Merokok membahayakan kesihatan. Itu adalah kalimah azimat yang seringkali kita dengari sama ada dari sumber kesihatan mahupun media sosial dan masa. Namun, kadar perokok tegar di Malaysia masih tinggi, biarpun pelbagai kempen telah diusahakan. Merokok bukan sahaja ditegah kerana kesan buruknya pada kesihatan fizikal dan mental, namun ia jelas diharamkan dalam Islam berdasarkan Fatwa dan pendapat Ulama berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.
Di Malaysia, purata usia untuk mula merokok adalah berlaku seawal 15-16 tahun. Kadar perokok di kalangan mahasiswa juga agak tinggi. Situasi ini terus berterusan sehingga ke usia dewasa di mana 40% peratus warga emas juga adalah merupakan perokok dan ini amat membimbangkan. Biarpun saban tahun hampir separuh perokok dewasa berusaha untuk berhenti merokok, namun peningkatan penggunaan rokok elektronik makin ketara menunjukkan mereka tetap dengan tabiat merokok tetapi mengubah caranya sahaja. Ada juga di antara mereka akhirnya terperangkap sebagai perokok dengan kedua-dua cara.
Ini jelas menunjukkan kesedaran untuk berhenti merokok bukan sahaja perlu diterapkan melalui pendidikan kesihatan sahaja, namun melalui pendekatan agama. Rata-rata agama di seluruh dunia tiada yang menggalakkan tabiat merokok. Islam menyarankan semua penganutnya menjaga amanah yang telah diberikan termasuklah kesihatan fizikal dan menegaskan sesuatu yang membawa kepada kemudaratan dan kematian perlulah ditegah dari awal. Pendekatan agama sangat kuat terutama di kalangan masyarakat Asia dan ianya sememangnya berjaya. Kajian menunjukkan penganut Islam berupaya mencegah diri daripada merokok tatkala perlu berpuasa pada siang hari.
Namun, bagaimana Ramadhan dapat mencegah keingininan merokok? Berikut adalah beberapa faktor kuat yang mendorong kejayaan tidak merokok ketika berpuasa pada bulan Ramadhan:
1) Kepercayaan, Niat dan Azam – Ya, semuanya bermula daripada niat. Sebagai seorang Muslim, mereka perlu menjalani ibadah puasa dan berazam untuk tidak melakukan sesuatu yang membatalkan puasa mereka iaitu termasuklah merokok. Ianya merupakan suatu dosa sekiranya seseorang Muslim membatalkan puasa mereka secara sengaja. Justeru, kepercayaan ini jelas mempengaruhi minda mereka untuk sedaya upaya melawan keinginan untuk merokok ketika berpuasa. Namun semuanya berbalik kepada keimanan mereka terhadap ajaran Islam.
2) Suasana Ramadhan dan Disiplin – Ketika Ramadhan, semua masyarakat sudah sedia maklum akan kewajipan umat Islam untuk berpuasa. Justeru ketika ini, menjadi kelaziman untuk masyarakat umum tidak makan dan merokok di khayalak ramai untuk menghormati bulan ini. Adalah menjadi sesuatu yang pelik sekiranya seorang Muslim didapati merokok di khayalak ramai dan mereka boleh ditahan oleh penguasa agama tempatan.
3) Pengaruh Rakan – Ketika Ramadhan, rakan-rakan sekerja yang kebiasaannya merokok juga tidak lagi merokok ketika berpuasa. Ini sekaligus dapat mengurangkan stimulasi untuk merokok.
4) Mengawal nafsu dan Mengalih perhatian– Berpuasa seringkali dikaitkan dengan tempoh mendidik minda untuk melawan nafsu. Ketika ini juga, kita sibuk dengan menahan lapar dan dahaga yang mana dapat mengurangkan keinginan nafsu untuk merokok. Umat Islam juga sibuk dengan pelbagai ibadah yang lainnya seperti membaca Al-Quran, berzikir dan solat-solat sunat seperti solat tarawikh yang mana mampu menyibukkan diri daripada merokok.
5) Putus Tabiat – Kita seringkali mendengar akan keluhan perokok di mana mereka sukar untuk mengawal nafsu rokok selepas makan. Justeru, dengan berpuasa dan tidak makan ketika berpuasa, tabiat kebiasaan mereka juga akhirnya terganggu dan terputus.
6) Sokongan keluarga dan komuniti – Menjadi kebiasaan untuk masyarakat di Malaysia untuk berbuka puasa beramai-ramai sama ada di rumah bersama keluarga mahupun secara berjemaah ketika majlis iftar di Masjid dan Surau secara percuma. Ini secara tidak langsung mengeratkan kasih sayang dan sokongan sesama mereka untuk tidak melakukan perkara yang ditegah seperti merokok.
Justeru, sekiranya para perokok tegar sedang berkira-kira akan tarikh yang sesuai untuk berhenti merokok, Satu Ramadhan adalah antara jawapannya. Namun, sebaik-baiknya mereka mendapat bantuan daripada pihak kesihatan mahupun farmasi beberapa minggu sebelum Ramadhan agar proses berhenti merokok ini tidak sahaja terhenti ketika Ramadhan, tetapi berterusan selepas Ramadhan.
Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan, seorang Pakar Perubatan Keluarga dan pensyarah perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Rujukan:
1) Merokok Dari Pandangan Islam – Portal Rasmi Fatwa Malaysia. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/merokok-dari-pandangan-islam.
2) Clinical Practice Guideline – Treatment of Tobacco Use Disorder 2017, Ministry of Health Malaysia.
3) Nazim Ghouri et al (2006). “Influence of Islam on smoking among Muslims.” theBMJ 332(7536): 291-294.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]