Susulan kejadian satu (1) kes kematian yang disahkan dijangkiti MERS-CoV di Johor, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan di setiap peringkat. KKM menegaskan bahawa laporan dalam media sebelum ini yang menyatakan kontak rapat dikuarantin adalah tidak tepat. Sehingga 19 April 2014, tiada kes baru dikesan dan tiada kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan dari seluruh negara menjadikan jumlah kumulatif kekal sebagai satu (1) kes kematian. Di samping itu, tiada sampel yang positif jangkitan MERS-CoV daripada 31 sampel yang telah diambil dari kontak rapat (close contact) yang bergejala.
Aktiviti pengesanan kontak dan pemantauan yang dijalankan adalah seperti berikut:
a) Secara kumulatif, seramai 197 kontak rapat telah berjaya dikesan dari seluruh negara melibatkan ahli keluarga serumah, saudara mara, penumpang dari pesawat yang terlibat termasuk dua kumpulan pakej umrah, sahabat handai, anggota kesihatan yang mengendalikan kes dan sebahagian penumpang dari pesawat terlibat.
b) Setiap kontak rapat diminta memantau kesihatan masing-masing untuk tempoh selama empat belas (14) hari dari tarikh akhir terdedah kepada kes dan mereka TIDAK DIKUARANTIN. Mereka yang menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas diminta mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan.
Orang awam yang ingin mengadakan lawatan ke negara-negara di rantau Timur Tengah yang kini melaporkan kejadian jangkitan MERS-CoV, dinasihati supaya:
i) Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman.
ii) Semasa dalam tempoh lawatan
- Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta hand sanitizer untuk digunakan apabila perlu;
- Elakkan dari mendekati dan menyentuh orang yang sakit.
- Elakkan dari melawat ladang haiwan, khususnya ladang unta dan menyentuh sebarang jenis haiwan.
- Elakkan dari menjamah makanan mentah/tidak dimasak, menjamah buah-buahan/sayuran yang tidak dibasuh terlebih dahulu atau meminum minuman yang menggunakan bekalan air tidak terawat.
iii) Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat dengan gejala jangkitan respiratori (seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak) adalah dinasihatkan untuk memakai penutup mulut dan hidung (mask), menjaga adab batuk serta mengamalkan kebersihan diri. Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya tidak sihat serta maklumkan sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.
Kerjasama pihak agensi pelancongan khususnya yang menguruskan jemaah umrah/haji dipohon untuk memperkukuhkan kesedaran para jemaah umrah/haji mengenai jangkitan MERS-CoV melalui hebahan maklumat secara berterusan dengan merujuk kepada nasihat kesihatan seperti di atas.
KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh diperolehi dari laman sesawang http://www.moh.gov.my.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 19 April 2014