Di negara Malaysia, insiden kanser usus (colorectal cancer) adalah antara penyakit kanser nombor 2 pada hierarki di kalangan kanser-kanser lelaki setelah kanser paru-paru dan kedua di kalangan kanser wanita setelah kanser payudara. Kadar insiden kanser usus meningkat secara mendadak dari tahun ke tahun dan daripada kajian yang dijalankan telah menunjukkan bahawa lebih daripada 80% adalah dialami oleh pesakit yang berumur lebih daripada 50 tahun dan paling ramai dikalangan mereka yang berumur 60 tahun.
Kanser Usus
Penyakit kanser usus ini ‘slow growing’ yang mengambil masa bertahun-tahun tanpa gejala yang tipikal kepada pesakit. Hampir 70 hingga 90% penyakit ini berpunca daripada ketumbuhan sel-sel kecil bukan kanser (adenomatous polyps) yang dipanggil prekursor kepada penyakit kanser usus. Keupayaannya untuk beralih kepada sel-sel kanser mengambil masa 10 hingga 15 tahun. Kebanyakan mereka yang menghidapnya adalah secara senyap tanpa gejala. Oleh sebab itulah pentingnya membuat saringan (screening) kanser usus kepada individu yang tiada gejala untuk penyiasatan awal dan pencegahan sebelum parah. Sesungguhnya pencegahan adalah lebih baik dari berubat!
Kategori-kategori risiko kepada penyakit kanser usus:
1- Risiko rendah: Individu yang tiada gejala yang berumur kurang daripada 50 tahun dan tiada keturunan kanser usus.
2- Risiko sederhana: Individu yang tiada gejala yang berumur lebih daripada 50 tahun dan tiada keturunan kanser usus atau ada keturunan dalam keluarga (ayah, emak atau adik beradik) yang mempunyai kanser ketika berumur 60 tahun atau lebih ataupun ada keturunan dalam keluarga (selain ayah, emak atau adik beradik).
3- Risiko tinggi: Individu yang tiada gejala untuk setiap peringkat umur dan ada keturunan dalam keluarga (ayah, emak atau adik beradik) yang mempunyai kanser ketika berumur kurang daripada 60 tahun atau dua orang dikalangan ahli keluarga terapat (ayah, emak, adik beradik, datuk, nenek, cucu) mempunyai sejarah kanser usus.
Individu-individu berisiko sangat tinggi yang memerlukan pemerhatian yang berkala:
- Individu yang mempunyai sejarah genetik penyakit “familial adenomatous polyposis” (FAP) atau “hereditary non-polyposis colorectal cancer” (HNPCC).
- Pesakit yang menghidap penyakit “inflammatory bowel disease”(IBD) iaitu penyakit seperti “chronic ulcerative colitis” dan “Crohn’scolitis”.
Bilakah waktu yang terbaik untuk membuat saringan kanser usus?
Bermula pada usia 50 tahun.
Kenapa?
Peratusan penyakit kanser usus adalah tertinggi di kalangan mereka yang berumur 60 hingga 69 tahun. Kajian perubatan membuktikan bahawa dianggarkan sekurang-kurangnya 10 tahun adalah masa yang diambil untuk pembentukan kanser usus bagi mereka yang mempunyai risiko. Tambahan pula, prosedur kolonoskopi untuk individu-individu yang berumur 40 hingga 49 tahun menunjukkan bahawa kadar penyakit kanser usus adalah jarang dan cadangan untuk membuat ujian saringan pada individu dengan risiko sederhana adalah bermula pada umur 50 tahun dan ke atas. Saringan bagi mereka yang berumur lebih daripada 75 tahun adalah tidak disarankan sama sekali.
Cara saringan?
Bagi mereka yang berisiko sederhana iaitu tanpa gejala yang berumur 50 tahun dan ke atas:
- Ujian saringan darah dalam najis (faecal occult blood test) perlu dilakukan setiap tahun bermula daripada umur 50 tahun sehingga 75 tahun. Ujian ini boleh didapati di hospital, klinik- klinik kesihatan atau klinik-klinik swasta. Ianya mudah didapati, tidak mahal dan penerimaan yang lebih baik daripada pesakit kerana tidak melibatkan prosedur pembedahan. Akan tetapi, ujian ini adalah untuk saringan sahaja dan bukannya untuk mendiagnos. Terdapat dua jenis persediaan ujian iaitu:
- Guaiac based faecal occult blood test(gFobt): Sensitif untuk mengesan penyakit kanser usus adalah sebanyak 25 hingga 50% manakala spesifik untuk menidakkan penyakit lain selain penyakit kanser usus adalah 98 sehingga 99%.
- Immunochemical faecal occult blood test(iFobt): Sensitif untuk mengesan penyakit kanser usus adalah sehingga 52% manakala spesifik untuk menidakkan penyakit lain selain penyakit kanser usus adalah 95%. Ujian iFobt adalah lebih disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berbanding gFobt.
- Prosedur kolonoskopi (kemasukan skop melalui anus sehingga usus besar bahagian “caecum”) perlu di jalankan setiap 10 tahun setelah penilaian pakar bedah kerana melibatkan prosedur yang khas. Ianya mengesan secara spesifik iaitu 92% untuk ketumbuhan “small polyps” dan 94% untuk kanser usus dan ketumbuhan “large polyps”. Ianya lebih sensitif mengesan penyakit kanser usus berbanding ujian barium enema.
- Prosedur sigmoidoskopi (kemasukan skop melalui anus sehingga bahagian usus sigmoid) setiap 5 tahun dan ujian saringan darah dalam najis setiap 3 tahun. Juga ditentukan oleh pakar bedah bertauliah kerana prosedur yang khas. Sensitiviti prosedur ini adalah sebanyak 73.3% untuk mengesan ketumbuhan ‘small polyps’ sehingga 96.7% untuk penyakit kanser usus dan ketumbuhan “large polyps”.
SILA DAPATKAN UJIAN SARINGAN KANSER USUS BAGI MEREKA YANG TIADA GEJALA YANG BERUMUR 50 TAHUN DAN KE ATAS!! IANYA MANDATORI!
RUJUKAN:
- Clinical Practice Guidelines 2017, Management of Colorectal Carcinoma Malaysia Health Technology Assessment Section (MaHTAS), Ministry of Health Malaysia. Putrajaya.
- Consensus Guide to Adult Health Screening for General Population Attending Primary Care Clinic, 2015. Malaysian Family Medicine Specialists Association.
ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN
PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA
(MD. UKM, MMED, (FAMILY MEDICINE) USM)
SPECIAL INTEREST: MEN’S HEALTH, PRIMARY CARE DERMATOLOGY
DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE,
KULLIYYAH OF MEDICINE,
IIUM KUANTAN PAHANG.