Steven Johnson Syndrome Dan Toxic Epidermal Necrolysis – Fatimah Az-Zahra Mohd Fadzil (Pegawai Farmasi)

Kesan advers ubat boleh didefinisikan sebagai kesan yang tidak diingini yang berlaku semasa atau selepas penggunaan ubat-ubatan pada dos biasa. Kesan advers ubat yang paling kerap dilaporkan ialah kesan advers yang melibatkan kulit (cutaneous adverse drug reactions, CADR). Antara contoh CADR termasuklah ruam, gatal-gatal kulit, urtikaria, fixed drug eruption, angioedema dan beberapa lagi. Sebahagian besar CADR tidak menyebabkan kemudaratan kepada pesakit, namun terdapat juga sebilangan CADR yang sangat serius dan mengancam nyawa.

 

Apakah itu Steven Johnson Syndrome dan Toxic Epidermal Necrolysis?

Steven Johnson Syndrome (SJS) dan Toxic Epidermal Necrolysis (TEN) merupakan antara CADR serius yang sering dilaporkan. SJS dan TEN boleh dikatakan sebagai reaksi yang mempunyai perkaitan. Kedua-dua keadaan ini dibezakan dengan peratusan jumlah luas permukaan badan yang menunjukkan gejala. SJS melibatkan kurang daripada 10% permukaan badan manakala TEN pula melibatkan kawasan kulit yang lebih luas berbanding SJS iaitu lebih daripada 30% permukaan badan. Kedua-duanya dikatakan bertindih (SJS-TEN overlap) apabila permukaan badan yang menunjukkan gejala berada dalam peratusan 10% hingga 30%.

 

Gejala bagi SJS dan TEN

SJS dan TEN lazimnya bermula dengan gejala yang berlaku ketika jangkitan saluran pernafasan seperti selesema dan batuk, sakit tekak dan kesukaran menelan, demam melebihi suhu 39oC, sakit-sakit badan dan konjunktivitis.

Dalam masa beberapa hari, kulit akan mula melepuh dan mengelupas yang kemudiannya membentuk luka yang kelihatan seperti melecur. Kulit melepuh ini kebiasaannya bermula di bahagian muka dan dada sebelum merebak ke bahagian badan yang lain.

Kebanyakan pesakit turut mengalami kecederaan pada membran mukosa termasuklah pada mulut dan saluran pernafasan. Keadaan ini boleh menyebabkan kesukaran dan kesakitan untuk menelan dan kesukaran untuk bernafas.

 

Faktor penyebab SJS dan TEN

SJS atau TEN dilaporkan berlaku selepas penggunaan ubat-ubatan tertentu. Kebanyakan kes SJS dan TEN terjadi susulan penggunaan ubat-ubatan secara oral atau suntikan. Namun demikian, terdapat beberapa kes TEN pernah dilaporkan berlaku selepas penggunaan ubat secara topikal. Antara kumpulan ubat yang telah dilaporkan berisiko menyebabkan SJS dan TEN termasuklah:

  • Ubat antibiotik khususnya daripada kumpulan penicillin, cephalosporin, quinolones, tetracycline, sulfonamides dan cotrimoxazole.
  • Ubat antiepileptik yang digunakan dalam rawatan sawan seperti lamotrigine, carbamazepine dan phenytoin.
  • Ubat allopurinol yang digunakan untuk mengurangkan paras asid urik dalam kalangan pesakit gout, terutamanya jika diambil pada dos yang melebihi 100 mg sehari.
  • Non-steroidal antiinflammatory drugs (NSAIDs) iaitu ubat tahan sakit dan antikeradangan bukan steroid, khususnya daripada kumpulan oxicam seperti meloxicam dan piroxicam.
  • Nevirapine iaitu ubat antiretrovirus yang digunakan dalam rawatan HIV.

Selain ubat-ubatan, terdapat beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko SJS dan TEN untuk berlaku. Sebilangan individu yang menghidap HIV atau kanser mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami kesan SJS atau TEN. Jangkitan yang disebabkan oleh Mycoplasma pneumoniae dan Herpes simplex juga dilaporkan sebagai punca bagi SJS dan TEN, walaupun sangat jarang-jarang terjadi. Sekitar 20-25% kes SJS dan TEN pula tidak diketahui puncanya.

Rawatan untuk SJS dan TEN

Pesakit yang mengalami SJS dan TEN perlu diberikan rawatan dengan kadar segera. Rawatan bagi SJS dan TEN ditentukan berdasarkan gejala dan penilaian tahap keseriusan yang dialami oleh pesakit serta bahagian badan yang terkesan. Langkah pertama yang harus dilakukan adalah untuk menghentikan ubat-ubatan yang disyaki menyebabkan kesan advers tersebut. Pesakit pula hendaklah dirawat di hospital dan melibatkan unit-unit yang berkaitan seperti unit rawatan rapi dan unit rawatan kelecuran.

Ubat demam dan tahan sakit boleh diberikan untuk mengawal suhu badan dan mengurangkan kesakitan yang dialami. Ubat antiseptik pula, seperti chlorhexidine boleh digunakan bagi cucian luka. Sekiranya SJS dan TEN melibatkan mata, pesakit boleh diberikan ubat titis mata yang mengandungi antibiotik dan steroid (ubat antikeradangan). Ubat kumur mulut dan semburan yang mengandungi anestetik pula bermanfaat untuk mengurangkan kesakitan dalam mulut pesakit.

Nasihat untuk pesakit

Pesakit yang pernah mengalami SJS dan TEN dinasihatkan untuk sentiasa memaklumkan ahli profesional kesihatan tentang sejarah kesan advers yang berlaku apabila mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan. Kaunseling berkaitan dengan ubat-ubatan yang berisiko menyebabkan SJS dan TEN akan diberikan kepada pesakit.

Selain itu, pesakit akan diberikan kad alahan yang mengandungi maklumat peribadi dan maklumat ubat-ubatan yang menyebabkan SJS atau TEN. Gejala yang dialami sebelumnya juga turut dinyatakan pada kad alahan tersebut. Kad alahan  hendaklah dibawa oleh pesakit semasa mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan agar penggunaan ubat-ubatan yang berisiko mengakibatkan SJS dan TEN dapat dielakkan.

Bagi memastikan pengambilan ubat-ubatan adalah selamat dan bersesuaian, pesakit disaran untuk mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan. Kebiasaannya, doktor akan memulakan rawatan ubat-ubatan kepada pesakit berdasarkan penilaian klinikal dan status kesihatan semasa pesakit.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

Artikel ini ditulis oleh Fatimah Az-Zahra binti Mohd Fadzil, Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

 

RUJUKAN:

  1. Drug Induced Steven- Johnson Syndrome (SJS) Riyaz Miya*, Ashok Kumar Malpani, Sangamesh Keri, Rohit Panagaon Department of Pharmacy Practice, RMES College of Pharmacy, Kalaburagi, Karnataka, INDIA.
  2. Stevens Johnson Syndrome, dari laman https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books
  3. Stevens-Johnson syndrome/toxic epidermal necrolysis, dari laman https://medlineplus.gov/genetics/condition/stevens-johnson-syndrome-toxic-epidermal-necrolysis/#frequency
  4. Toxic epidermal necrolysis and Stevens-Johnson syndrome dari laman https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21162721/
  5. Stevens-Johnson syndrome and Toxic epidermal necrolysis dari laman https://dermnetnz.org/topics/stevens-johnson-syndrome-toxic-epidermal-necrolysis
  6. Barvaliya, M., Sanmukhani, J., Patel, T., Paliwal, N., Shah, H., & Tripathi, C. (2011). Drug-induced Stevens-Johnson syndrome (SJS), toxic epidermal necrolysis (TEN), and SJS-TEN overlap: a multicentric retrospective study. Journal of postgraduate medicine, 57(2), 115-119.
  7. Sutaria, A., Rawlani, S., & Sutaria, A. H. (2024). Causes and Management of Cutaneous Adverse Drug Reactions: A Comprehensive Review. Cureus, 16(3).
  8. Kapse, A. (2013). Mycoplasma pneumoniae–A common cause of SJS/TEN. Pediatric Infectious Disease, 5(1), 51-54.
  9. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC6297296/#S0003
  10. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17656-stevens-johnson-syndrome

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box