Jika diimbas semula kunjungan anda ke kedai makan atau kafe untuk makan malam pasti anda menyedari kebanyakan keluarga dengan anak-anak kecil memegang tablet PC dan bukan barang permainan berwarna-warni yang sinonim dengan bayi dan kanak-kanak kecil.
Pengenalan iPad pada 2010 oleh Apple melambangkan pencapaian besar dalam sejarah pembangunan komputer tablet dan melahirkan budaya baru dalam era tersebut. Sejak itu, komputer tablet menjadi kategori baru peranti mudah alih yang lebih berkuasa dari laptop PC atau notebook dari segi kemudahalihan dan fungsi. Baru-baru ini, saingan Apple turut mengambil perhatian pengguna dengan menyempurnakan perincian-perincian kecil yang mungkin penting bergantung pada pendapat pengguna secara individu. Hakikat perlu diterima bahawa komputer tablet dan manusia sukar dipisahkan walau untuk kerja atau riadah kerana ianya membawa pelbagai kemudahan.
Bagaimana pula dengan kanak-kanak dan komputer tablet? Baru-baru ini terdapat kebimbangan bahaya akan pendedahan awal kanak-kanak (sebelum umur 2 tahun) kepada komputer tablet dan peralatan elektronik lain, misalnya telefon bimbit pintar. Membenarkan komputer tablet di meja makan sebagai penenang untuk kanak-kanak atau menghalang mereka merayau menjadi pelangsung hidup ibu bapa.
“Saya tak berhasrat untuk beri mereka iPad di meja makan tapi itu saja yang membantu melekakan anak-anak untuk makan dengan aman di restoran”. Kenyataan ini bukan mengecam ibu bapa tetapi meletakkan realiti dalam perspektif.
Sebuah kajian terbaru tentang tablet dan kanak-kanak menunjukkan jumlah kanak-kanak menggunakan peranti skrin sentuh telah meningkat sejak dua tahun lepas, laporan menganggarkan 40% kanak-kanak bawah umur 2 tahun dan hampir 75% kanak-kanak bawah umur 8 tahun menggunakannya. Oleh sebab teknologi ini sangat baru dan penyelidik tidak dapat menentukan bahaya peranti-peranti ini terhadap kanak-kanak, para doktor sangat bimbang akan kesihatan dan perkembangan kemahiran sosial mereka. Ketagihan kanak-kanak kepada komputer tablet boleh menjadi seperti ketagihan orang dewasa terhadap permainan komputer yang memudaratkan diri seperti mengabaikan tanggungjawab sosial dan kesihatan badan.
Benar, terdapat komponen pendidikan pada penggunaan komputer tablet di antara kanak-kanak dan berpotensi menjadi alat pendidikan utama di sekolah pada masa depan. Mungkin sudah tiba masanya untuk sedar teknologi dan peranti dicipta untuk membantu kehidupan seharian tapi terdapat batas kepada setiap institusi yang tidak dapat diselesaikan atau digantikan. Misalnya hubungan manusia dan kemahiran komunikasi perlukan interaksi secara langsung bukannya dengan hanya menekan skrin. American Academy of Pediatric menyarankan ibu bapa membuat kawasan “bebas skrin” di rumah dan mengehadkan penggunaan media hiburan oleh kanak-kanak dan remaja tidak lebih dari satu atau dua jam sehari. Kanak-kanak perlu meluangkan masa bermutu bermain di luar dan hobi serta berupaya menggunakan imaginasi dalam permainan bebas.
Walaupun terkini, tiada siapa mempunyai pemahaman saintifik sah akan masa depan generasi yang dibesarkan dengan peranti mudah alih. Oleh itu, penggunaan tablet komputer dan peranti seumpamanya perlu diawasi ibu bapa.
Dr Sharon doktor perubatan dan seorang pentadbir kesihatan yang kini bertugas di Sabah. Artikel ini diterjemah oleh Nadhirah daripada https://www.mmgazette.com/teddy-bear-or-tablet-pc-dr-sharon-s-t-lim/
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan:
- http://www.aap.org/en-us/advocacy-and-policy/aap-health-initiatives/pages/media-and-children.aspx
- http://baltimore.cbslocal.com/2013/11/14/red-flag-doctors-warn-tablets-can-actually-hurt-a-toddlers-developing-body/