Amat menyedihkan apabila di era Google/Whatsapp/Wechat/
Si A santau Si B kerana dengki dengan kejelitaan anak gadisnya
Si B santau Si C kerana tak suka dengannya yang digemari ramai umat sebab kemanisan mulutnya dalam berkata-kata
Si D pula santau Si E kerana mahu merampas suaminya.
Saling tuduh menuduh antara satu sama lain hingga menyebabkan si penderita bertambah derita dan hubungan ukhwah semakin renggang. Dengan erti kata lain, sakit pun dapat, musuh pun bertambah.
Pergi pula jumpa bomoh/dukun yang jejak saja kaki di lantai rumahnya ‘Atok tahu apa tujuan kamu datang nakkkk’
Ataupun ‘Nyah kau syaiton durjana dari tubuh anak adam itu.!’ saat belum sempat beri muqadimah tujuan datang mendapatkan rawatan lagi pun.
Suami pernah bagitahu bagaimana datang referral ke hospitalnya dengan keadaan pesakit dah semakin tenat dan meninggal dunia di jabatan kecemasan.
Mungkin ramai yang tidak tahu atau ramai yang tahu tetapi kurang peka dengan cara transmisi penyakit ini serta tahap keterukan penyakit ini.
Tibi yang sering terjadi dan menyerang paru-paru dikenali sebagai Pulmonary Tuberculosis.
Penyakit ini disebabkan oleh bakteria ‘Mycobacterium Tuberculosis’ yang boleh tersebar melalui titisan/udara. Bakteria ini juga boleh menyerang organ lain seperti selaput otak, kelenjar leher, tulang, buah pinggang dan lain-lain. Pesakit tibi yang menderita penyakit ini akan menyebarkan berjuta-juta bakteria tibi di udara melalui bersin atau batuk. Penyakit tibi yang tidak dirawat akan membawa maut.
Mereka yang mempunyai risiko diserang tibi;
Bayi / kanak-kanak serta orang tua.
- Mereka yang dijangkiti virus HIV atau menghidapi AIDS
- Mereka yang mendampingi/tinggal dengan pesakit tibi.
- Rakyat asing daripada negara yang mempunyai kadar jangkitan tibi yang tinggi.
- Mereka yang kekurangan zat dan vitamin.
- Pesakit yang mengambil rawatan steroid atau rawatan yang merendahkan tahap daya ketahanan badan seperti pesakit yang telah menjalankan pemindahan organ atau pesakit Systematic Lupus Erythemotosus SLE/rheumatoid.
- Pesakit yang sedang mengambil rawatan kemoterapi.
Semakin rendah daya ketahanan tubuh, semakin tinggi risiko jangkitan tibi boleh berlaku.
Kebiasaannya mereka yang diserang tibi mempunyai tanda-tanda seperti;
● Batuk yang berterusan lebih daripada 2 minggu.
● Kahak yang mungkin mengandungi darah.
● Demam dan berpeluh terutamanya di sebelah petang dan malam.
● Susut berat badan dan hilang selera makan secara tiba-tiba.
● Mengalami sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang.
● Mudah letih.
Di Hospital/klinik, tibi dikesan melalui ;
Pengambilan spesimen kahak pesakit dan ujian di bawak mikroskop dilakukan untuk menguji kehadiran bacteria.🛇 Imbasan Xray, dimana akan kelihatan tompok putih petanda terdapat jangkitan tibi pada paru-paru.🛇 Mantoux test, dimana ujian tuberkulin dilakukan dengan mencucuk sedikit protein tuberkulin di bawah kulit pesakit kemudian bacaan reaksi kulit terhadap protein itu dilakukan selepas 3hari suntikan diberi. Bacaan negatif akan diberi jika tidak kelihatan ‘lepuhan’ pada kulit manakala lepuhan yang terhasil lebih dari 10cm akan diberikan bacaan positif.
Langkah-langkah pencegahan tibi ;
✔ Imunisasi BCG yang diberikan secara percuma di semua hospital dan pusat kesihatan kerajaan untuk semua orang yang berumur 20 tahun ke bawah yang belum lagi mendapat suntikan BCG ataupun warga asing yang baru tiba kenegara kita.
✔ Bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberikan suntikan BCG. Dapatkan suntikan dos ke 2 sekiranya tiada bekas parut pada umur 12 tahun.
✔ Kontek langsung pesakit tibi iaitu ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dalam tempoh yang lama hendaklah membuat pemeriksaan di klinik atau di hospital kerajaan.
** Rawatan yang diberikan oleh Pegawai Perubatan biasanya dalam tempoh rawatan sekurang-kurangnya 6 bulan. Jenis ubat-ubatan bagi tibi adalah Steptomycin, Rifamicin, Ethambutol dan Isoniazide Pyrazinamide.
** Jika anda mengalami TIBI, doktor akan membuat preskripsi rawatan yang perlu. Pastikan anda mematuhi rawatan tersebut secara tetap sehingga selesai. Ini boleh menyembuhkan anda dan juga mencegah anda daripada menyebarkan penyakit ini kepada keluarga anda dan orang lain yang berhubung rapat dengan anda.
- Rawatan tibi selalunya mengambil masa selama 6 bulan.
Ia meliputi rawatan harian selama 2 bulan dengan 4 jenis ubat diambil setiap hari dibawah penyeliaan anggota kesihatan yang dilantik. - Diikuti pula dengan rawatan yang dilakukan 2 kali seminggu selama 4 bulan (biasanya 3 jenis ubat diambil, di bawah penyeliaan klinik dada/klinik kesihatan terpilih).
* Jika rawatan ini diikuti secara tetap oleh pesakit berkenaan, kemungkinan untuk sembuh adalah besar.
Harus Diingat!!
- Penyakit tibi tidak boleh berjangkit melalui makanan dan minuman.
- Penyakit tibi bukan sejenis penyakit keturunan.
- Pesakit tibi yang telah menerima rawatan lebih dari 2 minggu, tidak lagi menjangkiti kepada orang lain.
Antara langkah awal mencegah rebakan tibi adalah;
- Biarkan rumah dimasuki cahaya matahari sebanyak yang boleh kerana cahaya matahari boleh membunuh kuman tibi yang terapung di dalam udara dan berlindung di sudut dan penjuru rumah.
- Buka semua tingkap selebar-lebar mumgkin bagi mencegah tibi dari merebak.
- Amalkan cara hidup yang sihat dan makanlah makanan yang seimbang supaya badan anda boleh menentang kuman tibi.
- Elakkan dari bersesak-sesak di dalam rumah terutama warganegara asing yang bekerja di negara ini. Rebakan tibi akan menjadi lebih tinggi.
24 Mac setiap tahun merupakan ‘ Hari Tibi Sedunia’ seperti yang ditetapkan oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia). Tarikh ini diambil sempena penemuan kuman tibi oleh Dr Robert Kosh di Berlin pada 24 mac 1882. Ia disambut bagi memberi kesedaran tentang penyakit tibi yang boleh membawa maut jika tiada rawatan awal diambil.
# # # # # # # # # # # # # # # # #
Maka dengan ini dapat diberitahu bahawa, tibi bukan boleh dikesan begitu sahaja tanpa melalui proses screening yang ditetapkan.
Berjumpa dengan bomoh bukan salah satu cara untuk membenarkan fakta santau anda, silap-silap anda menyebarkan tibi kepada beliau.
Bukan semua penyakit yang anda hidapi adalah dari dengki khianat manusia melainkan dengki khianat kuman/bakteria yang mengakibatkan sistem pertahanan tubuh semakin menurun.
Sumber serta terperinci tentang TIBI boleh didapati di;
https://www.cdc.gov/tb/
Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah
Jururawat Terlatih Dewan Bedah Hospital Banting
Sedang mengikuti pengajian jarak jauh dalam ijazah kejururawatan
Ahli Medical Mythbusters Malaysia
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]