Sista Ovari: Adakah Berbahaya & Perlukah Dibuang? – Dr Muhammad Izzat

onarian-cystsApakah sista ovari (ovarian cyst)?

Ovarian cyst adalah kantung yang berisi lendir/air yang berada di dalam kilang telur ovari, diameternya melebihi 3 cm. Kantung ini boleh terjadi dalam pelbagai saiz, sehinggakan ada yang bersaiz sebiji tembikai! Lendir atau cecair ini boleh jadi seperti air atau lendir dipanggil simple cyst , atau ada yang lebih kompleks mempunyai lendiran yang likat, darah atau bahagian-bahagian pejal dan keras.

Jenis – jenis sista yang biasa terjadi saya senaraikan seperti di bawah ;

Simple cyst: terjadi apabila folikel besar pada ovari yang terus menerus membesar selepas telur dilepaskan pada ovari. Sista jenis ini adalah yang paling biasa dijumpai dan ditemui dan akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa bulan.

Endometriomaendometriosis, di mana sel-sel yang terdapat pada rahim didapati terdapat di luar rahim, menyebabkan terjadinya sista jenis ini dan dipanggil endometrioma.

Dermoid cyst : terjadi daripada sel yang menghasilkan telur pada ovari, kadang-kala bercampur dengan rambut dan lemak.

Jenis sista yang lain adalah jarang-jarang berlaku dan ditemui.

Hampir kesemua ovarian cyst yang berlaku sebelum usia menopos adalah tidak berbahaya. Kanser ovari sebelum usia menopos juga adalah sangat jarang berlaku.

Berapa kerap terjadinya ovarian cyst?

Ovarian Cyst adalah kejadian yang kerap berlaku di kalangan wanita muda dan kebanyakkannya wanita tidak sedar yang mereka mengalaminya kerana ia jarang memberikan masalah atau gejala. Ia hanya akan disedari apabila sesorang wanita itu membuat ultrasound, dalam pemeriksaan apabila menghadapi masalah kesuburan. Walau bagaimanapun, 1 dalam 10 wanita mungkin akan memerlukan pembedahan di kemudian harinya.

Sekiranya sista ini terjadi pada wanita berusia 50-70 tahun, ia lebih cenderung membawa kepada kanser dan lebih berbahaya

Apakah simptom atau gejala ovarian cysts?

Ia pada umumnya tidak memberikan sebarang gejala. Tetapi sekiranya ia terlalu besar anda mungkin perasan perut sedikit buncit dan terdapat ketulan pada bahagian bawah perut. Lain-lain gejala termasuklah :

  • Muntah dan loya
  • Sakit perut
  • Sakit semasa hubungan kelamin
  • Sukar atau kerap kencing
  • Rasa perut penuh dan tidak selesa dan cepat kenyang
  • Rasa berat pada ari-ari
  • Susah untuk mengandung di mana ada kaitan dengan endometriosis

Adakah sista penyebab masalah ketidaksuburan ?

Terdapat pelbagai jenis sista dan kebanyakanya tidak menjadi penyebab dan tidak memberi kesan kepada keupayaan untuk hamil. Kebanyakan sista tidak menganggu proses ovulasi atau persenyawaan. Tetapi sekiranya anda mengalami Endometriosis atau Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS), ia mungkin berkait rapat dengan masalah kesuburan.

Apakah rawatan yang akan diberikan jika saya mempunyai ovarian cyst?

Rawatan ovarian cyst bergantung kepada jenis sista yang anda alami. Bagi sista folikular atau corpus luteal cyst, rawatan yang biasa ialah dengan ‘tunggu dan lihat’. Lazimnya , doktor sakit puan akan memantau samada ia semakin membesar atau sudah bertukar bentuk.

Rawatan pembedahan untuk membuang sista akan dicadangkan jika didapati sista menjadi semakin besar. Walau bagaimanapun pilihan akan diberikan bergantung kepada gejala yang anda hadapi, bentuk sista, dan keputusan ujian darah.

Jika saya mempunyai simple cyst, yang tidak menimbulkan kesakitan – apakah pilihan rawatan yang saya ada?

Simple cyst berukuran diameter < 5 cm :

  • Rawatan tidak diperlukan. Sista jenis ini akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa bulan. Anda juga mungkin tidak memerlukan rawatan susulan

Simple cyst berukuran diameter 5 – 7 cm :

  • Anda seharusnya diberikan rawatan susulan, sekurang-kurangnya ultrasound selepas setahun kemudiannya.

Simple cyst berukuran diameter > 7cm

  • Anda perlu menjalani ujian dan pemeriksan lanjut, seperti MRI atau pembedahan.

Saya mempunyai ovarian cyst dan telah dinasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang sista tersebut, bagaimanakah pembedahan itu akan dilakukan?

Anda akan diberikan pilihan untuk menjalani pembedahan laparoskopi (pembedahan melibatkan potongan kecil dan penggunaan kamera), ianya kurang menyakitkan berbanding laparotomi. Dengan pembedahan laparoskopi, anda akan dapat pulang awal ke rumah selepas pembedahan dan sembuh dengan kadar yang segera.

Walau bagaimanapun pembedahan laparotomi (pembedahan melibatkan potongan besar) dicadangkan sekiranya sista didapati terlalu besar, ataupun sista menunjukkan tanda-tanda berkaitan dengan kanser.

Doktor sakit puan akan berbincang dengan anda, kebaikan dan keburukan kedua-dua jenis pembedahan ini, seterusnya menentukan jenis pembedahan yang bersesuaian dengan keadaan sista itu.

Adakah ovari saya akan dibuang juga semasa pembedahan?

Lazimnya, kedua-dua ovari tidak dibuang ketika pembedahan. Ini adalah kerana ovari penting untuk menghasilkan hormon wanita yang diperlukan sebelum menopos dan dalam kebanyakkan kes, hanya sista sahaja dibuang.

Walaupun begitu, ada sesetengah keadaan yang memerlukan ovari perlu dibuang juga, misalnya jika keadan sista terlalu besar sehingga menggantikan semua ruang ovari. Selain itu, ovari juga perlu dibuang sekiranya sista sudah terpusing/ terpuntil sehingga menyebabkan peredaran darah pada ovari terputus, atau merasakan sista itu mungkin menular menjadi kanser.

Apakah yang akan berlaku sekiranya saya hamil dan pemeriksaan ultrasound menunjukkan saya mempunyai sista?

Simple cyst ketika hamil yang selalunya dijumpai ketika pemeriksaan ultrasound lazimnya akan hilang dengan sendirinya sepanjang proses kehamilan. Jika sista itu terlalu besar, anda akan diberikan rawatan susulan dan pemeriksaan ultrasound selepas bayi dilahirkan. Pembedahan untuk membuang sista ketika hamil hanya akan dilakukan jika anda berasa sakit atau sista menunjukkan tanda-tanda ke arah kanser.

Rumusan & fakta penting

  • Ovarian cyst biasa berlaku di kalangan wanita sebelum usia menopos
  • Kanser ovari jarang berlaku sebelum usia menopos
  • Simple ovarian cyst yang kecil biasanya tidak memerlukan rawatan
  • Jika anda memerlukan pembedahan, pembedahan laparoskopi dalam membuang sista adalah lebih baik, bergantung kepada keadaan sista tersebut

Artikel ini ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Registrar Obstetrik & Ginekologi (O&G) kini berkhidmat di sebuah hospital di Kuala Lumpur. 

Rujukan:

  • Ovarian cysts before the menopause – Information for you by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists United Kingdom. Published in June 2013 ( next review in 2016 )

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box