Serangan jantung akut atau kita sebut sebagai ‘Acute Myocardial Infarction’ adalah keadaan apabila pesakit akan mengalami sakit dada yang teruk dan selalunya diikuti oleh simptom-simptom lain seperti berpeluh yang banyak, kesusahan bernafas, loya serta muntah dan juga pening. Pesakit-pesakit ini selalunya mempunyai risiko-risiko penyakit kardiovaskular lain seperti diabetes, darah tinggi dan ketidakseimbangan lipid (dislipidemia). Seseorang yang mempunyai sejarah keluarga penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok, jantina lelaki dan perokok adalah risiko lain untuk mendapat serangan jantung akut ini.
Risiko untuk mendapat serangan jantung akut ini boleh dikurangkan dengan memberi maklumat yang tepat dan meningkatkan kesedaran orang awam melalui medium-medium komunikasi dan media massa. Mengawal diabetes, darah tinggi dan dislipidemia secara optimum serta berhenti merokok adalah amalan kesihatan yang perlu diamalkan untuk mengurangkan risiko serangan jantung ini.
Serangan jantung berlaku kerana saluran darah jantung yang sempit dan seterusnya saluran darah ini akan tersumbat, menyebabkan tiada oksigen boleh diserap kepada sel-sel otot jantung. Sel-sel jantung ini akan mati tanpa oksigen dan menyebabkan komplikasi kegagalan jantung (heart failure) dan boleh menyebabkan kematian sekiranya sel-sel jantung mati meliputi kawasan (surface) jantung yang besar.
Rawatan untuk pesakit serangan jantung akut ini terdapat di hospital-hospital kerajaan dan swasta. Rawatan-rawatan ini termasuklah ubat-ubatan dan prosedur yang dinamakan ‘angiogram’ di mana salur darah yang tersumbat akan ‘dibuka’ melalui prosidur ini. Walau bagaimanapun, orang awam dinasihatkan untuk datang ke hospital seawal yang mungkin sebaik sahaja mendapat simptom-simptom serangan jantung akut di atas untuk mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.
Rawatan susulan akan diberikan kepada pesakit-pesakit serangan jantung akut ini termasuklah rehabilitasi jantung, ubat-ubatan dan kaunseling.
Dr. Halwani Habizal adalah seorang pakar perubatan klinikal kardiologi yang bertugas di Pahang.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Asslm.. adik lelaki bongsu saya berumur 14 tahun. Beberapa minggu ini dia mengalami simptom yang sama iaitu sakit dada yg teruk, kesukaran bernafas, pening dan loya. Setelah berjumpa dgn doktor (klinik swasta), doktor kata jantungnya ada masalah dan beliau telah keluarkan surat agar kami ke HKL utk rawatan lanjut. Tibanya di HKL, doktor mengesahkan bahawa jantung adik saya ada masalah dan terpaksa ditahan di wad pemulihan jantung di tingkat 5, namun selepas beberapa jam di wad, doktor mengatakan bahawa adik saya terpaksa dikeluarkan dari wad atas alasan katil tidak mencukupi dan memberitahu bahawa keadaan adik saya adalah normal. Pada hari yg sama, saya berjumpa semula dgn doktor keluarga, beliau sekali lagi mengeluarkan surat supaya adik saya dibawa ke Hospital Sg Buloh. Apa patut saya buat? Terima kasih..