkah Polio mengakibatkan kematian?
Ya, Polio boleh membawa maut apabila sistem pernafasan terganggu akibat lumpuh.
Bagaimana Polio dapat dikesan?
Jangkitan Polio dapat dikenalpasti melalui gejala-gejala yang terjadi dan juga disahkan dengan penemuan virus pada sampel yang diambil dari tekak, najis atau cecair serebrospinal di sekitar saraf tunjang.
Apakah rawatan Polio?
Tiada rawatan khusus untuk Polio. Ianya hanya boleh dicegah melalui imunisasi dan pemberian vaksin.
Adakah Polio boleh dicegah?
Polio terbukti boleh dicegah dengan vaksin polio. Vaksin polio telah diperkenalkan di dalam program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 1972 secara oral (Oral Polio Vaccine) dan kemudian ditukarkan kepada secara suntikan IPV pada 2008 (Inactivated Polio vaccine), yang mana terbukti berkesan dan selamat.
Apakah jadual imunisasi polio di Malaysia?
Terdapa 3 dos primer dan 1 dos tambahan untuk suntikan vaksin polio. Ianya diberikan ketika berusia 2, 3, dan 5 bulan dengan dos tambahan pada usia 18 bulan.
Apa yang perlu saya lakukan sekarang?
Menjaga kebersihan di mana jua berada terutama ketika mengendalikan najis dan menyediakan makanan. Perlulah juga memastikan anak-anak mendapatkan vaksin yang telah disarankan dalam jadual imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Segeralah mendapatkan rawatan sekiranya mengesyaki dijangkiti polio dan hendaklah memaklumkan kepada pihak kesihatan sekiranya terdapat kes-kes yang disyaki tetapi tidak mendapatkan rawatan.
Bagaimana jika ada antara ahli keluarga tidak pernah mendapatkan imunisasi polio?
Suntikan vaksin polio boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang tercicir asalkan berusia kurang 7 tahun. Segeralah berjumpa dengan pihak kesihatan di klinik berhampiran. Amalkan kebersihan ketika berada di dalam dan di luar rumah.
Kesimpulannya, semoga kes ini memberi iktibar akan betapa pentingnya kesedaran masyarakat terhadap jangkitan kuman yang boleh berlaku dan kepentingan pengambilan imunisasi secara berkala. Sejarah boleh berulang namun masih boleh dicegah dari terus berulang!!!
Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan, beliau merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Klinik Kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.
Rujukan:
1) World Health Organization – Poliomyelitis.
2) UpToDate – Polio and other infectious causes of acute flaccid paralysis.
3) Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Kejadian Kes Polio Pertama Setelah Malaysia Diisytiharkan Bebas Polio
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]