Jerawat adalah penyakit biasa yang dihadapi golongan remaja. Ianya perlu dirawat kerana boleh memberikan kesan fizikal dan psikologi yang berpanjangan kepada pesakit. Ramai di antara mereka yang merasa rendah diri dan boleh menjurus kepada penyakit kemurungan yang membimbangkan.
Penyebab-penyebab utama jerawat secara amnya adalah:
- Pembiakan kuman anaerob ‘propionibacterium acnes’ yang menyebabkan keradangan kulit.
- Peningkatan penghasilan sebum disebabkan oleh penghasilan berganda oleh kelenjar sebum.
- Pertukaran keratin folikel yang menyebabkan penghasilan komedon.
- Radang kulit muka disebabkan oleh produk yang dihasilkan oleh bakteria.
Objektif rawatan jerawat adalah untuk membantu menghilangkan keradangan kulit dan komedon, memastikan ianya tidak berulang dan juga mengelakkan pesakit dari mengalami kesan parut kosmetik serta masalah psikologi.
Secara amnya, rawatan untuk jerawat boleh di kategorikan kepada dua iaitu rawatan intensif (induction) iaitu bagi memastikan ketiadaan jerawat secara total (remission phase) dan rawatan pengekalan (maintenance phase).
Pilihan rawatan permulaan intensif (Induction phase):
- Krim sapu:
- Krim sapu Benzoyl Peroxide (BPO) yang berfungsi untuk membunuh bakteria, menghancurkankeratin muka dan bahan anti radang. Ia adalah terbukti berkesan untuk rawatan jerawat. Kesan sampingan yang utama adalah seperti kulit kering, kulit kemerahan, kulit merekah dan gatal.
- Krim retinoid ialah agen anti radang yang terbaik. Melalui kajian telah membuktikan keberkesanannya. Kesan sampingan yang utama adalah sama seperti BPO iaitu kulit kering, kulit kemerahan dan gatal.
- Krim adapalene juga adalah agen anti radang yang terbukti keberkesanannya.
- Krim isotretinoin adalah ubat retinoid yang sintetik. Ianya terbukti berkesan seperti krim retinoid dan adapalene. Kesan sampingan yang biasa adalah kulit kemerahan, kering dan gatal.
- Krim tazatorene yang juga merupakan anti radang yang juga efektif sebanding krim adapalene dan tretinoin. Kesan sampingan adalah kulit kemerahan, kering, menggelupas dan gatal.
- Krim antibiotik seperti clindamycin dan erythromycin yang mampu mengurangkan jerawat yang beserta radang atau tanpa radang. Kesan sampingan utama adalah kulit gatal, merah dan kering.
- Krim azelaic acid yang memusnahkan komedon, membunuh bakteria dan agen antiradang.Kesan kepada kulit adalah kulit gatal, panas dan merah.
- Krim salicylic acid adalah sangat efektif dalam mengurangkan jerawat melalui tindakan pemusnah komedon, antibiotik dan keratolitik. Kesan kepada kulit adalah gatal, kulit panas dan kemerahan.
- Krim sulfur yang mengandungi ubat agen anti radang dan keratolitik. Kesan sampingannya adalah kulit kering dan gatal.
- Krim dapsone mengandungi aktiviti antibiotic dan agen antiradang. Kesan sampingan biasa adalah kulit kering, ruam merah dan kulit panas.
- Krim gabungan antara clindamycin/BPO, adapalene/BPO, erythromycin/BPO dan clindamycin/BPO jugasangat terbukti keberkesanannya.
- Ubat makan
- Antibiotik makan:
Antibiotik-antibiotik seperti tetracycline, doxycycline, erythromycin, minocycline, azithromycin atau Bactrim digunakan dalam rawatan jerawat kelas keterukan sederhana. Antibiotik ini tidak boleh diberikan lebih dari 6 bulan tempoh pengambilannya. Antibiotik tetracycline, doxycycline, minocycline atau co-trimoxazole tidak boleh diberikan ketika mengandung. Kadar resistan antibiotik yang paling tinggi adalah antibiotic erythromycin dan terendah adalah doxycycline dan minocycline.
- Ubat hormon
Diberikan kepada pesakit wanita yang mendapat masalah jerawat dan pada masa yang sama pesakit juga memerlukan rawatan pencegah kehamilan atau pun yang mempunyai tanda-tanda tinggi hormon kelakian iaitu testosteron contohnya seperti kombinasi pil hormon estrogen dan progesteron, spironolactone dan flutamide.
- Ubat makan isotretinoin
Digunakan secara meluas untuk jerawat ‘nodulocystic’ dan jerawat yang teruk. Ianya juga boleh digunakan sekiranya jerawat keterukan sederhana gagal dalam perawatan dengan antibiotik oral. Hanya boleh dimulakan oleh pakar kulit bertauliah. Tidak boleh diberikan semasa mengandung atau menyusu ataupun pesakit wanita yang merancang untuk mengandung kerana sifat teratogeniknya (bayi cacat dalam kandungan).
Terapi pengekalan (maintenance)
Sangat penting setelah berjayanya terapi permulaan intensif (induction). Ubatan yang terbaik adalah seperti krim adapalene, krim tazarotene, krim azelaic acid, krim adapalene-benzoyl peroxide. Ianya penting bagi memastikan kehilangan jerawat secara sempurna.
Rawatan bukan ubat
Selain daripada ubatan yang terbukti efektif, pesakit juga disarankan agar mengurangkan pengambilan diet yang tinggi gula, tingkatkan pengambilan makanan berserat tinggi, pengawalan emosi (stress) dan tidak menghisap rokok.
Rujukan:
Clinical Practice Guideline (CPG) Malaysia, Management of acnes vulgaris 2012.
Fitzpatrick’s Color Atlas & synopsis of clinical dermatology , Klaus wolff, Richard ALLEN Johnson 6thEdition
Artikel ini ditulis oleh:
ASST. PROF. DR MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN
PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA, DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE, KULLIYYAH OF MEDICINE, IIUM KUANTAN PAHANG.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]