Pukul berapa nak pantau gula (BSP) ketika Ramadhan?- Dr Shaiful Ehsan

diabetes

Pernahkah anda disarankan oleh pihak doktor untuk memantau bacaan gula, iaitu sebelum dan selepas makan sebagai langkah melihat kawalan kencing manis? Anda disuruh melakukan pemantauan berkala blood sugar profile (BSP) di klinik desa ketika mengandung? Iaitu sebelum makan pagi, makan tengahhari, makan malam dan sebelum tidur? Namun bagaimana pula rutin pemantauan ini ketika Ramadhan yang mana tiada istilah makan pada waktu siang….perlukah bacaan awal pagi dan tengahhari diteruskan?

Itu adalah persoalan yang sering ditanya, bukan sahaja oleh pihak pesakit tetapi juga pihak doktor dan staf kesihatan itu sendiri. Berikut adalah waktu yang disarankan untuk melakukan pemantauan, terutama bagi mereka yang mengambil rawatan insulin ketika berpuasa Ramadhan:

  1. Sejurus sebelum sahur – untuk memantau keberkesanan dan kesan insulin yang diberi pada waktu lewat malam sebelum tidur atau sebelum berbuka puasa
  2. 2 jam selepas sahur – untuk memantau kenaikan gula selepas makan sahur dan keberkesanan insulin yang diberi sebelum bersahur (insulin sama seperti insulin yang diberi pada sebelum makan pagi tapi pada dos yang lebih rendah)
  3. Waktu tengah hari (biarpun berpuasa) – untuk melihat jika ada kekurangan gula (hipoglisemia) dan kesan insulin yang diberi sebelum sahur
  4. Sebelum berbuka – untuk melihat kekurangan gula setelah lama berpuasa biarpun tiada gejala hipoglisemia dan langkah berjaga-jaga sebelum memberi insulin pada waktu berbuka puasa besar
  5. 2 jam selepas berbuka puasa – untuk melihat keberkesanan insulin yang diberi sebelum berbuka puasa

Bacaan selepas makan sebaik-baiknya hendaklah kurang daripada 7.8 mmol/l. Manakala sekitar puasa adalah lebih kurang 5 hingga 7.2 mmol/l. Sasaran ini adalah ideal bagi mengelakkan serangan hipoglisemia mahupun hiperglisemia di samping mengekalkan paras gula yang unggul.

Berikut adalah CONTOH jadual bacaan yang dicadangkan dengan kekerapan yang minima, terutama bagi kencing manis ketika mengandung:

Waktu Pemantauan Bacaan gula (mmol/l) ideal
Sekitar 5am (sebelum sahur) < 7.2
Sekitar 12pm (berpuasa) 5 – 7.2
Sekitar 6pm (berpuasa / sebelum berbuka) 5 – 7.2
Sekitar 9pm (selepas berbuka puasa) **< 7.8 (jika sejurus 90 min lepas makan)

**Bacaan bergantung kepada waktu selepas makan

Untuk pesakit yang sedang menggunakan insulin, berikut adalah cadangan anjakan dos insulin mereka berdasarkan bacaan gula:

Bacaan gula sebelum makan (sebelum berbuka puasa / sahur) Insulin
< 3.9 mmol/l Kurangkan 4 unit
3.9 – 5.0 mmol/l Kurangkan 2 unit
5.0 – 7.2 mmol/l Kekalkan dos insulin
7.2 – 11.1 mmol/l Naikkan 2 unit
> 11.1 mmol/l Naikkan 4 unit

Namun begitu, semua pesakit digalakkan melakukan pemantauan bacaan gula dengan segera sekiranya mengalami tanda-tanda kekurangan gula seperti berpeluh-peluh, rasa nak pitam, sangat letih dan sebagainya.

Mereka digalakkan berhenti dari meneruskan puasa jika:

  1. Bacaan gula rendah dari 3.3 pada mana-mana waktu.
  2. Bacaan gula rendah dari 3.9 pada jam yang pertama selepas berpuasa.
  3. Bacaan gula menjadi terlalu tinggi, lebih dari 16.7.
  4. Mengalami gejala-gejala kekurangan gula.

Secara kesimpulannya, risiko untuk berpuasa bagi pesakit kencing manis adalah berbeza mengikut individu tertentu. Pesakit yang berisiko tinggi namun berhasrat untuk berpuasa perlulah mendapatkan maklumat yang lebih jelas daripada pihak kesihatan berkenaan risiko tersebut dan perubahan yang perlu dilakukan ketika berpuasa.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.

Rujukan:

1) Clinical Practice Guidelines Management of Type 2 Diabetes Mellitus 2015 (5th Edition).

2) Practical Guide to Diabetes Management in Ramadhan 2015.

3) Diabetes and Ramadhan: Practical Guidelines. International Diabetes Federation (IDF), in collaboration with Diabetes and Ramadhan International Alliance.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box