Myopia atau rabun jauh adalah salah satu masalah penglihatan mata yang menjadi epidemik bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Peningkatan yang mendadak, terutamanya di Asia ini menjadikan ia adalah salah satu kebimbangan dalam sektor kesihatan masyarakat awam (public health), terutamanya dari 3 aspek penting. Pertama, peratusan kanak-kanak sekolah yang mengalami rabun jauh di negara-negara maju di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara seperti Singapura, Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Korea, telah dilaporkan meningkat semenjak 50-60 tahun yang lalu.
Di kawasan bandar, 80 hingga 90 peratus daripada pelajar-pelajar yang tamat sekolah menengah mengalami rabun jauh, dan 10 hingga 20 peratus darinya mengalami rabun jauh yang tinggi. Kedua, WHO mengiktiraf bahawa rabun jauh yang tidak dirawat sepenuhnya (kurang rawatan atau tidak dirawat langsung) mampu menyebabkan seseorang itu mempunyai penglihatan yang tidak sempurna (visual impairment). Ketiga, mereka yang mengalami rabun jauh yang tinggi berisiko mengalami komplikasi yang boleh membawa kebutaan, seperti saraf tertanggal (retinal detachment), yang tidak lagi boleh dirawat dengan kacamata atau kanta lekap.
Genetik atau faktor keturunan sememangnya didapati memainkan peranan penting dalam masalah rabun jauh ini. Faktor genetik ini dapat menjangka sama ada individu itu mendapat rabun jauh pada usia muda tetapi stabil sepanjang usia kanak-kanak, mendapat rabun jauh pada usia muda dan keadaan rabun yang semakin parah apabila usia meningkat, atau mendapat rabun jauh pada usia yang lebih tua. Kajian ini turut menunjukkkan, faktor-faktor persekitaran didapati boleh mempengaruhi pembentukan rabun jauh dalam diri individu- individu , terutamanya bagi mereka yang mempunyai seorang atau dua orang ibu bapa yang rabun jauh. Antara faktor risiko yang ditekankan adalah jumlah waktu seseorang individu itu berada di dalam rumah (atau bangunan), dan jumlah waktu yang dihabiskan untuk melakukan kerja pada jarak dekat.
Sebuah kajian di Sydney Australia, yang telah memeriksa lebih 4000 orang kanak-kanak selama tiga tahun mendapati, kanak-kanak yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah, mengalami kurang risiko mendapat rabun jauh 6. Ada sesetengah penyelidik yang mengkaji, kemungkinan penurunan risiko ini disebabkan oleh kanak-kanak itu banyak melakukan aktiviti fizikal semasa di luar rumah. Tetapi kajian yang melihat kanak-kanak yang bermain aktif di dalam rumah (indoor), tidak mengalami pengurangan risiko rabun jauh. Salah satu kajian yang menyokong fakta ini adalah, kajian yang berkaitan bahan bernama dopamin di dalam retina mata iaitu lapisan saraf di dalam mata. Paras dopamin adalah paling tinggi pada waktu siang (suasana terang), dan rendah pada waktu malam, atau digelar perubahan diurnal. Paras dopamin yang tinggi adalah perlu untuk mengelakkan bola mata memanjang, kerana bola mata yang panjang sudah dikenalpasti sebagai penyebab rabun jauh. Apabila seseorang individu itu terlalu banyak menghabiskan masa di dalam rumah, terutamanya kanak-kanak yang asyik bermain permainan video dan alat peranti canggih, terdapat gangguan dalam paras hormon dopamin ini, dan menyebabkan pertumbuhan bola mata yang tidak terkawal. 7 Faedah berada di luar rumah untuk kesihatan mata ini juga adalah disebabkan cahaya yang terang di luar rumah, kecerahan (chromaticity) cahaya matahari pada waktu siang dan khasiat vitamin D.
Selain dari kurang bermain di luar rumah, penggunaan alat permainan video dan alat peranti yang tidak dikawal juga meningkatkan risiko rabun jauh kerana jarak fokus antara mata kanak-kanak dan alat-alat tersebut terlalu dekat, seperti yang disahkan dalam kajian ke atas 5052 orang kanak-kanak di Beijing, China. Walaupun membaca buku pada jarak dekat juga memberi impak yang sama kepada mata, kanak-kanak yang membaca selalunya tidak mengambil masa terlalu lama berbanding bermain alat permainan video atau alat peranti. Selain itu, apabila terlalu asyik bermain alat peranti, kanak-kanak juga sukar untuk mengambil waktu rehat daripada permainan tersebut, menyebabkan mata mereka terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan fokus secara berterusan, dan ini adalah satu lagi faktor peningkatan kes-kes rabun jauh di kalangan kanak-kanak. Disarankan bagi setiap 30 hingga 40 minit melakukan kerja yang memerlukan fokus pada jarak dekat, individu-individu patut mengambil masa beberapa minit untuk merehatkan mata, dengan melihat objek pada jarak jauh.
Selain komplikasi rabun jauh akibat banyak melakukan kerja pada jarak dekat seperti menggunakan telefon pintar atau alat peranti, komplikasi lain penggunaan alat peranti yang terlalu lama termasuklah mata kering akibat kurang berkelip, kabur penglihatan jarak dekat dan jauh (accommodation spasm), sukar mendapatkan tidur yang berkualiti, gelisah apabila berjauhan dari alat komunikasi (anxiety), serta sakit bahagian leher (cervicalgia) dan jari jemari (tendinitis) akibat menghabiskan masa yang panjang dengan alat peranti .
Kesimpulannya , untuk mengurangkan risiko rabun jauh di kalangan kanak-kanak, saya menyarankan agar:
- Kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak dibenarkan langsung bermain dengan alat permainan video, telefon pintar, alat peranti dan sebagainya kerana mata mereka sedang berkembang dengan sangat pesat.
- Hadkan masa penggunaan alat peranti untuk anak-anak, sebaiknya kurang dari sejam sehari.
- Galakkan anak-anak bermain di luar rumah, bagi mendapatkan pencahayaan yang baik, yang seterusnya mempengaruhi kesihatan mata anak-anak yang sedang berkembang
- Sekiranya anak-anak terpaksa melakukankan kerja pada jarak dekat dengan lama, contohnya membuat kerja sekolah, ibu bapa perlu memastikan ada waktu rehat bagi mata , iaitu 5 minit bagi setiap 30 hingga 40 minit waktu bekerja.
- Sekiranya sudah terlanjur memberikan anak-anak bermain dengan alat peranti dengan banyak, dan anak-anak mengadu sakit kepala, sukar untuk melihat atau menunjukkan prestasi yang merosot di sekolah, bawalah anak-anak untuk pemeriksaan mata yang lengkap dengan pakar mata di hospital dan klinik terdekat, secepat mungkin.
Dr. Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah adalah seorang ophthalmologist & pensyarah Fakulti Perubatan UITM. Beliau merupakan kolumnis jemputan MMG, kenali beliau dengan lebih mendalam di Paga Columnists kami.
Rujukan:
- Ashby, R. S. & Schaeffel, F. Invest. Ophthalmol. Vis. Sci.51, 5247–5253 (2010).
- Morgan, I and Rose, K. How genetic is school myopia?. Prog Retin Eye Res. 2005; 24: 1–38
- Pan, CW, Ramamurthy, D, and Saw, SM. Worldwide prevalence and risk factors for myopia.Ophthalmic Physiol Opt. 2012; 32: 3–16
- Resnikoff, S, Pascolini, D, Mariotti, SP, and Pokharel, GP. Global magnitude of visual impairment caused by uncorrected refractive errors in 2004. Bull World Health Organ. 2008; 86: 63
- Saw, SM, Gazzard, G, Shih-Yen, EC, and Chua, WH. Myopia and associated pathological complications. Ophthalmic Physiol Opt. 2005; 25: 381–391
- Fan Q eta al, Childhood gene-environment interactions and age-dependent effects of genetic variants associated with refractive error and myopia: The CREAM Consortium. Sci Rep.2016 May 13;6:25853. doi: 10.1038/srep25853.
- Rose, K. A. et al. Ophthalmology115, 1279–1285 (2008).
- Ramamurthy D1, Lin Chua SY2, Saw SM3,4 A review of environmental risk factors for myopia during early life, childhood and adolescence. Clin Exp Optom.2015 Nov;98(6):497-506. doi: 10.1111/cxo.12346. Epub 2015 Oct 25.
- Wu LJ et al, Risk Factors of Myopic Shift among Primary School Children in Beijing, China: A Prospective Study. Int J Med Sci.2015 Jul 25;12(8):633-8. doi: 10.7150/ijms.12133. eCollection 2015.
- You X et al, Near Work Related Behaviors Associated with Myopic Shifts among Primary School Students in the Jiading District of Shanghai: A School-Based One-Year Cohort Study, LoS One. 2016 May 3;11(5):e0154671. doi: 10.1371/journal.pone.0154671. eCollection 2016
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]