Selamat Tahun Baru diucapkan kepada semua pembaca MMG yang dihormati !
Tahun Baru antara masa yang sibuk untuk ibu bapa yang mempunyai anak anak yang bersekolah. Memasuki alam persekolahan sememangnya saat yang mengujakan bagi anak anak dan ibubapa mereka juga. Bahkan sistem imun anak anak juga tumpang teruja.
Sekolah tempat anak anak belajar bermacam-macam ilmu pengetahuan. Sekolah juga tempat mempelajari dan memupuk sifat setia kawan, tolak ansur, bekerjasama dan banyak lagi tentang kehidupan dunia. Anak anak akan terdedah dengan sikap dan ragam rakan rakan lain dan perlu belajar adaptasi dengan persekitarannya yang mungkin pada mulanya terasa janggal dan menakutkan.
Begitu juga dengan sistem imun anak-anak yang pertama kali ke sekolah. Sistem ketahanan mereka juga akan terdedah dan diuji dengan pelbagai jenis ragam kuman. Disebabkan itu, sering juga kanak-kanak ini balik dengan seribu satu ‘gangguan’. Batuk selsema, cirit-birit , kutu, kudis buta , kurap pun ada….
Jadi, apakah kita patut simpan sahaja anak anak di rumah dan ramai-ramai keluar melobi kerajaan mansuhkan sistem persekolahan dan mewajibkan ‘home schooling’? Mungkin tidak…
Sama seperti minda dan perasaan anak yang perlu dilentur dan dipupuk untuk menghadapi cabaran kehidupan, sistem imun juga mendapat manfaat dengan ‘cabaran-cabaran’ ini. Dengan adanya pendedahan sistem imun kepada kuman-kuman ini, secara tidak langsung ketahanan kesihatan anak juga akan menjadi semakin baik dengan masa. Hari ini menghadapi sekolah…esok dunia.
Walau bagaimanapun seperti banyak perkara lain di dalam kehidupan kita , tidak bolehlah terlalu berlebih-lebihan dalam apa jua aspek. Begitu juga dengan sakit demam anak itu tadi. Bukanlah niat kita agar anak-anak sentiasa sakit apabila ke sekolah. Ibu bapa boleh mengambil langkah langkah berikut untuk memastikan kesihatan anak berada di tahap optimum agar mereka boleh belajar dan bermain dengan baik (ya, main pun mustahak!).
Langkah langkah ini boleh di kategorikan kepada 2 poin utama iaitu :
- Memelihara kesihatan dan sistem imun
- Mencegah penyakit
Memelihara kesihatan dan sistem imun
- Bagi mereka yang anaknya masih bayi atau merancang untuk mendapatkan cahaya mata , ini adalah satu motivasi yang baik untuk mengamalkan penyusuan susu badan secara eksklusif – Kajian menunjukkan anak-anak yang yang mendapat susu ibu mempunyai sistem imun yang kuat daya tahannya
- Pastikan anak-anak mendapat tidur yang cukup
- Berikan anak-anak makanan yang berzat dan cukup kandungan serat – Zat besi yang rendah dalam darah (anaemia) disebabkan diet yang tidak optimum boleh menjejaskan ketangkasan minda anak-anak dan senang mendapat jangkitan
- Minum secukupnya – Jangan lupa bekalkan anak dengan air ke sekolah
- Beriadah – Menguatkan otot dan tulang serta mencegah kegemukkan / obesiti
- Menjaga kebersihan diri
Pencegahan penyakit
- Pastikan imunisasi anak telah lengkap sepadan dengan usianya – Risiko jangkitan seperti demam campak, cacar air (chicken pox), jangkitan pneumokokkal dan TB boleh dikurangkan dengan imunisasi
- Jangan hantar anak yang sedang tidak sihat ke sekolah – Ini boleh menjejaskan kesihatan anak anda serta kanak-kanak yang lain sekiranya ianya adalah penyakit berjangkit. Dapakan nasihat doktor jika kurang pasti
- Amalan membasuh tangan – Didiklah anak dengan amalan mencuci tangan dengan betul kerana ia sangat efektif dalam mengurangkan penyakit berjangkit seperti batuk, selsema dan cirit birit.
- Etika ketika batuk dan bersin – Anak anak juga patut dididik tentang amalan batuk dan bersin yang sopan
Selain daripada menjaga kesihatan diri masing masing , persekitaran sekolah juga perlulah dijaga demi kebaikan semua. Pastikan sekolah tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan demam denggi . Seperti yang kita sedia maklum, demam denggi masih menjadi suatu masalah besar di negara kita.
Tidak rugi juga jika ibu bapa dan guru-guru memastikan anak-anak bijak menggunakan tandas dengan beretika. Selain daripada faedah ‘kosmetik’ untuk sekolah, tandas yang bersih memudahkan anak-anak menggunakannya dengan selesa. Ini secara tidak langsung boleh mengelakkan masalah kesihatan seperti sembelit dan jangkitan salur kencing. Menahan membuang air besar contohnya boleh menyebabkan sembelit yang kemudiannya boleh menjurus kepada jangkitan salur kencing. Insiden -nsiden yang tidak dingini seperti terkencing / terbuang air besar di kelas dan kencing malam (bedwetting) juga mungkin dapat dikurangkan. Langkah-langkah mudah ini amat penting untuk memastikan suasana yang sihat dan selesa untuk anak-anak kita melalui alam persekolahan.
Dr. Alya Hamzah seorang pegawai perubatan kanak-kanak yang bekerja di Selangor dan beliau sedang mempersiapkan diri untuk peperiksaan pasca-ijazah pediatrik. Beliau percaya perjalanan menuju kesihatan yang baik haruslah ditempuhi oleh pesakit dan doktor, bersama-sama. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]