Rawatan Pergigian Tidak Membatalkan Puasa – Dr Azrul Hafiz b. Abdul Aziz

Apabila tiba bulan Ramadan, timbul keraguan di kalangan segelintir masyarakat mengenai rawatan pergigian. Seringkali timbul persoalan seperti adakah rawatan gigi akan membatalkan puasa? Walaupun seringkali diberi penerangan dan hebahan, namun ada yang masih tidak yakin dan masih ragu-ragu terhadap hukum mendapatkan rawatan pergigian semasa berpuasa.

Mengikut  garispanduan bagi pesakit berpuasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada menyatakan bahawa rawatan pergigian seperti tampalan gigi (restoration), membersihkan gigi (scaling & polishing), cabutan gigi (extraction) dan memberus gigi adalah tidak membatalkan puasa selagi mana bahan-bahan yang digunakan tidak ditelan. Tambahan lagi, keputusan oleh Majma’ al-Fiqhi al-Islami  pada tahun 1997 juga mengatakan bahawa rawatan pergigian seperti tampalan gigi, cabutan gigi, membersihkan gigi mengunakan apa-apa alatan pergigian tidak akan membatalkan puasa selagi mana bahan tersebut tidak memasuki perut.

Sebagai contoh, apabila tampalan gigi dilakukan, terdapat alat penyedut yang digunakan bagi mengeluarkan air liur atau cecair bahan pergigian  daripada dalam mulut. Sekiranya terdapat lagi lebihan air di dalam mulut, pesakit boleh meludah keluar air tersebut. Ini bagi mengelakkan tertelan air atau bahan tersebut. Selain itu, apabila cabutan gigi dilakukan, pesakit harus lah berusaha agak tidak tertelan darah yang mengalir keluar daripada luka cabutan. Gigit kapas yang dibekalkan di tempat cabutan dan tukar kapas apabila telah basah. Ini akan membatu mengelakkan darah daripada berkumpul di dalam mulut.

Mendapatkan rawatan kesihatan dan pergigian merupakan salah satu daripada maqasid syariah iaitu memelihara nyawa (hifz an-nafs).  Rawatan pergigian adalah harus bagi memelihara dan memulihkan kembali fungsi gigi. Gigi yang sakit, patah atau rosak boleh dirawat oleh doktor pergigian dengan mudah. Jangan lah ragu-ragu mendapatkan rawatan pergigian walaupun sedang berpuasa. Tambahan pula, seiring dengan perkembangan teknologi, terdapat pelbagai rawatan pergigian seperti  restoratif (mengembalikan bentuk gigi), prostodontik (pengantian gigi palsu), ortodontik (membetulkan susunan gigi), periodontik (kesihatan gusi dan akar gigi), endodontik (rawatan saraf gigi) dan pembedahan pergigian (cabutan gigi bongsu) yang boleh didapati di  klinik pergigian.

Secara kesimpulannya, mendapatkan rawatan pergigian pada bulan Ramadan adalah harus dari segi hukum. Ianya boleh menjadi wajib sekiranya rawatan pergigian yang tidak dilakukan (gigi yang bernanah dan menyebabkan muka bengkak)  boleh membahayakan kesihatan dan menyebabkan kehilangan nyawa. Lakukan rawatan pergigian sekiranya perlu dan jangan bertangguh lagi.

 

Artikel ini ditulis oleh Profesor Madya Dr Azrul Hafiz b. Abdul Aziz, seorang Pakar Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box