Realiti Skizofrenia dan Kepentingan Merujuk Pakar untuk Rawatan – Dr Mar’ain Ahmad Dani

“Saya tak nak bergantung dengan ubat seumur hidup”

“Ubat yang saya makan tu dibuat dari dadah”

“Saya nak cari ubat yang boleh menyembuhkan  seratus peratus penyakit ini”

“Saya lebih suka rawatan yang berasaskan sumber semula jadi berbanding ubat-ubatan yang dicipta dimana mengandungi bahan kimia”

Berikut adalah perkataan-perkataan yang sering diungkapkan oleh penghidap pesakit Skizofrenia yang kronik dan juga ahli-ahli keluarga.

Skizofrenia adalah gangguan psikosis yang sering berlaku. Kejadian skizofrenia pada lelaki lebih besar dari pada wanita.

Psikosis di sini bermaksud gangguan mental yg teruk, yang dicirikan oleh perubahan perwatakan dan ketakpekaan terhadap persekitaran.

Kadar di kalangan masyarakat dianggarkan 1-2% dari seluruh penduduk. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan skizofrenia, antaranya faktor genetik, biologi, biokimia, psikososial, status sosial ekonomi, stress, serta penyalahgunaan dadah.

Individu yang mengalami skizofrenia akan menghadapi simptom-simptom delusi, halusinasi, percakapan yang sukar difahami atau tidak masuk akal, tingkah laku yang di luar norma masyarakat dan juga simptoms negatif seperti hilang minat, kurang bercakap, pengasingan diri dan emosi yang tidak terkawal.

Penemuan ubat-ubatan antipsikotik masa kini sering digunakan untuk mengawal simptom-simptom skizofrenia.

Realiti sebenar yang sukar diterima

Rawatan ubat-ubatan yang ditawarkan pada hari ini sememangnya memerlukan pesakit-pesakit untuk mengambil setiap hari selain itu juga terdapat ubat-ubatan dalam bentuk injeksi berkala dan juga ubat yang dititiskan ke dalam minuman. Dalam sesetengah kes, risiko bahaya bagi pesakit skizofrenia sangat tinggi seperti risiko ingin membunuh diri atau mencederakan orang lain dan setelah ubat-ubatan yang dberi tidak dapat membaik pulih keadaan pesakit maka terapi elektrokonvulsif dipertimbangkan untuk membantu pesakit.

Pemilihan ubat-ubatan dan rawatan adalah bergantung kepada kesesuaian setiap pesakit. Berlainan pesakit berlainan jua kadar respons kepada ubat-ubatan.

Hakikatnya bagi pesakit-pesakit yang lewat mendapatkan rawatan ke klinik psikiatri, pengambilan ubat-ubatan tidak berperanan untuk menyembuhkan akan tetapi ia mampu untuk mengawal simptoms yang terdapat kepada pesakit-pesakit.

Pengalaman halusinasi dan delusi sering kali menggangu pesakit-pesakit untuk melalui kehidupan sehari-harian. Keperluan mengambil rawatan ini amat perlu setiap hari, dan sering kali pesakit-pesakit dinasihatkan dalam bentuk motivasi “Anggaplah ini sebagai vitamin otak yang perlu diambil setiap hari untuk kamu”.

Namun begitu cabaran yang dihadapi adalah ada sesetengah pesakit yang sukar memberi komitmen untuk menelan ubat setiap hari atas beberapa sebab seperti terlupa, jemu, risau diketahui rakan sebilik, kemurungan kerana menghadapi pesakit skizofrenia dan merasakan diri kurang sempurna, stigma daripada orang-orang sekeliling.

Skizofrenia tidak mampu diubati semata-mata dengan air yang ditawar dengan bacaan jampi-jampi tradisional atau konservatif.

Ibarat orang yang buta matanya, pergi berjumpa doktor pakar kulit.

Atau dalam analogi mudah, seseorang yang ingin menukar tayar keretanya yang telah haus, dengan berusaha mengharapkan masalahnya akan selesai setelah berjumpa mekanik bengkel motorsikal.

Contoh yang paling dekat barangkali, seseorang yang nak sangat makan kek coklat “moist“ pergi berhenti singgah ke kedai yang hanya menyediakan kek lapis Sarawak.

 

Merujuk pakar bidang

Seruan bertanya kepada pakar bidang jika berada dalam keadaan keliru telah disarankan dalam Al-Quran.

“Dan Kami tidak utus para Rasul sebelummu ( wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka ( bukan malaikat); maka tanyalah kepada orang berilmu jika kamu tidak mengetahui,” (al anbiya 21:7)

Perkataan “orang berilmu” dalam ayat ini boleh kita terjemahkan dengan ‘pakar bidang’.

Maka sekiranya terdapat simptom-simptom, bersegeralah mendapatkan rawatan ke klinik-klinik kesihatan atau klinik swasta bagi mendapatkan surat rujukan dan seterusnya boleh dibawa bertemu dengan pakar bidang psikiatri di hospital untuk penilaian.

Sekiranya rawatan dimulakan pada peringkat awal, maka peluang untuk sembuh lebih mudah namun jika melihat kepada kepercayaan masyarakat di Malaysia yang rata-ratanya mempercayai kepada rawatan bomoh dan tradisional  atau air yang ditawarkan dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran daripada para ustaz sehingga pesakit mengalami tempoh psikosis yang tidak dirawat terlalu lama dan pada akhirnya peluang untuk sembuh juga amatlah sukar.

Namun begitu jika sewajarnya tindakan yang lebih baik adalah dengan membuat rawatan kedua-duanya serentak. Sekiranya rawatan dari pakar bidang psikiatri dimulakan di peringkat awal pesakit berpeluang menjalani kehidupan normal walaupun terpaksa menjalani rawatan dalam tempoh yang agak lama. Rawatan yang berbentuk ciri-ciri nilai agama seperti minum air yang dibacakan ayat-ayat Al-Quran juga boleh diteruskan sebagai pelengkap kepada rawatan psikiatri.

Saranan

Peranan ahli keluarga dan masyarakat amat penting untuk proses pemulihan pesakit. Maka dengan sokongan ahli keluarga rata-rata dari mereka yang dapat hidup secara berdikari malah ada yang bekerja kembali walaupun pekerjaan mereka ringan namun dapat sedikit membantu ekonomi keluarga mereka.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Mar’ain Ahmad Dani. Beliau sedang melanjutkan pelajaran untuk menjadi Pakar Psikiatri di International Islamic University Malaysia dan bertugas di International Islamic University Malaysia Medical Centre dan Hospital Tengku Ampuan Afzan. 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box