Pelbagai budaya dan kepercayaan seluruh dunia mengkaitkan seks dengan penyakit dan jangka hayat yang pendek. Namun, kajian kesihatan dan kepanjangan hidup tidak bersetuju dengan kepercayaan umum ini.
Kajian paling terkenal (dan juga penuh kontroversi) tentang seks dan kesihatan telah dijalankan di sebuah bandar bernama Caerphilly di UK dari tahun 1979 hingga 1983 merangkumi 918 lelaki berumur antara 45 hingga 59 tahun. Penyebab kematian peserta ini dikaji bersama dengan kekerapan hubungan seks dan pencapaian puncak syahwat (atau orgasma). Kajian ini menyimpulkan bahawa terdapat perkaitan songsang antara kekerapan orgasma dan kematian. Bermaksud, lebih kerap peserta tersebut melakukan seks, lebih panjang umur hidup mereka.
Kajian yang hampir sama dilakukan dalam masyarakat Asia (Taiwan) pada 1989 hingga 2003. Kajian ini melibatkan 2453 lelaki dan wanita dalam lingkungan umur 65 tahun atau lebih dan parameter kesihatan mereka diukur bersama dengan kekerapan hubungan seks. Kajian tersebut mendapati bahawa terdapat kaitan songsang antara kekerapan aktiviti hubungan seks dan kematian untuk lelaki dan wanita. Mereka yang lebih kerap melakukan hubungan seks didapati hidup lebih lama dan lebih sihat dari rakan-rakan sebaya.
Kajian terkini diterbitkan pada 2010 oleh British Medical Journal (BMJ). Kajian ini telah melibatkan seramai 3032 peserta lelaki dan wanita di USA yang berumur 25 hingga 74 tahun. Parameter kesihatan mereka telah dibandingkan dengan kekerapan hubungan seks dan tahap keinginan seks mereka. Menurut kajian ini, kedua-dua lelaki dan wanita yang mengekalkan tahap keiginan seks yang tinggi dan kerap mengamalkan hubungan seks mempunyai parameter kesihatan yang lebih baik. Secara ringkasnya, lebih kerap seseorang itu melakukan hubungan seks maka lebih sihat hidup mereka.
Kini telah diterima umum dikalangan pengamal anti-penuaan bahawa keinginan seks dan keupayaan melakukan hubungan seks merupakan petunjuk kesihatan dan kepanjangan umur yang penting. Keinginan seks yang semakin berkurangan selalunya diakibatkan oleh penurunan tahap hormon seperti testosterone, estrogen, progestrone dan oxytocin. Sayangnya hormon-hormon ini juga merupakan hormon yang mengekalkan keremajaan pada lelaki dan wanita. Dengan itu, kurangnya keinginan seks seringkali menandakan kurangnya hormon tersebut dan sekali gus menandakan permulaan kepada penyakit-penyakit kronik yang biasanya dihidapi oleh orang yang telah berumur.
Hubungan seks memerlukan badan dan minda yang berada dalam keadaan yang cukup sihat untuk dinikmati dengan lebih bermakna. Sebarang gangguan kecil seperti pening atau kerunsingan boleh menghalang seseorang itu daripada menginginkan dan melakukan hubungan seks secara bermakna. Oleh itu, kekurangan kekerapan hubungan seks yang disebabkan kehilangan keinginan, kurang pelincir kemaluan atau mati pucuk adalah tanda-tanda penting yang meramalkan penyakit kronik dan kematian.
Maka apabila seseorang itu sudah mulai mengalami kekurangan keinginan seks dan mungkin mendakwa ingin hidup mendekatkan diri kepada penciptanya, ianya benar kerana kekurangan keinginan seks itu bermakna penyakit dan kematian itu semakin menghampiri.
Pengajaran bagi kita semua adalah apabila keiginan seks semakin berkurangan pada ketika ia tidak sepatutnya berlaku, mungkin sudah tiba masanya untuk kita melakukan pemeriksaan kesihatan.
Rencana ini ditulis oleh penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Rizin H Kusop. Beliau pemilik dan pegawai perubatan untuk sebuah kumpulan perubatan di Sabah dengan pengkhususan dalam anti-penuaan, regeneratif dan perubatan estetik. Kenali beliau dengan lebih lanjut di ruang The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Berapa kah kekerapan hubungan seks paling ideal utk pasangan warga emas?