Saringan Kanser Payudara: Apa orang awam perlu tahu? – Dr Mohammad Che’ Man & Dr Shahidah Che Alhadi

PINK OKTOBER- MINGGU KESEDARAN KANSER PAYUDARA

 

Saringan Kanser Payudara

Ianya bermaksud pemeriksaan ke atas payudara wanita untuk saringan kanser payudara sebelum terjadinya gejala dan petanda penyakit kanser payudara yang sebenar.

Walaupun saringan ini tidak boleh mengekang dari terjadinya kanser payudara terhadap seseorang wanita khususnya, ianya dapat membantu para wanita untuk mengenalpasti tanda-tanda awal kanser, yang lebih mudah untuk diubati berbanding tanda-tanda lewat yang boleh menyebabkan risiko kematian.

 

Saranan dan Kekerapan Saringan Kanser Payudara

Mengikut panduan praktikal klinikal kebangsaan rawatan untuk kanser payudara edisi ke-3, saringan kanser payudara adalah setiap 2 tahun sekali bermula pada umur 50 tahun sehingga 74 tahun untuk wanita yang mempunyai risiko sederhana (moderate risk). Saranan ini selari dengan  panduan ‘The United States Preventive Services Task Force (USPSTF)’ iaitu satu badan yang menggabungkan pakar-pakar di seluruh dunia, yang turut menyarankankan untuk wanita berumur di antara 50 hingga 74 tahun yang mempunyai risiko biasa (average risk) untuk kanser payudara membuat pemeriksaan saringan setiap 2 tahun.

Bagi wanita yang berumur di antara 40 hingga 49 tahun, mereka perlu mendapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu sebelum memulakan saringan dan bilangan kekerapan untuk melakukannya. Keperluan untuk membuat mammogram bagi mereka yang berusia kurang dari 50 tahun bergantung kepada kelebihan atau kekurangan untuk membuat saringannya sama ada berbaloi atau pun tidak.

Untuk risiko sederhana kanser payudara (moderate risk), saringan mammogram boleh dilakukan dari umur 40 hingga 49 tahun untuk setiap tahun manakala untuk yang berumur 50 hingga 59 tahun sama ada setahun sekali atau 2 tahun sekali mammogram. Untuk yang berumur 60 tahun ke atas yang berisiko sederhana, adalah setiap 2 tahun.

Bagi wanita berisiko sangat tinggi untuk menghidap kanser payudara walaupun tiada varian genetik dikenalpasti, saringannya adalah disarankan bermula pada takat umur 30 hingga 39 tahun, dilakukan setiap tahun dari umur 40 hingga 49 tahun dan setiap 2 tahun bagi mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Pembawa gen BRCA1, BRCA2 dan gen PALB2, ujian MRI sepatutnya disarankan bermula umur 30 hingga 49 tahun, mammogram setiap tahun dari umur 40 hingga 69 tahun dan setiap 2 tahun mammogram bagi mereka yang berumur 70 ke atas.

 

Ujian Saringan Kanser Payudara

  1. Mammogram

Ianya adalah seperti prosedur x-ray kepada payudara. Bagi kebanyakan wanita, prosedur ini dapat mengesan kanser seawalnya dan memudahkan untuk mendapatkan rawatan diperingkat awal. Kajian menunjukkan, pesakit yang membuat saringan secara berkala, mengurangkan risiko kematian akibat kanser payudara.

 

  1. Magnetic Resonance Imaging (MRI) payudara

Ianya menggunakan sinaran magnet dan gelombang radio untuk mengambil gambar payudara yang jelas. Ianya biasa digunakan sekali dengan mammogram untuk saringan kanser payudara bagi Wanita yang berisiko sangat tinggi untuk menghidap kanser payudara. Untuk makluman, untuk pesakit yang mempunyai risiko yang biasa, prosedur MRI boleh memberikan gambaran yang tak normal walaupun tiada sel kanser. Oleh sebab itu ia tidak digunakan bagi mereka yang mempunyai risiko biasa (average).

 

Pemeriksaan-pemeriksaan yang lain:

  1. Pemeriksaan klinikal payudara:

Ianya adalah bukan bentuk saringan kanser payudara. Biasanya dilakukan oleh doktor atau jururawat bertauliah yang menggunakan tangan untuk merasa sebarang ketulan atau perubahan pada anggota payudara. Ianya boleh meningkatkan kesedaran betapa pentingnya saringan kanser payudara walaupun ianya tidak boleh menurunkan risiko kematian penyakit kanser payudara.

 

  1. Ujian ‘Ultrasound’ payudara:

Ianya adalah pelengkap untuk ujian saringan kanser payudara setelah melakukan ujian saringan mammogram atau MRI payudara mempunyai keputusan abnormal. Ianya bukan digunakan sebagai ujian saringan kanser payudara.

 

Kelebihan dan Kekurangan Ujian Saringan Kanser Payudara

Setiap ujian dalam ujian penyakit mempunyai manfaat dan juga kekurangannya. Pesakit perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan pendapat profesional doktor mengenai ujian saringan yang boleh dilakukan termasuklah ujian saringan mammogram.

Antara kebaikan saringan adalah dapat mengenalpasti peringkat awal penyakit kanser dan proses rawatan cepat dapat dilakukan.

Antara kekurangan saringan adalah berkemungkinan keputusan yang diterima menunjukkan keputusan positif kanser payudara melalui ujian saringan mammogram walaupun keputusan sebenar adalah bukan kanser. Rentetan ujian mammogram ini, ujian yang lebih mahal dan lebih ‘invasive’ yang tak berkaitan juga akan dibuat oleh doktor yang merawat. Ianya juga akan merugikan masa pada kedua-dua belah pihak pada masa yang sama boleh menyebabkan kegelisahan pada pesakit walaupun pada hakikatnya pesakit adalah tidak mempunyai pesakit kanser.

Oleh sebab itu, setiap pesakit wanita perlu berbincang indikasi saringan kanser payudara sebelum melakukannya.

 

RUJUKAN:

  1. Clinical Practice Guideline, Management of breast cancer 2019 (3rd Edition), Ministry of Health Malaysia.
  2. Breast Cancer, World Health Organization (WHO), 2023
  3. Centers for Disease Control and Prevention (CDC): Breast Cancer, 2023

 

 

Ditulis oleh,

Asst. Prof. Dr Mohammad Bin Che’ Man

Pensyarah Perubatan/Pakar Perubatan Keluarga

MD.UKM, MMED.USM

Department of Family Medicine,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

 

Asst. Prof. Dr Shahidah Che Alhadi

Pensyarah Perubatan/Pakar Bedah

MBBS. IIUM , MMED.USM

Special interest: Breast and endocrine surgery

Department of Surgery,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box