Sentiasa Bersedia Berdepan Risiko Bencana – Dr Nur Hidayati Mohd Sharif

Dengan peruntukan sedikit masa untuk persediaan bencana, anda dapat melindungi diri anda di masa hadapan

 

Bencana alam amat sukar untuk diramalkan. Ianya mimpi buruk yang amat mengerikan. Ia bukan sahaja menjejaskan harta benda malah mengancam nyawa kita dan orang yang kita sayang.

Berita gempa bumi di selatan Turki dan utara Syria telah menyebabkan ribuan manusia kehilangan tempat tinggal dan bekalan elektrik. Kemusnahan ini jelas menunjukkan betapa bahayanya bencana alam khususnya untuk golongan yang berpenyakit kronik seperti penyakit kegagalan jantung dan buah pinggang. Persoalannya, mampukah kita memastikan pesakit kronik ini akan kekal menerima perkhidmatan kesihatan sewajarnya jika kita dilanda bencana sebegini.

Adalah penting untuk kita membuat langkah persediaan lebih awal untuk menghadapi bencana. “Persediaan awal boleh memberikan kita peluang lebih besar untuk mengurangkan kesan buruk bencana ini terhadap kesihatan kita,” kata Dr Nur Hidayati Mohd Sharif, Pakar Perunding Perubatan & Pakar Nefrologi.

 

Bersedia

“Semasa bencana alam seperti banjir atau gempa bumi, pesakit dialisis tidak boleh mendapatkan rawatan dialisis. Jika pesakit dialisis tidak dapat menerima rawatan dialisis yang sepatutnya, ini boleh mengancam nyawa mereka. Ini antara sebab mengapa mereka perlu tahu apa yang harus dilakukan semasa berlakunya bencana”, ujar beliau.

Salah satu perkara paling penting yang boleh anda lakukan untuk kekal sihat semasa bencana alam ialah bersedia lebih awal. Contohnya – pesakit berpenyakit kronik seperti pesakit kegagalan buah pinggang memerlukan peralatan perubatan khas untuk dialisis serta bekalan ubatan cukup untuk digunakan semasa kecemasan. Bagi penjaga pesakit pula, jangan lupa simpan stok makanan yang tidak mudah rosak serta bekalan air yang cukup. Anda juga perlu sediakan peti ubat kecemasan di rumah dan tahu bagaimana untuk menggunakannya untuk bantuan asas perubatan.

Pesakit yang menghidap penyakit kronik juga perlu sentiasa membawa maklumat perubatan lengkap bersama mereka seperti senarai ubat-ubatan, alahan. Maklumat ini amat berguna semasa kecemasan.

“Jika anda atau ahli keluarga anda mempunyai penyakit kronik dan perlu mengambil banyak ubatan, anda disarankan untuk berbincang dengan doktor masing-masing untuk perancangan persiapan kecemasan lebih rapi”, tambahnya.

 

Kekal maklum

Satu lagi aspek penting untuk kekal sihat semasa bencana alam ialah dengan sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkenaan benca alam. Ini bermakna memantau kemaskini cuaca dan berita, serta mengikuti sebarang arahan atau maklumat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri atau persekutuan. Menyedari potensi bahaya dan mengetahui perkara yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan boleh membantu anda kekal selamat dan sihat.

 

Bertindak dengan betul

Apabila bencana alam berlaku, adalah penting untuk bertindak segera. “Sekiranya rumah anda berada dalam laluan banjir, bersiaplah untuk pergi ke tempat lain, sama ada tinggal bersama ahli keluarga yang tinggal di tempat yang selamat atau mencari tempat perlindungan,” tambah Dr Nur Hidayati. Bukan itu sahaja, ia juga penting untuk mengetahui potensi kecederaan, seperti luka dan patah dan untuk mendapatkan rawatan perubatan jika perlu.

 

Sokongan mental

Selain keselamatan fizikal, anda perlu menjaga kesihatan mental anda semasa bencana alam. Pengalaman bencana alam boleh memberi tekanan dan trauma bagi semua yang terkesan. Untuk mengurangkan tekanan dan kebimbangan masing-masing, kita boleh mengamalkan teknik relaksasi seperti teknik nafas dalam, meditasi serta mendapatkan sesi kaunseling bersama kaunselor atau ahli terapi profesional. Jangan lupa juga untuk periksa orang-orang sekeliling kita untuk tanda-tanda tekanan mental setelah bencana berlaku dan berikanlah mereka sokongan yang diperlukan

 

Amalkan kebersihan yang baik

Selepas bencana alam, sering kali terjadi wabak penyakit berjangkit. “Kita boleh mengelakkan daripada mendapat wabak penyakit berjangkit dengan amalan kebersihan yang cermat”, kata Dr Nur Hidayati.

Elakkan berkongsi peralatan makan, berus gigi, tuala atau sapu tangan. Ingatlah untuk sentiasa mencuci tangan anda dengan kerap, terutamanya selepas terkena lumpur, air banjir atau sampah-sarap di sekeliling kita. Berhati-hati dengan sebarang luka pada kulit yang berpotensi untuk dijangkiti. Ambil langkah untuk mengelakkan luka daripada dijangkiti kuman dengan menyahjangkitkan dan membalut sebarang bahagian luka atau kecederaan yang terdedah.

Kesimpulannya, mengekalkan kesihatan semasa bencana alam seperti banjir besar dan gempa bumi memerlukan persediaan, kesedaran dan tindakan. Dengan bersedia dan sentiasa kekal maklum, anda akan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melindungi diri dan orang tersayang di sekeliling anda. Dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental, anda boleh meningkatkan peluang untuk kekal sihat dan selamat dalam situasi getir ini. Sentiasa ingat untuk bertenang, ikut arahan pihak berkuasa dan sediakan rancangan menghadapi situasi kecemasan.

Artikel ini ditulis oleh Dr Nur Hidayati Mohd Sharif, Pakar Perunding Perubatan & Pakar Nefrologi dan diterbitkan sempena Hari Ginjal Sedunia 2023 yang bertemakan Bencana Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box