PENGENALAN
Sebarang kerja yang dilakukan akan melibatkan sejumlah atau tahap ‘tekanan’ yang tertentu. Ini perlu sebagai pemangkin agar pekerjaan dilakukan dapat diselesaikan mengikut tarikh yang ditetapkan dan ianya dapat dilakukan dengan sebaiknya. Stres atau tekanan di tempat kerja membawa keburukan bilamana individu pekerja tidak dapat menguruskan stres dengan wajar lebih-lebih lagi apabila tidak mendapat sokongan atau bantuan dari pihak pengurusan atau majikan.
Pengurusan stres di tempat kerja bermaksud cara atau mekanisma bagaimana seseorang individu menangani stres atau tekanan pada waktu bekerja iaitu di tempat kerja. Menangani stres samada tekanan dari faktor dalaman atau tekanan dari faktor luaran, bukan sahaja datang dari pekerja itu sendiri malah juga perlu dari pihak pengurusan atau majikan. Peranan majikan dalam satu-satu organisasi dalam pengurusan stres dapat memberi sokongan kepada pekerja-pekerjanya menangani stres dan ini dapat dicapai dengan mekanisma yang tertentu. Peranan majikan dalam pengurusan stres sudah tentu memberi impak yang positif kepada pekerjanya seterusnya dapat dilihat dengan peningkatan produksi dan kestabilan organisasi tersebut dari segi persekitaran yang kondusif dan mental yang sehat dikalangan pekerjanya. Ini amat penting terutama ketika negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.
Artikel ini membincangkan peranan majikan dalam pengurusan stres di tempat kerja merangkumi rengkasan statistik kesihatan pekerja-pekerja di Malaysia, undang-undang dasar dalam kerajaan dan mekanisma yang boleh dilakukan oleh pihak majikan dalam pengurusan stres.
Dalam perbincangan Stres di Tempat Kerja (Bahagian 1), ada mencatatkan tentang beban kerja dan kesukaran bekerja antara faktor utama penyebab stres terutama semasa pandemik ini. Jika tidak dikawal ianya akan menjejaskan kesihatan mental individu pekerja yang boleh menyebabkan gejala kemurungan (depression), kerisauan (anxiety) dan stres (stress disorder). Secara ringkas, Bahagian-1 membincangkan definisi stres atau tekanan dalam kontek kesihatan, faktor-faktor yang boleh menyebabkan stres sama ada tekanan akut, tekanan akut episodik atau tekanan kronik dan gejala-gejala stres apabila individu pekerja tidak dapat menguruskan stres dengan wajar. Topik Bahagian – 1 juga mengupas gejala-gejala stres yang menjejaskan kesihatan mental, kesihatan fizikal, gangguan emosi dan perubahan tingkah laku. Mekanisma pengurusan stres bagi setiap individu bekerja dibincangkan secara holistik termasuk strategi awal (mekanisma ABC) dan strategi seterusnya iaitu merancanakan semula pemikiran positif, melakukan perubahan tingkah laku dan gaya hidup yang positif termasuk terapi minda.
RUMUSAN STATISTIK KESIHATAN PEKERJA DI MALAYSIA (RUJUKAN)
Sebagai permulaan perbincangan ada baiknya jika diteliti dahulu statistik ringkas yang terdapat dalam laporan khas diterbitkan pada 3hb Disember 2018 oleh ‘The Edge Malaysia’. Dalam kaji selidik bertajuk Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia (Malaysia’s Healthiest Workplace) oleh AIA ‘Vitality’ 2018 mendedahkan bahawa ketidakhadiran atas sebab-sebab berkaitan kesihatan (absence) atau berada di tempat kerja semasa tidak sihat (kurang produktif) samada dari segi tidak sehat fizikal atau kesihatan mental (presenteeism), dikaitkan dengan kehilangan produktiviti dan terus menerus memberi kesan kepada pendapatan asas organisasi. Organisasi kehilangan sejumlah 73.1 hari bagi setiap pekerja akibat ketidakhadiran (absence) dan kurang produktif (presenteeism) dengan menyebabkan kenaikan kos setiap majikan RM2.27 juta setahun.
Kaji selidik ini juga menunjukkan peningkatan peratusan isu-isu berkaitan kesihatan mental di tempat kerja dengan 50.2% pekerja melaporkan mempunyai sekurang-kurangnya satu punca tekanan berkaitan dengan kerja seperti disebabkan budaya organisasi, kepimpinan, buli, beban kerja, masalah dengan rakan sekerja dan keadaan pesekitaran yang tidak kondusif. Di antara laporan-laporan kesihatan dalam kaji selidik di tempat kerja, didapati kesihatan mental adalah salah satu isu penting yang paling kurang diperkatakan. Selalunya, masalah kesihatan mental diabaikan atau tidak dapat dikesan disebabkan oleh stigma dan kekurangan pemahaman tentangnya.
Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan stres kepada pekerja adalah masalah kesihatan dan tabiat atau gaya hidup individu pekerja. Dalam kaji selidik didapati 32% pekerja dilaporkan menghidap satu atau lebih penyakit kronik (tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, penyakit jantung atau strok), 16.6% pekerja adalah obes dan 85% pekerja dilaporkan mempunyai satu atau lebih masalah otot dan tulang (musculoskeletal). Tekanan atau stres berkaitan kerja boleh disebabkan dengan masalah tidur yang dialami oleh pekerja-pekerja dan sebaliknya. Di dapati 54.4% pekerja rakyat Malaysia mendapat kurang daripada tujuh (7) jam tidur setiap malam, manakala 11% mengatakan bahawa mereka mempunyai tidur yang kurang memuaskan manakala 2% mempunyai tidur yang sangat tidak memuaskan.
Berkaitan dengan gaya hidup pekerja-pekerja, kaji selidik mendapati kebanyakan organisasi menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja mereka (45.9%) adalah sedentari (duduk, tidak aktif) untuk sebahagian besar hari bekerja ditempat kerja, 91.7% pekerja yang dikaji tidak mempunyai diet seimbang dan 11.1% pekerja adalah perokok.
Tekanan atau stres di tempat kerja yang tidak ditangani dengan efektif boleh menjejaskan prestasi pekerja secara negatif termasuk ketidakhadiran, kurang produktiviti dan pusing ganti kakitangan disebabkan berhenti kerja, dan seterusnya menyebabkan prestasi organisasi semakin menurun. Dengan itu, pihak majikan perlu memainkan peranan dalam menangani masalah stres atau tekanan di tempat kerja seperti memperbaiki gaya hidup individu pekerja dan menyediakan persekitaran kerja yang kondusif akan dibincangkan dalam segmen seterusnya
UNDANG-UNDANG DASAR DALAM KERAJAAN
‘Job stress’ atau tekanan kerja adalah suatu keadaan atau perasaan yang dialami ketika seseorang merasakan bahawa tuntutan kerja melebihi sumber peribadi dan sosial yang mampu dilakukan oleh individu pekerja. Definisi ‘tekanan kerja’ ialah tindak balas fizikal dan emosi yang memudharatkan yang berlaku apabila keperluan pekerjaan tidak sepadan dengan keupayaan, sumber atau keperluan pekerja (NIOSH 1999).
Kewajipan am majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah kepada pekerja-pekerja mereka.
Mengikut Seksyen 15 (1): Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya. Subseksyen ini memperuntukkan kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja.
Tan Sri Lee Lam Thye yang merupakan bekas pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam Malaysia Gazette isu 8 Jun 2021, menyatakan isu kesihatan mental di tempat kerja melibatkan sektor-sektor dalam Jadual Pertama AKKP 1994, kesemuanya akan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sepatutnya aspek kesihatan mental dalam kalangan pekerja mestilah lebih dititikberatkan di musim wabak Covid-19. Pengabaian aspek kesihatan mental boleh merugikan organisasi dan negara pada masa hadapan dan ini dapat dilihat dengan rekod isu kesihatan mental di tempat kerja yang semakin tinggi setiap tahun.
Oleh itu, sokongan kesejahteraan kesihatan mental amat diperlukan bagi menguruskan isu kesihatan mental di tempat kerja terutamanya di musim Covid-19. Adalah diharapkan majikan dalam sektor pekerjaan dapat mengambil langkah yang lebih proaktif dan menjadi lebih peka mengenai isu kesihatan mental di tempat kerja.
TANGGUNG JAWAB DAN PERANAN MAJIKAN
Titik permulaan yang baik apabila sesebuah organisasi dapat menubuhkan jawatankuasa dalaman khas di tempat kerja yang menguruskan dan menyediakan sokongan kesejahteraan mental pekerja terutamanya di musim wabak Covid-19. Jawatankuasa boleh menilai kesihatan mental pekerja dengan memantau prestasi dan perubahan pekerja-pekerja dan melakukan soal selidik mudah untuk diisi oleh pekerja, yang kemudiannya menunjukkan di mana prestasi semasa dan situasi yang memerlukan perhatian.
Terdapat enam keadaan pekerja yang perlu dipantau dan jika tidak diurus dengan betul, ianya boleh menyebabkan stres yang kronik berkait dengan produktiviti yang lebih rendah dan peningkatan gejala-gejala stres.
6- isu yang perlu diambil kira oleh pihak majikan:
- Tuntutan kerja (Demands) – termasuk isu seperti beban kerja, corak kerja dan persekitaran kerja. Pekerja mungkin tidak dapat menampung tuntutan pekerjaan mereka, menjadi tertekan dengan beban kerja, corak kerja atau persekitaran kerja.
- Kawalan kerja (Control) – sejauh mana orang itu menguasai pekerjaannya dan dapat memberi pendapat dan pandangan tentang cara melakukan kerja mereka. Pekerja mungkin tertekan jika merasa kurang kawalan tentang cara mereka bekerja, menyebabkan mereka berasa terasing dan prestasi kerja yang rendah.
- Sokongan kerja (Support) – seperti memberi galakan, penajaan dan sumber yang disediakan oleh organisasi, pihak pengurusan dan rakan sekerja. Kekurangan sokongan daripada rakan sekerja atau pihak pengurusan juga boleh menyumbang kepada tekanan atau stres.
- Hubungan sosial dalam organisasi (Relationship) – menggalakkan hubungan kerja yang baik dan positif, mengelakkan konflik dan menangani tingkah laku yang tidak sesuai. Perhubungan yang negatif di tempat kerja seperti iri hati, buli atau gangguan meningkatkan tekanan di tempat kerja dan ini boleh menjatuhkan satu pasukan kerja yang dinamik.
- Peranan pekerja (Role) – iaitu sama ada pekerja memahami peranan mereka dalam organisasi dan sama ada organisasi dapat memastikan bahawa mereka tidak mempunyai peranan yang bercanggah. Jika dalam suatu organisasi pekerja tidak memahami peranan mereka dan apa yang diharapkan daripada mereka, atau jika mereka mempunyai tuntutan pekerjaan yang bercanggah sudah tentu menyebabkan persekitaran kerja yang stres dan tertekan.
- Perubahan dasar organisasi (Change) – bagaimana perubahan organisasi (besar atau kecil) diurus dan disampaikan kepada pekerja-pekerja di dalam organisasi. Sesetengah pekerja mendapati perubahan dasar dan ketidak stabilan dalam organisasi menjejaskan persekitaran kerja yang kondusif dan menyebabkan rasa tertekan (stressful).
Antara Peranan Majikan Dalam Pengurusan Stres Ditempat Kerja:
- Dengan Menawarkan Penjagaan Kesihatan Yang Berterusan Kepada Pekerja
Menjaga tahap kesihatan adalah tanggungjawab setiap pekerja kerana ianya adalah faktor utama dalam mengurus stress. Tetapi peranan majikan menawar penjagaan kesihatan dan memastikan pekerja-pekerja melakukan pemeriksaan kesihatan adalah penting. Menurut kaji selidik, 90% daripada majikan/organisasi menawarkan sekurang-kurangnya satu intervensi kesihatan seperti insuran kesihatan pekerja atau klinik panel. Hanya 59% pekerja yang menyedari adanya intervensi kesihatan oleh majikan mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu intervensi (rujukan). Pihak majikan harus memberi lebih penerangan, galakan dan kesedaran tentang intervensi perubatan kepada pekerja.
- Dengan Menggalakkan Aktiviti Fizikal
Majikan harus mewujudkan persekitaran yang membolehkan pekerja untuk kerap bersenam dan melakukan aktiviti fizikal. Aktiviti-aktiviti yang boleh diatur oleh majikan untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja seperti ping pong, papan damak, aerobik, permainan catur atau dam. Aktiviti-aktiviti ini dilakukan secara kekal (sentiasa ada) atau dalam sesi-sesi tertentu. Majikan sepatutnya menjadi satu contoh untuk sama sama melakukan aktiviti fizikal.
- Melaksanakan Program Kesejahteraan
Program kesejahteraan dapat mengeratkan hubungan positif di kalangan pekerja dan mengurangkan stres di tempat kerja. Inisiatif kesejahteraan kesihatan, seperti penilaian gaya hidup sehat, hari kesihatan mental dan diskaun keahlian gim menunjukkan majikan mengambil berat tentang kesihatan dan kesejahteraan pekerja. Dengan cara ini membantu mengurangkan tahap stres dan meningkatkan tahap produktiviti pekerja. Pihak majikan adalah digalakkan untuk mengikuti kursus kesihatan mental untuk melatih pihak pengurusan tentang cara mengesan tanda-tanda tekanan yang berkaitan dengan kerja dan membantu mencegah gejala tekanan kerja daripada meningkat kepada situasi yang lebih serius. Latihan ini juga boleh mendidik majikan cara proaktif untuk membantu mengurangkan faktor tekanan kerja atau memberikan sokongan kepada pekerja yang menunjukkan tanda-tanda tekanan atau stres.
- Mengambil Tahu Tentang Pekerja
Majikan patut mengambil tahu berkaitan masalah kerja atau kesihatan pekerja sebelum masalah – masalah ini tidak dapat dibendung dan menyebabkan gejala-gejala stres. Jika terdapat pekerja yang tidak dapat menangani stres, pihak pengurusan boleh mengaturkan sesi kaunseling atau menasihati mereka agar berjumpa dengan kaunselor atau doktor untuk konsultasi bagi menangani stres. Majikan juga boleh menasihati pekerja yang sedang stres untuk mengambil cuti rehat atau ‘take a break’.
- Membuat Pekerja Merasa Diri Mereka Dihargai
Adalah penting bagi majikan mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan baik dengan pekerja supaya setiap arahan yang diberi adalah jelas dan setiap pekerjaan dapat dilakukan dengan baik. Setiap kata-kata yang dinyatakan dengan hormat kepada pekerja akan membuat pekerja merasa diri mereka dihargai seperti ucapan terima kasih, salam dan ucapan selamat maju jaya. Apabila pekerja dihargai, mereka merasa mereka seperti sebahagian daripada keluarga besar dalam satu organisasi dan menjadi lebih bermotivasi untuk melakukan pekerjaan. Ini sudah tentu mengurangkan tekanan kerja dan menambahkan produktiviti. Antara contoh penghargaan kepada pekerja-pekerja adalah seperti menganjurkan makan malam penghargaan, anugerah cemerlang, menghadkan kerja lebih masa, memastikan kakitangan menggunakan kelayakan penuh cuti tahunan mereka dan menawarkan pengaturan kerja yang fleksibel.
Mewujudkan keseimbangan kerja dan kesejahteraan kesihatan pekerja menunjukkan bahawa majikan menghargai mereka sebagai satu pasukan dalam organisasi dan ini akan menggalakkan persekitaran yang kondusif, mengurangkan tekanan kerja dan meningkatkan produktiviti.
KESIMPULAN
Tekanan atau stres kerja harus dilihat sebagai ancaman kepada pekerja dari aspek kesihatan fizikal, mental dan keselamatan pekerja yang lain. Perkongsian tanggungjawab antara majikan dan pekerja adalah penting dalam pengurusan stres di tempat kerja.
Kesihatan dan kesejahteraan pekerja bermula dengan perubahan cara pemikiran dan sikap diri ke arah yang positif dan sebaiknya dibantu dari pihak pengurusan iaitu majikan.
Majikan mempunyai kewajiban dalam menyediakan persekitaran tempat kerja yang kondusif untuk mengurangkan tekanan atau stres di tempat kerja.
RUJUKAN
S P E C I A L R E P O R T – Healthiest Workplace by AIA Vitality. At https://healthiestworkplace.aia.com/www/assets/malaysia/eng/2018-supplement-cover.pdf and at
Anne Morris Workplace Stress: Employer’s Duty of Care, 2 February 2021. At https://www.davidsonmorris.com/employers-duty-of-care-stress/
worknest.com. Work Related Stress – Employer Duty of Care. At https://worknest.com/blog/work-related-stress-employers-duty-of-care/
Penekanan aspek kesihatan mental dalam AKKP 1994 at MalaysiaGazette, 8 June 2021 https://malaysiagazette.com/2021/06/08/penekanan-aspek-kesihatan-mental-dalam-akkp-1994/
Tackling work-related stress using the Management Standards approach retrieved at https://www.hse.gov.uk/pubns/wbk01.pdf
Datin Dr. Fa’iza Abdullah,
Family Medicine Department,
Kulliyyah of Medicine,
IIUM, Kuantan Campus.