ARTIKEL KHAS DoctorOnCall.com.my
Melancong sambil menjalani rawatan kosmetik di luar negara kedengaran menarik bukan? Apatah lagi dengan kos yang lebih rendah. Thailand, India & China adalah lokasi-lokasi paling popular yang menawarkan banyak pakej pelancongan perubatan terutama dalam sektor kosmetik yang mampu menarik minat pelancong. Namun, anda pasti akan berfikir lagi sekiranya anda mendengar sendiri pengalaman ngeri orang lain yang pernah mendapatkan rawatan yang sama di luar negara yang kebanyakannya indah khabar dari rupa. Kadangkala teknologi alternatif yang ditawarkan kepada pengguna tidak terbukti dan boleh menyebabkan kecederaan kepada pengguna. Adakah risiko yang anda hadapi itu berbaloi? Dalam artikel ini, kita akan membincangkan tentang risiko pelancongan perubatan di luar negara terutama negara kurang maju dan apa yang perlu anda tahu sebelum anda mengikuti pakej pelancongan perubatan.
Pembedahan Kosmetik di Luar Negara-Apakah Risikonya?
Meskipun dengan kos yang lebih rendah, pembedahan kosmetik di luar negara mempunyai risiko termasuk jangkitan kuman, kualiti yang rendah dan halangan komunikasi. Setiap pembedahan mempunyai kesan sampingan lebih-lebih lagi satu pembedahan yang dilakukan di klinik kecil yang tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia. Pembedahan ini boleh mengakibatkan jangkitan kuman sama ada semasa atau selepas tempoh pembedahan. Dalam kes ringan, jangkitan hanya melambatkan penyembuhan luka namun, jangkitan kuman ini juga boleh meragut nyawa.
Kisah yang berlaku di Thailand pada tahun 2014 mungkin boleh dijadikan pengajaran di mana seorang wanita warga British yang meninggal dunia akibat mengalami jangkitan selepas melakukan pembedahan membuang lemak. Dalam kes ini, doktor yang terlibat telah didakwa dengan tuduhan cuai dalam menjalankan tugas. Selain itu, melakukan pembedahan kosmetik di luar negara juga meningkatkan risiko anda ditipu di mana hasil pembedahan tidak seperti yang diharapkan.
Pengguna telah dikaburi dengan tawaran dan janji manis agen pelancongan perubatan menyebabkan mereka terpedaya dan kemudian terus bersetuju tanpa mengetahui perkhidmatan yang ditawarkan itu boleh dipercayai atau tidak. Akibatnya, pengguna menjalani prosedur yang mungkin tidak selamat untuk mereka. Dalam sesetengah kes, anda mungkin perlu berbelanja lebih untuk membetulkan kembali kecederaan yang disebabkan oleh perkhidmatan tersebut. Ini terjadi akibat sikap sambil lewa mereka dalam menentukan rawatan dan ubatan yang bersesuaian dengan pengguna.
Bahkan ada sesetengah ubat dan rawatan yang sebenarnya memerlukan pakar dalam bidang kepakaran lain untuk mengesahkan sama ada penggunaan sesuatu ubat itu bersesuaian atau tidak dengan pengguna dan perlu mengambil kira sejarah kesihatan pengguna secara terperinci.
Adakah Syarikat Insurans Akan Menanggung Sekiranya Sesuatu Berlaku ?
Sekiranya anda sedang merancang untuk melancong keluar negara untuk satu pembedahan kosmetik, apa yang akan berlaku sekiranya ada sesuatu yang tidak diingini berlaku? Apa yang akan anda lakukan jika pembedahan yang anda lakukan menyebabkan anda mendapat jangkitan atau komplikasi akibat prosedur tidak dilakukan dengan betul dan tidak menepati piawaian? Apakah akan ada pihak yang akan bertanggungjawab keatas anda? Tidak ada seseorang pun yang menginginkan atau membayangkan sesuatu yang buruk berlaku keatas diri mereka sendiri, namun apakah yang akan anda lakukan sekiranya sesuatu yang buruk itu berlaku kepada diri anda? Adakah pihak insurans di sana bersedia membantu anda?
Agak mustahil untuk menemukan syarikat insurans yang akan melindungi anda untuk rawatan kosmetik diluar negara kerana rawatan kosmetik diluar negara ini agak bahaya dan berisiko. Oleh itu, jika sesuatu yang buruk berlaku keatas anda, adakah anda akan mendapatkan rawatan kecemasan dan pembelaan yang sewajarnya seperti di negara sendiri?
Untuk masalah ini, anda perlu berfikir mengenai halangan bahasa, cara untuk anda memberitahu doktor jika ada masalah yang dihadapi selepas pembedahan kelak dan siapa yang akan membayar sekiranya anda memerlukan rawatan lanjutan. Sudah semestinya, jika anda mendapatkan rawatan di hospital luar negara, anda akan dikenakan kadar yang berlipat kali ganda kerana tidak memegang status warganegara negara terbabit.
Ringkasnya, risiko utama apabila keluar negara untuk pelancongan perubatan adalah seperti berikut:
- Syarikat insurans tidak akan menanggung prosedur kosmetik anda.
- Pakar yang tidak berkelayakan yang menjalankan pembedahan – bukan pakar yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia
- Prosedur dan tahap kebersihan yang meragukan dan tidak mencapai piawaian.
- Risiko kerosakan selepas pembedahan yang melibatkan kos yang tinggi
- Tiada penjagaan yang teliti selepas pembedahan serta tiada pemantauan secara berterusan sepanjang tahun. Kos merawat kerosakan pada bahagian pembedahan adalah lebih tinggi daripada kos rawatan sebelumnya.
Soalan Penting Yang Perlu Anda Tanya
Untuk mendapatkan hasil terbaik selepas pembedahan kosmetik, anda perlu bertanya soalan-soalan penting seperti berikut:
- Apakah teknik yang digunakan untuk rawatan?
- Adakah rawatan tersebut bersesuaian dengan latar belakang kesihatan serta alahan yang saya hadapi?
- Siapakah yang akan menjalankan pembedahan saya – pakar bedah, doktor, jururawat ataupun pihak yang tidak diiktiraf?
- Adakah saya akan mendapat pemantauan pakar selepas pembedahan?
- Apakah yang perlu saya perhatikan selepas membuat pembedahan dan siapa yang perlu saya hubungi sekiranya sesuatu kecemasan berlaku?
- Apakah kesan dan kelebihan yang akan saya dapat selepas pembedahan ini?
- Adakah pembedahan ini akan berjaya dan tidak beri impak buruk pada diri saya?
- Berapakah kadar kejayaan pembedahan ini?
Dengan risiko yang telah di bincangkan dalam artikel ini, “kos rendah” yang ditawarkan tidak bermaksud rendah secara keseluruhannya. Dengan risiko yang anda tanggung, anda mungkin perlu berbelanja lebih untuk kos rawatan susulan dan bantuan perubatan yang anda hadapi akibat daripada pembedahan yang dilakukan oleh pakar tidak diiktiraf. Mencari prosedur pembedahan kosmetik yang paling selamat untuk wajah dan tubuh kita bukan mudah. Oleh itu pengguna perlulah berhati-hati dan mengkaji latar belakang pusat rawatan yang di perkenalkan kepada anda.
Dr Jasmine Ruth Yuvarani, MBBS (Manipal) & LCP Holder ialah Pengarah Perubatan Nexus Clinic.
DoctorOnCall.com.my adalah platform telemedicine perubatan video & talian perundingan yang pertama di Malaysia yang menggabungkan teknologi video dan suara and pengalaman doktor untuk memberi akses yang mudah dan kos efektif.