Strok atau Serangan Angin Ahmar: Apa yang Kita Perlu Tahu – Dr Nur Hidayati

ALT TAGStrok adalah punca utama yang ketiga bagi kematian di Malaysia. Di seluruh dunia, strok adalah penyebab kedua paling biasa bagi kematian dan penyebab utama bagi kehilangan upaya orang dewasa. Setiap tahun, jutaan orang menderita serangan strok. Ia juga antara empat penyebab utama kematian di negara-negara ASEAN, dengan jumlah kasar kematian antara 10.9/100,000 (Thailand) kepada 54.2 bagi setiap 100,000 (Singapura).

Apa itu strok atau serangan angin ahmar?

Strok adalah keadaan apabila otak kehilangan bekalan darah sama ada kerana pembuluh darah tersumbat (trombosis), pembuluh darah menyempit (stenosis) ataupun pembuluh darah pecah yang menyebabkan pendarahan dalam otak. Ada dua jenis strok, iaitu strok iskemia dan strok berdarah.

Bagaimana strok berlaku?

Bagi strok iskemia – pembuluh darah dalam otak tersekat oleh gumpalan darah beku di dalam pembuluh (trombus), plak aterosklerotik pecah, ataupun oleh emboli (darah beku yang bergerak dalam saluran darah yang kemudiannya tersekat di pembuluh darah otak).

Bagi strok berdarah, ia berlaku apabila terdapat aneurisme (bengkak atau gelembung pada arteri) atau kecacatan pembuluh darah di otak pecah dan berlaku pendarahan ke dalam otak. Ia biasanya dikaitkan dengan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.

Tahukah kita bahawa 80% daripada serangan strok dapat dicegah?

Serangan strok dapat dicegah sekiranya setiap orang mengambil langkah bagi mengelak penyakit ini daripada berlaku. Usah sekali-kali menyangka bahawa kita tidak berisiko diserang strok. Sesiapa sahaja mungkin diserang strok tanpa mengira sama ada kita lelaki ataupun perempuan, muda ataupun tua, apa jua etnik kita.

Apakah yang dapat kita buat bagi mengelak serangan strok?

  • Kawal tekanan darah sekiranya kita mempunyai penyakit darah tinggi. Setiap hari, pantau tekanan darah dan makan ubat yang diberi. Jangan mengatur sendiri ataupun berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor.
  • Berhenti merokok! Perokok terdedah kepada risiko serangan strok dua kali ganda berbanding bukan perokok.
  • Kekalkan berat badan yang sihat.
  • Diet sihat dan seimbang.
  • Penghidap kencing manis perlu mengawal pengambilan gula secara optimum.
  • Dapatkan pemeriksaan bagi degupan jantung yang tidak normal.
  • Bersenam dan kekalkan gaya hidup aktif.
  • Elak atau kurangkan pengambilan alkohol.

Apakah tanda-tanda kita sedang diserang strok?

Kita mungkin sedang diserang strok sekiranya:

  • Kebas atau lemah secara tiba-tiba pada muka, lengan, ataupun kaki terutamanya jika hanya pada sebelah bahagian badan sahaja.
  • Tiba-tiba sukar menelan.
  • Mendadak kurang sedar, mengantuk, sukar bercakap atau memahami percakapan.
  • Tidak dapat melihat sama ada dengan sebelah mata atau kedua-dua belah mata.
  • Tidak stabil apabila berjalan, pening, hilang keseimbangan atau koordinasi.
  • Sakit kepala yang teruk dan tidak diketahui puncanya, disertai dengan muntah dan mual.

Sekiranya kita nampak seseorang yang mempunyai mana-mana simptom di atas, kita dapat menggunakan FAST bagi mengenal pasti dengan cepat adakah orang itu sedang diserang strok.

F untuk FACE: Minta orang itu senyum. Adakah sebelah bahagian wajahnya jatuh?

A untuk ARMS: Minta orang itu angkat kedua-dua lengannya. Adakah sebelah lengannya jatuh ke bawah?

S untuk SPEECH: Minta orang itu ulang semula satu ayat mudah. Adakah percakapannya tidak jelas atau pelik?

T untuk TIME: Sekiranya kita perhatikan orang itu mempunyai antara tanda yang di atas, segera dapatkan rawatan perubatan.

Apakah yang perlu kita buat sekiranya kita ataupun mereka yang tersayang mempunyai tanda-tanda awal strok?

Bawa mereka secepatnya ke hospital untuk penelitian. Setiap minit adalah penting apabila seseorang diserang strok. Lebih lama darah berhenti mengalir ke dalam otak, lebih teruk keadaannya dan lebih sukar untuk pulih. Apabila tiba di hospital, doktor akan menggunakan teknik imbasan imej otak, sama ada Computed Tomography (CT) atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) bagi menentukan jenis strok yang dialami oleh pesakit.

Sekiranya pesakit diserang strok iskemia, mereka dapat dirawat dengan ubat yang disebut sebagai rt-PA. Ubat ini melarutkan darah beku yang menghalang aliran darah ke otak. Namun begitu, ubat ini tidak boleh diberi kepada semua kes strok. Rawatan ini akan berkesan sekiranya dilakukan dalam masa empat jam setengah dari awal serangan strok. Bagi memastikan pesakit dapat dinilai dan menerima rawatan, dia perlu dibawa ke hospital dengan kemudahan strok trombolisis dalam masa 60 minit.

Kajian lima tahun oleh Institut Gangguan Neurologi dan Strok Kebangsaan (NINDS) menunjukkan bahawa pesakit strok yang menerima rt-PA dalam masa tiga jam terawal berlakunya simptom strok, mempunyai sekurang-kurang 30% kebarangkalian untuk pulih dengan sedikit ataupun tanpa kecacatan selepas tiga bulan.

Jika pesakit diserang strok berdarah, doktor dapat mengawal pendarahan dengan mengawal tekanan darah. Sekiranya berlaku pendarahan intrakarnial yang teruk yang tidak bertindak balas terhadap rawatan ubat, kita mungkin perlu memanggil pakar bedah otak untuk turut serta dengan melakukan pembedahan bagi mengurangkan kesan tekanan di dalam otak yang disebabkan oleh pendarahan tersebut.

Apakah yang akan berlaku sekiranya kita ataupun mereka yang tersayang diserang strok?

Meskipun dengan penjagaan kesihatan yang terbaik, sebanyak dua per tiga penderita strok akan meninggal dunia kerana penyakit ini atau komplikasi daripada penyakit ini; ataupun mengalami hilang upaya kekal. Serangan strok adalah antara perkara yang teruk yang dapat berlaku dalam hidup pesakit dan mereka yang tersayang. Pesakit strok dan keluarga mereka memerlukan sokongan kita untuk pulih.

Proses pemulihan daripada strok adalah suatu proses sepanjang hayat. Usah lemah semangat seandainya mereka memerlukan masa yang panjang untuk pulih daripada serangan strok. Setiap pesakit mempunyai tempoh pulih masing-masing. Lebih awal proses pemulihan bermula – lebih baik hasilnya. Sekiranya ada insan tersayang kita yang diserang strok, banyak perkara yang dapat kita buat sebagai penjaga.

  • Kenal pasti risiko kemudian kawal ataupun hentikan ia – sekiranya tidak, strok mungkin menyerang semula. Perkara terpenting yang kita dapat buat selepas serangan strok adalah mengelak strok seterusnya, yang dapat menyebabkan kerosakan lebih teruk pada otak dan kecacatan juga semakin memburuk.
  • Pastikan mereka bergerak – banyak pesakit strok tidak meninggal dunia hanya semata-mata kerana strok. Mereka meninggal dunia kerana komplikasi tidak dapat bergerak. Letakkan pesakit dalam posisi duduk dan bantu mereka menjalani fisioterapi secara tetap supaya mereka dapat bergerak dengan lebih baik.
  • Jangan lupa makan ubat – pesakit strok perlu mengambil ubat agen penipisan darah dan pengurangan kolesterol sepanjang hayat mereka. Ubat-ubat ini membantu dalam mencegah serangan strok berulang. Mereka juga perlu memantau tekanan darah dan gula secara tetap.
  • Elakkan daripada terjatuh dengan mengambil langkah berjaga-jaga – Pesakit strok mudah terjatuh. Mereka mungkin tercedera apabila itu berlaku. Kita perlu membuat perubahan di rumah bagi mengelakkan mereka terjatuh. Sekiranya insan tersayang kita jatuh lebih daripada dua kali dalam masa sebulan, dapatkan nasihat doktor bagaimana mengelak kejadian ini berlaku lagi.
  • Perhatikan sekiranya berlaku kemurungan – Banyak pesakit strok mengalami kesukaran bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas strok. Bagi seseorang yang aktif dan berdikari, dia mudah kecewa apabila dia perlu terbaring sahaja di katil dan bergantung pada orang lain selepas serangan strok. Kemurungan yang dialami oleh pesakit strok dapat menghalang proses pemulihan kerana dia hilang motivasi. Dapatkan bantuan sekiranya kita lihat sebarang perubahan pada mood atau tingkah laku mereka.
  • Dapatkan sokongan daripada orang lain dan jaga diri kita sendiri – Tekanan juga dapat memberi gangguan kepada penjaga. Dapatkan bantuan daripada ahli keluarga yang lain dan masyarakat setempat. Ambil giliran dengan penjaga lain untuk berehat. Sebagai penjaga, kita juga mempunyai hak bagi mendapat rehat yang cukup. Pastikan kita makan makanan yang seimbang, bersenam, ataupun keluar bersosial untuk kita kekal positif.

Maklumat lanjut berkenaan dengan sokongan komuniti bagi pesakit strok dan penjaga boleh didapati di:

  • NASAM (National Stroke Association of Malaysia)
  • http://www.nasam.org

Dr Nur Hidayati merupakan doktor pakar bahagian perubatan dalaman di sebuah universiti tempatan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di The Team. Artikel ini diterjemahkan oleh Faslin Syarina Salim daripada https://www.mmgazette.com/warning-in-case-of-stroke-dr-nur-hidayati/

Rujukan:

  • Malaysian CPG Management of Ischemic Stroke 2012
  • “Know Stroke. Know the Signs. Act in Time.” NINDS. January 2008
  • Evidence Based Stroke Rehabilitation Review http://www.ebrsr.com/uploads/Executive-summary-SREBR-15.pdf

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box