Telinga Sakit Ketika dalam Penerbangan- Dr Ahmad Nordin

Sumber: standardfirstaidtraining.com

Sumber: standardfirstaidtraining.com

Kebanyakan di antara kita ada rasa pelik di dalam telinga sewaktu menaiki kapal terbang. Ada yang kurang pendengaran, ada yang merasa telinga berbunyi ‘pop’ dan malangnya ada yang merasai kesakitan yang amat perit. Saya sendiri pernah mengalami keadaan ini. Saya merasakan seakan sebatang pensil yang tajam menusuk gegendang telinga saya sepanjang penerbangan selama 90 minit!

Anatomi telinga: hidung besambung dengan telinga melalui salur kecil dipanggil tiub Eustachian. Dengan mengunyah, menguap, menelan atau meniup belon- secara otomatik kita menyelaraskan tekanan dalam tiub ini dengan tekanan udara persekitaran. Jika tekanan tidak sama- seseorang itu akan kurang pendengaran, berdesing telinga (‘tinnitus’ : https://www.mmgazette.com/tinnitus-apa-rahsia-di-sebalik-bunyi-desingan-telinga-dr-ahmad-nordin/)  dan kadangkala sakit.

Kita akan merasa perbezaan tekanan semasa menaiki altitud tinggi atau turun menyelam. Kita juga perlu menyamakan tekanan ketika sedang selsema. Penyakit seperti lelangit bercelah (cleft palate) atau kanser nasofarinks (https://www.mmgazette.com/nasopharyngeal-carcinoma-east-malaysian-perspective-dr-ahmad-nordin/) akan mengganggu fungsi tiub Eustachian tersebut.

Bagaimanakah kita boleh mengurangkan rasa tidak boleh mengimbangi tekanan telinga semasa penerbangan?

  1. Jangan tidur semasa kapal terbang berlepas atau mendarat. Perbezaan tekanan paling ketara semasa 2 masa tersebut.
  2. Kunyah atau telan sesuatu semasa penerbangan, seperti gula-gula atau ‘chewing gum’. Menguap juga berkesan, terutamanya jika anda diiringi oleh rakan yang menjengkelkan anda.
  3. Minum banyak cecair, sebaiknya air mineral. Ia menggalakkan anda menelan & menghidratkan anda. Udara dalam kabin adalah kering, maka ia mengeringkan cecair hidung & menyumbat tiub Eustachian.
  4. Guna teknik ‘vasalva’, seakan meneran. Anda perlu menutup hidung dan mulut dan hembuskan nafas dengan kuat. Jangan meniup terlalu kuat kerana ia boleh merosakkan gegendang telinga & tiub Eustachian.           .
  5.  Guna ubat ‘decongestant’. Ia sepatutnya diperolehi dari doctor, sebaiknya dari bidang ENT, kerana tempoh maksima penggunaan ialah 5 hari.
  6. Tunda penerbangan anda jika anda menghidapi  selsema (‘upper respiratory tract infection’).

Bagaimana dengan kanak-kanak?

JIka kanak-kanak tersebut boleh mematuhi arahan, kaedah seperti di atas boleh digunakan. Yang lain boleh mengikut kaedah tersenarai di bawah:

  1.  Pilih masa minum & makan supaya serentak dengan masa berlepas & mendarat
  2.  Jika mereka enggan, mereka perlu mengunyah atau menghisap sesuatu.
    • Bayi & anak kecil boleh menyusu badan, menyusu botol atau menghisap puting getah (‘pacifier’).
    • Kanak yang lebih besar boleh diberi gula-gula. Perlu diawasi juga apabila kanak-kanak diberi gula, kerana mereka mungkin menjadi terlampau aktif jika tahap gula badan tinggi. Ini kadangkala boleh memalukan ibubapa jika anak mereka tidak bersopan, seperti yang pernah saya alami sendiri sebelum ini.
    • Ambil ubat penahan sakit seperti paracetamol setengah jam sebelum berlepas jika mereka sedang mengalami selsema

Ada penulis menyarankan penggunaan ubat titik telinga untuk memberi rasa kebas di gegendang telinga. Tetapi, tiada ubat titik sebegitu di klinik doktor biasa, yang ada ialah ubat sapu tetapi tidak boleh diaplikasi tanpa alat sesuai yang biasanya ada di klinik ENT.

Ada pula laman sesawang yang menyarankan penyumbat telinga. Tetapi agak sukar mencari jenis yang sesuai untuk yang muat dengan sempurna di dalam telinga dan ia lebih mahal dan kurang efektif & selesa berbanding dengan kaedah di atas.

Diharap anda & anak anda boleh terbang tanpa sebarang kesakitan. Terbang tanpa sebarang bayaran adalah topik yang berbeza.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. 

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box