Seringkali dalam tugasan harian saya sebagai pegawai perubatan di klinik kerajaan, masih ada pesakit yang tidak tahu jenis ubat yang mereka makan malah ada yang tidak tahu penyakit yang dihidapi diri sendiri! Masih ada di kalangan pesakit tidak pasti atau tidak dapat mengecam nama ubat yang mereka telah ambil bertahun tahun. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada bentuk rupa, saiz dan warna sesuatu ubat. Apabila ditanya, respon yang sering diberi ‘bewarna putih’ , ‘berbentuk bulat’ dan sebagainya. Tabiat ini mungkin tidak menjadi satu masalah sekiranya ubat ubatan tersebut merupakan ubat yang biasa digunapakai di klinik – klinik di negara kita seperti ubat demam ‘paracetamol’ atau tersohor dengan panggilan ‘ubat KK’ atau ‘ PCM’. Harus diingatkan ia juga mampu mengancam nyawa anda sekiranya anda gagal mengenal pasti ubat yang anda alah atau allergik.
Ubat generik atau Ubat berjenama?
Sesuatu ubat itu boleh dikeluarkan sebagai ubat generik atau ubat berjenama. Kandungan ubat tetap sama dan menghasilkan kesan yang sama. Maksudnya, sesejenis ubat itu boleh datang dalam pelbagai bentuk dan warna berdasarkan kategori ubat yang disebutkan tadi. Malah bagi kategori ubat berjenama yang sama, kandungan atau dos untuk setiap biji boleh jadi berbeza. Di klinik saya bertugas, ubat berjenama yang sering diguna, contohnya ubat darah tinggi jenama Norvasc (amlodipine) terdapat dalam 2 dos iaitu 5mg dan 10mg terkandung dalam setiap satu biji. Di klinik kerajaan yang lain pula ada yang menggunakan ubat generik Vamlo 5mg (amlodipine) bagi kegunaan yang sama. Manakala kebanyakkan klinik-klinik swasta pula lebih cenderung kepada penggunaan ubat ubat berjenama, termasuk kedai-kedai farmasi ubat.
Pengetahuan tentang ubat generik dan berjenama ini mampu mengelakkan kekeliruan pengambilan ubat ubatan. Ada di antara pesakit kes kronik saya sendiri yang sebelumnya sering mendapat ubat berjenama berasa bimbang untuk memakan ubat apabila dibekalkan ubat generik pada lawatan klinik pada masa lain. Mereka merujuk kepada kotak ubat yang berbeza dari kebiasaan yang dibekalkan dan khuatir telah berlaku kesilapan pemberian ubat.
Nak makan 1 biji ke 2 biji ?
Ubatan yang dari jenis yang sama juga boleh berbeza dari segi dos. Maksudnya, dos atau kuantiti yang terkandung dalam setiap satu pil atau biji ubat akan menentukan berapa biji yang perlu dimakan setiap kali ubat diambil. Contohnya ubat darah tinggi jenis “Norvasc” boleh didapati dengan dos 5mg dan 10mg setiap satu.
Cuba kita renungkan situasi di bawah ;
Encik Ahmad yang menghidap darah tinggi telah diarahkan untuk mengambil dos ubat Norvasc sebanyak 10mg sehari.
Jika beliau diberi dos Norvasc 5mg dari kaunter farmasi, berapa biji Norvasc yang harus ditelan?
Sekiranya ubat Norvasc yang dibekalkan adalah NOrvasc 10mg , berapa biji pula nak di makan?
Ya. Jawapannya mudah. Encik Ahmad perlu makan 2 biji sekaligus jika dibekalkan Norvasc 5mg manakala hanya 1 biji sahaja bagi Norvasc 10mg. Begitulah juga sebaliknya sekiranya beliau diarahkan untuk mengambil Norvasc 5mg sehari di mana hanya perlu makan setengah dari ubat Norvasc 10mg yang telah dipotong kepada dua bahagian . Ada pesakit beranggapan dos ubat darah tinggi mereka telah dikurangkan kepada separuh!
Kenali Ubat Anda
Kepekaan anda tentang apa ubat yang anda makan membantu anda menguruskan penyakit dengan lebih baik dan efektif . Ianya juga dapat mengelakkan pengambilan ubat secara berlebihan atau tidak optima.
Di antara perkara asas anda perlu tahu tentang ubat anda :
- Nama
- Kegunaan
- Jumlah dos perlu diambil dan kekerapan & tempoh pengambilan ubat
- Cara penggunaan
- Cara penyimpanan
- Kesan sampingan ubat & amaran khas berkaitan ubat
- Tarikh luput
Anda boleh merujuk kepada label ubat dan panduan penggunaan ubat jika disertakan bersama dan merujuk lebih lanjut kepada pegawai farmasi atau pegawai perubatan yang merawat anda. Perkhidmatan atas talian juga disediakan oleh Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan dan anda juga boleh menghubungi talian bebas tol ‘ Kenali Ubat Anda ‘ di 1-800-88-6722
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan:
- 1. http://www.knowyourmedicine.gov.my/index.cfm?&menuid=74&parentid=6&lang=BM
- 2. www.pharmacy.gov.my
Antara satu perkara yang tidak kurang pentingnya ialah sentiasa melihat pada label ubat.
Pengalaman saya dulu ketika nefrotik sindrom, saya dibekalkan oleh doktor prednisolone 10 biji
(tak silap saya sebiji 5mg), dan frusimide 1 biji.
Oleh kerana terlalu yakin, saya tidak membaca label ubat, saya telah makan frusimide 10 biji.
Bayangkan bagaimana galaknya saya kencing. Sampai cengkung muka, tangan dan kaki sampai cramp.
Kejadian yang hampir meragut nyawa saya.
Same goes to prescribing medication to elderly..what I worry when explaining to the the dose n frequency is that they mix it up.. it would be better if they come with their children or caretaker..atleast we can remind them of the dose n frequency..I wouldnt want that uncle / grandma to be overdosing aspirin or metformin…
Terima kasih doktor atas perkongsian artikel ini. Pada pemerhatian saya masih ramai medical practitioner/ahli farmasi yg tidak memaklumkan kpd pesakit berkaitan ubat yg dipriskripsikan kpd pesakit. Kerap kali sy terpaksa bertanya berkaitan ubat yg diberikan. Kdg label berkaitan juga tertutup dgn stiker nama pesakit. Adalah amat penting pd sy doktor menerangkan serba sedikit ubat yg diberikan. Tq