Pink Oktober! Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
Fakta-fakta penting mengenai kanser payudara:
- Penyebab kepada 685,000 kematian seluruh dunia pada tahun 2020.
- Secara kasarnya, separuh darinya berlaku dikalangan wanita tanpa spesifik faktor-faktor risiko selain daripada jantina dan penambahan umur seseorang.
- Kanser payudara berlaku di setiap negara di dunia.
- 5 hingga 1 peratus kanser payudara berlaku dikalangan golongan lelaki.
Pengenalan kepada kanser payudara:
Ianya adalah penyakit yang disebabkan oleh pembentukan sel-sel payudara yang tidak normal iaitu secara luar kawalan yang akhirnya membentuk sel-sel kanser. Sekiranya tidak dikesan di peringkat awal, sel-sel kanser ini boleh merebak ke bahagian organ lain dan ianya boleh menyebabkan kematian. Sel-sel kanser payudara bermula di liang-liang penghasilan susu dan/atau dalam kantung-kantung (lobules) yang menghasilkan susu. Pada peringkat awal ketika kanser payudara masih setempat (in situ), ianya jarang menyebabkan ketulan. Tetapi ianya boleh bersifat invasif dan menyebabkan penghasilan ketulan, kulit menebal dan luka pada payudara. Kanser payudara yang agresif boleh merebak ke kawasan nodus limfa yang berdekatan dan organ-organ yang lain seperti tulang, paru-paru dan hati. Ini boleh menyebabkan kematian. Rawatan adalah berdasarkan kepada keadaan pesakit, jenis sel kanser dan tahap kanser tersebut. Rawatan adalah melalui kombinasi pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan ubat hormon.
Insiden dan statistik:
- Kanser payudara merupakan kanser utama dikalangan para wanita diseluruh dunia termasuk Malaysia. Ianya adalah pembunuh nombor 1 dikalangan penyakit kanser wanita. Kenaikan kes meningkat dari tahun ke tahun menyebabkan kos-kos rawatan yang perlu ditanggung oleh kerajaan semakin tinggi.
- Insiden ini bermula pada umur 25 tahun dan kemuncaknya adalah pada umur 60 hingga 64 tahun. Data statistik menunjukkan insidens tertinggi dikalangan bangsa Cina, seterusnya India diikuti oleh Melayu.
Apakah faktor-faktor risiko kepada kanser payudara?
Faktor-faktor risiko terbahagi kepada 2 iaitu
- Yang tidak boleh diubah
- Yang boleh diubah
Faktor-faktor risiko yang tidak boleh diubah: ianya tidak boleh dikawal
- Umur – peningkatan
- Wanita – lebih berisiko berbanding golongan lelaki.
- Sejarah keturunan keluarga yang mempunyai kanser payudara terutamanya ahli keluarga terdekat seperti ibu, adik beradik atau anak. Risiko adalah lebih tinggi sekiranya ada ahli keluarga mendapat kanser ketika usia muda dan pembawa genetik kanser payudara seperti BRCA1, BRCA2 dan PABL2.
- Wanita yang datang haid awal, kurang dari umur 12 tahun
- Wanita yang lambat putus haid, melebihi umur 50 tahun
- Sejarah penyakit ketumbuhan payudara bukan kanser seperti ‘atypical lobular hyperplasia’ dan ‘lobular carcinoma in-situ’
- Sejarah kendiri penyakit kanser payudara
- Kepadatan payudara (breast density) yang tinggi berdasarkan klasifikasi mammogram.
Faktor-faktor risiko yang boleh diubah: Ianya boleh dikawal
- Wanita yang tidak pernah mengandung.
- Wanita yang kurang atau tidak menyusukan anak.
- Wanita yang mengambil pil hormon sebagai pil perancang atau terapi gantian hormon – berisiko rendah.
- Wanita yang terlebih berat badan dan obes.
- Kurang melakukan aktiviti kecergasan.
- Pengambilan alkohol terutamanya jenis ‘beer’ melebihi 10g sehari.
- Pendedahan kepada sinar radiasi, contohnya sinar radiasi terapeutik untuk rawatan kepada pesakit kanser limfoma
Apa yang perlu dibuat?
Sekiranya anda mempunyai faktor risiko yang tidak boleh diubah, elakkan daripada mendapat faktor risiko yang boleh diubah. Lakukan pemeriksaan kendiri payudara, dan jika anda mempunyai tanda-tanda pada payudara, sila berjumpa dengan doktor dengan segera untuk menbuat siasatan lanjut. Pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa.
RUJUKAN:
- Clinical Practice Guideline, Management of breast cancer 2019 (3rd Edition), Ministry of Health Malaysia.
- Breast Cancer, World Health Organization (WHO), 2023
Ditulis oleh,
Asst. Prof. Dr Mohammad Bin Che’ Man
Pensyarah perubatan/Pakar Perubatan Keluarga
MD.UKM, MMED.USM
Department of Family Medicine,
Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan
Asst. Prof. Dr Shahidah Che Alhadi
Pensyarah perubatan/Pakar Bedah Klinikal
MBBS. IIUM , MMED.USM
Special interest: Breast and endocrine surgery
Department of Surgery,
Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan