Tahun Akhir – Nitajul Ulfah

“Wah, bestnya dah nak habis study!! Tak sabarnya nak jadi doktor!”

 “Stressnya… banyak lagi tak tahu, tak faham. Macam mana ni nak jadi doktor?”

 “Ala, rileks la korang. Kita ada lagi banyak masa. Ni tahun last tuk kita enjoy. Sambil belajar, sambil kita enjoy la. Lepas ni, bila jadi HO dah busy.”

 

1888667_634794313268453_7538746839289542192_n      Berikut adalah sebahagian daripada pendapat, juga dilema yang dialami oleh pelajar-pelajar perubatan, terutamanya yang kini berada di tahun terakhir mereka. Bak kata orang putih, “mixed feelings”. Perasaan yang makin bercampur-baur. Antara gembira, sedih, stress, tidak mahu fikir apa-apa dan sebagainya, lagi-lagi apabila kita tahu peperiksaan yang terakhir sebagai seorang pelajar ijazah sarjana muda tinggal beberapa minggu atau bulan lagi.

Tahun akhir…

     adakah ia tanda berakhirnya zaman pembelajaran atau adakah ianya satu permulaan? Apakah kita bersedia untuk menempuhi alam yang seterusnya? Segala kemahiran juga ilmu yang dipelajari, adakah kita dapat mempraktikkannya dengan betul, kelak? Harapan yang disandarkan keluarga dan masyarakat tinggi menggunung, mampukah digalas? Bolehkah kita menghadapi segala dugaan, tohmahan yang mungkin dilemparkan kepada kita, seperti yang diceritakan dari zaman ke zaman? Itu adalah antara persoalan yang dihadapi oleh bakal-bakal doktor, terutamanya yang kini berada di tahun akhir.

       Tahun ini adalah tahun yang terakhir bagi kami pelajar tahun akhir untuk menggarap ilmu sebanyak yang mungkin di dalam kepompong yang bernama “pelajar perubatan”. Apa yang tidak cukup, perlu disempurnakan; segala yang kurang, perlu kita cari dan gilapkan. Kumpulkan sebanyak pengetahuan dan pengalaman daripada doktor dan pakar.

Ambil kesempatan…

         dengan pergi ke hospital sekerap yang mungkin. Belajar ‘clerking’ pesakit-pesakit dengan tepat dan cepat. Kemudian, rujuk kepada doktor adakah sejarah pesakit yang kita ambil itu cukup, lengkap. Setelah itu, jika doktor tersebut ada kelapangan, mungkin boleh minta mereka mengajar atau mendemonstrasikan pemeriksaan ke atas pesakit yang sudi berkerjsama. Ini adalah sangat penting buat kita, kerana kita perlu tahu bagaimana untuk membuat pemeriksaan yang betul dan mengambil sejarah pesakit yang lengkap, agar tidak tersalah menganalisa penyakit yang dihadapi pesakit nanti.

Jangan malu…

       dan jangan lupa untuk melihat prosedur yang dilakukan doktor dan pakar di bilik pembedahan mahupun di klinik pesakit luar. Dan jika anda bertuah, mungkin doktor akan memberi peluang untuk ‘assist’ beliau dalam sesuatu prosedur atau mungkin, di bilik pembedahan. Ini tidak mustahil! Ya, kawan saya pernah merasai pengalaman tersebut. Yang penting, kita tidak MALAS untuk usaha dan mencari ilmu dan tidak MALU untuk bertanya jika ada sebarang kemusykilan.

       Jangan khuatir, kebanyakan pensyarah dan doktor kita tidak akan marah jika kita mahu belajar. Jikalaupun kita dimarahi, pastinya ada sebab disebaliknya. Contohnya, jika kita tidak ingat akan perkara asas, masakan para pensyarah dan doktor kita tidak marah? Bak kata seorang doktor saya, “How do you know it’s abnormal if you don’t know the normal?” Kerap kali kami diingatkan dengan perkara ini kerana, ya, sebagai seorang pengamal perubatan kelak, jika kita tidak mengetahui benda yang normal, bagaimana kita mahu mengubati pesakit kita untuk menjadi sihat dan normal kembali?

Kumpul dan kongsi…

       ilmu tambahan daripada buku-buku perubatan, juga nota-nota daripada rakan-rakan mahupun senior-senior yang kini sedang menjadi seorang doktor pelatih atau telah selamat menjadi seorang doktor. Manfaatkan dengan sebaiknya, praktikkan dan jangan kedekut untuk kongsikan bersama rakan dan teman. Ilmu yang dikongsi akan bertambah dan ilmu yang disimpan akan hilang bila tidak digunakan. Jadi jangan lokek dan ayuh kita berkongsi. Bak kata orang, “Sharing is caring.”

image_13Jangan jadi kera sumbang & katak bawah tempurung…

          jika ada aktiviti atau program berkaitan dengan pembelajaran kita ataupun aktiviti untuk masyarakat, mungkin kita boleh cuba menggerakkan diri dan rakan-rakan untuk menyertainya. Ini bukan sahaja dapat menambahkan pengalaman dan memberi manfaat kepada kita, malahan ia boleh menjadikan suatu aktiviti untuk merehatkan minda. Jika kita menjadi salah seorang Ahli Jawatankuasa program berkaitan, kita boleh mengasah kemahiran kepimpinan mahupun kemahiran bersosial. Kemahiran insaniah atau “soft skills” ini amat penting bagi kita yang akan menjadi seorang pengamal perubatan. Ini kerana sebagai seorang doktor kelak, kita bukannya akan buat hal kita sendiri dan kita perlukan satu pasukan dan kerjasama daripada setiap peringkat.

         Oleh itu, perlu untuk kita mengetahui bagaimana untuk memimpin, dipimpin, berkerjasama dan berkomunikasi. Seperti yang saya telah katakan bidang perubatan ini bukanlah untuk mereka yang suka bekerja bersendirian, akan tetapi ia adalah suatu bidang yang memerlukan komitmen dan kerjasama yang utuh dalam setiap peringkat. Sehubungan itu, jika kita nampak peluang sebegini, jangan dilepaskan. Apatah lagi, jika tahun ini adalah tahun terakhir kita sebagai seorang pelajar perubatan.

Belajar, belajar jugak. Jangan lupa untuk rehatkan diri dan beriadah!

                     “Medicine isnt always about books, lectures, hospital & drugs. There’s more to it!”

     Tahun akhir ini juga adalah masa yang tinggal untuk kita ‘enjoy’ dan gembira dengan rakan-rakan, juga keluarga serta menghargai dan menggunakan masa yang ada untuk dihabiskan sebelum masing-masing sibuk dengan kerjaya, apatah lagi jika sudah berkeluarga. Ini bukanlah bermaksud selepas menjadi seorang doktor kita tidak boleh memanjakan diri dan berseronok. Cuma kekangan waktu itu lebih banyak, terutamanya bila kita berada di zaman menjadi seorang doktor pelatih. Tanyalah kepada rakan-rakan yang sudah pun berada di alam itu. Pastinya, tidak banyak masa yang ada. Jikalaupun ada, belum tentu sebanyak yang kita dapat semasa kita belajar di alam universiti.

     Oleh itu, manfaatkan masa yang ada dengan pelbagai aktiviti. Sama ada untuk mentelaah, beriadah mahupun bersuka-ria. Seperti yang ayah dan ibu saya selalu pesan kepada saya, “Masa belajar, belajar sungguh-sungguh. Masa main, main sungguh-sungguh. Buat kerja sungguh-sungguh. Dan jangan suka tangguh-tangguh.” Macam pantun pula kan? Jangan khuatir, jika kita pandai membahagikan masa kita, tidak ada masalah untuk kita belajar sambil berseronok. Yang penting, kita tahu matlamat kita dan apa yang patut diberikan keutamaan, apa yang tidak.

Akhir kata…

        jangan lepaskan peluang keemasan untuk memanfaatkan detik-detik terakhir sebagai seorang pelajar. Mungkin kita rasa tidak sabar untuk menghabiskan pengajian ini. Tetapi ketahuilah, sehabisnya kita di alam pembelajaran, kita akan melangkah ke alam realiti, di mana kita akan merindui zaman ketika belajar tatkala ini. Dan masa yang kita ada kini tidak mungkin boleh diputar kembali. Oleh itu, mari kita menggunakan masa ini sebaiknya sebagai seorang pelajar perubatan menyiapkan diri untuk menghadapi alam yang seterusnya sambil melakarkan memori indah bersama rakan seperjuangan dan mereka yang sentiasa ada di sisi kita. Selamat maju jaya!

“Pembelajaran yang sebenar bermula selepas kita melangkah daripada alam universiti. Alam universiti hanyalah alam di mana kita mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Dan kita tidak akan pernah berhenti belajar sehingga kita menghebuskan nafas yang terakhir.”

Kepada sahabat dan rakan seperjuangan saya, terutamanya di Universiti Mansoura, Mesir:

   All the best to us! Never give up, cause we’re almost there. Let’s do it & graduate with flying colours!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box