Sendi bahu terkeluar atau shoulder dislocation adalah antara kondisi yang agak kerap berlaku. Punca utama ia berlaku ialah trauma atau kecederaan terhadap bahu yang boleh berlaku akibat jatuh dan kemalangan jalan raya.
Sendi bahu boleh terkeluar ke pelbagai arah:
- Anterior dislocation (terkeluar ke arah depan) – Majoriti kes iaitu 98 peratus
- Posterior dislocation (ke belakang)
- Inferior dislocation (ke bawah)
- Superior dislocation (ke atas)
Terdapat keadaan tertentu yang dikaitkan dengan sendi bahu terkeluar ini. Anterior dislocation mudah berlaku dengan kedudukan tangan seperti postur melakukan pukulan smash boleh tangkis atau tenis (shoulder abduction and external rotation). Posterior dislocation pula kerap disebabkan oleh renjatan elektrik.
Anatomi
Sendi bahu dibentuk oleh dua tulang utama iaitu tulang lengan (humerus) dan tulang kipas atau scapula. Ia adalah sejenis sendi ball-and-socket yang membenarkan pergerakan yang besar di sendi tersebut. Terdapat dua struktur yang menstabilkan sendi bahu iaitu penstabil statik (static stabilizer) dan penstabil dinamik (dynamic stabilizer).
Penstabil statik terbahagi kepada sendi yang dibentuk oleh kepala tulang humerus (head of humerus) yang duduk di dalam mangkuk sendi yang terbentuk oleh tulang scapula (glenoid of scapula) dan tisu labrum yang melapisi bahagian glenoid.
Penstabil dinamik pula terbahagi kepada otot yang dikenali sebagai rotator cuffs dan juga ligamen. Otot rotator cuff ini terdiri daripada empat otot:
- Supraspinatus
- Infraspinatus
- Subscapularis
- Teres minor
Sekiranya sendi terkeluar, setiap struktur ini berisiko untuk tercedera dan koyak. Ini menyebabkan sendi bahu menjadi tidak stabil dan membuatkannya lebih mudah terkeluar untuk kali yang berikutnya.
Pemeriksaan
Pesakit yang mengalami keadaan ini akan mengadu sakit pada sendi bahu mereka selepas kejadian. Pesakit biasanya akan datang ke jabatan kecemasan sambil menampung tangan yang sendinya terkeluar itu.
Sendi bahu yang terkeluar akan kelihatan tidak normal (deformed) bergantung kepada jenis dislocation yang berlaku. Pergerakkan sendi bahu pula amat terbatas. Contohnya, sekiranya sendi bahu kanan terkeluar, pesakit biasanya tidak boleh menyentuh bahu kiri menggunakan tangan kanan beliau.
Doktor akan memeriksa deria sentuhan/rasa, kekuatan dan nadi pesakit normal atau tidak. Ini bagi memastikan tiada kecederaan pada saraf dan salur darah yang berlaku.
X-ray
X-ray akan dilakukan bagi memastikan anatomi sendi bahu yang terkeluar. Ini adalah bagi memastikan arah dan lokasi kepala tulang lengan (humerus) yang terkeluar dan juga bagi memastikan tiada kepatahan tulang berlaku semasa kemalangan berlaku.
Rawatan
Setelah x-ray dilakukan dan arah sendi terkeluar dikenalpasti, sendi bahu yang terkeluar itu akan dimasukkan kembali secara CMR atau Closed Manual Reduction.
Prosedur ini akan dilakukan setelah anda diberi ubat penenang (sedatif) dan ubat penahan sakit. Terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan bagi memasukkan kembali sendi bahu yang terkeluar. Antara teknik yang boleh digunakan ialah:
- Kocher’s method
- Hippocratic method
Melalui teknik ini, tangan pesakit akan ditarik dan dimanipulasi bagi memasukkan kembali sendi bahu yang terkeluar itu.
Adakah perlu menjalani pembedahan?
Pembedahan sebenarnya amat jarang diperlukan bagi memasukkan kembali sendi bahu yang terkeluar ini. Namun, terdapat beberapa keadaan dimana pembedahan mungkin perlu dilakukan:
- Berlaku kecederaan salur darah (associated vascular injury)
- Terdapat luka pada sendi bahu yang terkeluar (open shoulder dislocation)
- Sendi yang terkeluar gagal dimasukkan secara CMR (failed closed reduction)
Apa yang akan berlaku selepas prosedur CMR?
Doktor akan mengulangi xray sendi bahu anda selepas prosedur CMR dilakukan bagi memastikan ia telah kembali ke tempat asal. Anda perlu memakai anduh selama 1 hingga 2 minggu bagi membolehkan tisu yang koyak kembali sembuh.
Selepas 1 ke 2 minggu, fisioterapi bagi pergerakan sendi bahu perlu dimulakan bagi mengelakkan sendi bahu menjadi ketat. Tempoh penyembuhan bagi tisu sendi bahu mungkin mengambil masa sehingga 6 minggu bagi pulih sepenuhnya.
Komplikasi
Terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku apabila sendi bahu terkeluar:
- Recurrent dislocation – Apabila sendi terkeluar pada kali pertama, ia akan lebih mudah untuk terkeluar bagi kali kedua, ketiga dan seterusnya. Risiko sendi kembali terkeluar ini berkadar songsang dengan usia pesakit. Mengikut statistik, 80 peratus sendi pesakit yang mengalami kondisi ini semasa berusia di bawah 20 tahun akan terkeluar sekali lagi dalam tempoh 2 tahun kecederaan pertama.
- Kekoyakan otot Rotator cuff – Kekoyakan otot ini boleh menyebabkan pesakit mengalami kesakitan semasa menggerakkan bahu di kemudian hari. Ia boleh dikesan melalui pemeriksaan fizikal dan melakukan siasatan MRI (magnetic resonance imaging).
- Kepatahan – Tulang humerus dan scapula yang membentuk sendi bahu boleh patah semasa sendi bahu terkeluar. Xray perlu dilakukan bagi memastikan kepatahan ini.
- Kecederaan saraf dan salur darah – doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi memastikan tiada kecederaan saraf atau salur darah yang berlaku akibat sendi bahu yang terkeluar.
Kesimpulan
Sekiranya anda mengalami keadaan ini bersegeralah ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ini adalah penting bagi memastikan tiada kecederaan lain yang berlaku akibat sendi yang terkeluar itu. Anda juga perlu patuh kepada program rehabilitasi selepas sendi dimasukkan bagi memastikan proses pemulihan sendi anda berjalan lancar.
Rujukan
- https://orthoinfo.aaos.org/en/diseases–conditions/dislocated-shoulder/
- Postgraduate Orthopaedic, Cambridge University Press. Paul A. Banaszkiewicz. Page 411-412
Dr Mahyuddin Mohamed
15/08/2020