Produk-produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi racun berjadual hydroquinone dan tretinoin, yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik. Oleh itu, produk-produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Produk yang mengandungi hydroquinone dan/atau tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan. Hydroquinone biasanya digunakan untuk tujuan merawat kulit yang mengalami masalah hiperpigmentasi, manakala tretinoin pula digunakan untuk mengurangkan kesan inflamasi bagi merawat masalah jerawat (acne vulgaris). Penggunaan hydroquinone dan/atau tretinoin tanpa mendapat nasihat kepakaran dari profesional kesihatan dikhuatiri boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata. Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta merta dan memanggilbalik kesemua stok fizikal produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.
Sesiapa yang mempunyai stok produk di atas dinasihatkan menghentikan penjualan/ pengedaran/ penggunaan produk tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan produk-produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua- duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Pengguna adalah dinasihatkan untuk menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-78835532/5533/5537 jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat daripada penggunaan produk-produk kosmetik.
Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 13 Jun 2014