Rabun Jauh dan Kanak-kanak- Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah

Sumber: cohensfashionoptical.wordpress.com

Sumber: cohensfashionoptical.wordpress.com

Rabun jauh atau myopia adalah masalah di mana seseorang itu tidak dapat melihat objek yang berada jauh dengan jelas. Apa yang menyebabkan seseorang itu rabun adalah bola mata yang lebih panjang daripada biasa menyebabkan imej tidak terfokus dengan baik. Seseorang itu akan memerlukan cermin mata atau kanta lekap untuk membantu memperbaiki imej yang terbentuk.

Dijangkakan lebih kurang 1 billion orang di seluruh dunia mempunyai rabun jauh, dan ini semestinya memberi impak kepada kos penjagaan kesihatan dunia. Sebuah kajian pada tahun 2003 yang dijalankan di Gombak, Selangor, mendapati 35% daripada kanak-kanak bersekolah adalah rabun, yang mana 65% adalah berbangsa Cina, 30 % Melayu dan 15% India.

Antara faktor peningkatan rabun di kalangan kanak-kanak adalah kerana terlalu banyak melakukan kerja yang memerlukan fokus pada jarak dekat, seperti membaca, menonton television dan bermain iPad atau peralatan elektronik, dan seterusnya kurangnya bermain di luar rumah.

Semasa kanak-kanak masih membesar, kanta mata berfungsi menentukan berapa besar bola mata perlu membesar. Kanak-kanak yang contohnya selalu bermain peranti elektronik, dan kurang bermain di luar, kanta matanya akan sentiasa dalam keadaan bulat (globular), dan ini memberi signal kepada mata untuk membesar. Apabila bola mata menjadi terlalu panjang, maka mereka akan membesar sebagai dewasa yang rabun. Apabila kuasa cermin mata terlalu tinggi iaitu melebih 6 diopter atau -6.00DS, mereka mengalami risiko untuk saraf retina tertanggal, lubang pada saraf retina, glaukoma dan pelbagai masalah serius yang lain.

Lebih ramai kanak-kanak mengalami rabun jauh berbanding rabun dekat, tetapi hanya melalui pemeriksaan lengkap, jenis-jenis rabun itu dapat ditentukan. Sekiranya ibu bapa mendapati anak mereka juling, selalu mengadu sakit kepala atau tidak nampak di sekolah, atau mereka mempunyai postur kepala yang tidak normal semasa menonton TV (contohnya teleng ke kiri atau ke kanan), ibu bapa perlu membawa anak itu untuk pemeriksaan dengan pakar mata secepat mungkin, sebaik-baiknya sebelum usia 6 tahun.

Jika dikesan dari awal masalah rabun yang dihadapi kanak-kanak itu dapat dirawat dengan menggunakan cermin mata. Walau bagaimanapun, sebaiknya pembentukan rabun ini dicegah dari awal kerana mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat.

Antara rawatan yang disyorkan adalah dengan pemakaian cermin mata. Penggunaan kanta lekap adalah tidak digalakkan bagi kanak-kanak kerana mereka kurang cermat dari segi penjagaan kanta lekap, contohnya sekiranya kanak-kanak itu tertidur dengan memakai kanta lekap, ini boleh menyebabkan jangkitan kuman. Pembedahan LASIK untuk merawat rabun jauh, hanya boleh dilakukan selepas seseorang itu mencapai usia 21 tahun, kerana selepas usia itu mereka tidak lagi membesar.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang rabun, sebaiknya pemeriksaan mata dilakukan setahun sekali, tetapi bagi kanak-kanak yang sedang membesar dengan pantas, contohnya mereka yang baru aqil baligh, sekiranya mereka mengadu cermin mata mereka semakin kabur atau kerap sakit kepala, bawalah mereka untuk pemeriksaan lebih awal.

Dr. Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah adalah seorang ophthalmologist & pensyarah Fakulti Perubatan UITM.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box