Retinopathy of Prematurity: Risiko Keadaan Mata Bayi Pramatang – Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

Bayi pramatang adalah bayi yang dilahirkan sebelum cukup usia kandungan 37-40 minggu. Bayi-bayi istimewa ini, selalunya perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal atau NICU sehingga usia mereka mencecah usia “cukup bulan”.

Oleh kerana bayi-bayi ini lahir sebelum waktunya, organ-organ dalaman mereka kebiasaannya masih belum cukup matang. Disebabkan itu mereka boleh mengalami masalah pernafasan, masalah pencernaan dan juga pelbagai masalah lain termasuk keadaan mata yang dipanggil Retinopathy of Prematurity (ROP) .

Bayi yang berusia kurang dari 32 minggu semasa dilahirkan dan berat semasa lahir kurang dari 1500g berisiko untuk mendapat ROP.(1) Selain itu, bayi yang memerlukan alat bantuan pernafasan untuk jangka masa panjang selepas dilahirkan, pendarahan di dalam otak (intraventricular haemorrhage), bayi yang terlalu muda (dilahirkan semasa 24-28 minggu) dan bayi yang tersangat kecil (kurang daripada 1250g semasa lahir)(2,3) berhadapan dengan risiko ROP yang lebih tinggi.

Bayi-bayi pramatang kebiasaannya akan disaring oleh pakar mata, sama ada di NICU atau di klinik mata, pada usia 4 minggu selepas dilahirkan atau pada usia 31 minggu bagi bayi yang dilahirkan sebelum 26 minggu. Pemeriksaan ini dijalankan dengan memberi ubat titis pada mata bayi (ubat tahan sakit). Kemudian, sebuah alat untuk membuka mata bayi dimasukkan dan saraf mata bayi akan diperiksa dengan alat yang dinamakan Binocular Indirect Ophthalmoscope (BIO).

Bagi bayi yang membesar dengan normal di dalam kandungan, salur darah di dalam matanya akan mula tumbuh dari kawasan ibu saraf dan ke seluruh bahagian mata pada usia 36 minggu. Keadaan di dalam rahim yang agak kurang oksigen, menjadi pendorong terhasilnya satu bahan yang dinamakan Vascular Endothelial Growth Factor (VEGF) di dalam bola mata untuk menggalakkan pertumbuhan salur darah.  Salur darah ini penting kerana tugasnya untuk menghantar oksigen kepada bahagian saraf mata atau retina yang belum matang (avascular retina).

Sekiranya bayi ini dilahirkan sebelum 36 minggu, perkembangan salur darah akan terhenti seketika kerana keadaan di luar Rahim yang kaya dengan oksigen menyebabkan penghasilan VEGF terhenti seketika.  Apatah lagi jika bayi tersebut memerlukan bantuan alat pernafasan seperti tiub oksigen atau endotracheal tube, ET Tube (tiub dalam trakea). Bayi-bayi ini hidup dengan kadar oksigen yang tinggi, bagi membolehkan organ lain seperti otak, jantung, paru-paru dan usus mendapat bekalan oksigen yang secukupnya. Jika pertumbuhan salur darah dan saraf baru bayi-bayi ini sampai di pertengahan bola mata, ia akan terhenti seketika.

Apabila bayi sudah semakin besar, ketika usianya sudah 2-4 minggu selepas dilahirkan dan bayi sudah boleh bernafas dengan sendirinya tanpa bantuan alat pernafasan, paras oksigen akan menurun sedikit. Contohnya, bayi yang bernafas dengan ET tube, mereka mendapat 50% bekalan oksigen, sedangkan di dalam alam sekitar, kita bernafas dengan kadar oksigen 21%.  Maka secara relatif atau perbandingan, paras oksigen dalam tubuh bayi itu menurun.

Ini menyebabkan VEGF tadi dihasilkan semula untuk menggalakkan pertumbuhan salur darah mata.

Namun, pertumbuhan ini akan menjadi abnormal kerana salur darah akan tumbuh secara bercabang dengan terlalu banyak hingga menyebabkan parut terhasil. Parut ini boleh menyebabkan struktur di bahagian sarah utama mata tertarik dan rosak lalu membuatkan mata buta.

ROP terbahagi kepada 5 peringkat (stages) mengikut garisan parut yang memisahkan kawasan mata dengan salur darah normal dan abnormal:

  • Peringkat 1: garisan nipis
  • Peringkat 2: garisan semakin tebal
  • Peringkat 3: garisan menebal dan tinggi
  • Peringkat 4: sebahagian saraf retina tertanggal
  • Peringkat 5: keseluruhan saraf retina tertanggal. Jika saraf tertanggal, maka penglihatan sangat terbatas dan hampir-hampir buta

Gambar dari Anatomy & Physiology: Current Research

PLUS disease pula adalah keadaan di mana salur darah  sangat tidak normal, sangat bengkang bengkuk (tidak lurus) dan hampir tidak dapat dipastikan yang mana satu arteri dan yang mana satu vena. Selain itu, anak mata bayi sukar untuk dikembangkan dengan ubat titis (pupillary rigidity), salur darah pada anak mata sangat besar (iris vessels engorgement) dan gel vitreous di dalam mata tidak jernih (vitreous haze).

PLUS disease adalah indikasi bahawa ROP berada pada tahap yang merbahaya dan perlu dirawat segera (3)

Gambar dari: National University Hospital Singapore

Semua bayi yang dilahirkan pramatang dan mempunyai risiko seperti yang disebutkan di atas, perlu saringan awal dan diperiksa oleh doktor mata semasa berusia 4 minggu (selepas dilahirkan) atau lebih awal lagi jika difikirkan perlu oleh pakar neonatologi. Jika ada ROP, bayi akan diperiksa setiap minggu manakala jika tiada ROP bayi akan diperiksa setiap 2-3 minggu.

Rawatan bagi ROP adalah rawatan laser ke dalam mata, di mana bayi diberikan sedikit ubat tidur agar tidak bergerak. Laser digunakan untuk mengurangkan kawasan retina yang tidak bersalur darah (avascular retina) bagi mengurangkan penghasilan VEGF. Bagi ROP yang berlaku terlalu dekat dengan kawasan ibu saraf mata, suntikan anti-VEGF boleh diberikan, iaitu sama ada ubat bernama bevacizumab atau ranibizumab.

Bagi peringkat 4 dan 5, bayi mungkin perlu menjalani pembedahan mata bagi merawat saraf retina yang sudah tertanggal.

Jika ROP tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kebutaan. Walaupun laser juga membawa risiko seperti pendarahan, kornea menjadi kabur (sementara) dan katarak, risiko ini masih rendah jika dibandingkan dengan ROP tidak dirawat.

Bayi-bayi yang mengalami ROP, sama ada memerlukan rawatan atau tidak, mempunyai risiko untuk mendapat masalah penglihatan seperti rabun jauh, juling dan mata malas (amblyopia). Jadi, bagi memastikan bayi-bayi ini mendapat peluang untuk melihat dengan baik, mereka akan memerlukan pemeriksaan ulangan untuk jangka masa panjang, dengan pakar-pakar mata. Kebiasaannya mereka akan diperiksa sehinggalah berusia 7 tahun, atau lebih lama lagi bergantung kepada keadaan mata mereka,

Artikel ini diterbitkan sempena Hari Pramatang Sedunia 17 November 2017. Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah adalah seorang pakar mata dan pensyarah perubatan UiTM (Fellow Paediatric Ophthalmology Pusat Perubatan Universiti Malaya)

Rujukan

  • Malaysia Clinical Practice Guideline for Retinopathy of Prematurity , http://www.moh.gov.my/penerbitan/CPG2017/3917.pdf
  • Retinopathy of Prematurity : Recommendations for screening , Al Jefferies, Canadian Pediatric Society, Fetus and Newborn Committee, Pediatric Child Health 2010 Dec, 15 (10); 2010 Dec
  • Screening examination of premature infants for retinopathy of prematurity, American Academy of Ophthalmology, Pediatrics, 2013 Jan, 131 (1): 189-95.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box