Tingkatkan Kepatuhan Kepada Ubat-Ubatan Antituberkulosis – Mohammad Shah Rizal Ahmad Shahari Budin (Pegawai Farmasi)

Penyakit tuberkulosis atau tibi masih menjadi salah satu beban penyakit utama di Malaysia. Statistik penyakit tibi yang direkodkan pada tahun 2023 ialah 80.2 kes setiap 100,000 populasi. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 5.47% berbanding tahun sebelumnya. Menurut kenyataan media Menteri Kesihatan sempena Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan, statistik ini menunjukkan bahawa kes tibi perlu ditangani secara menyeluruh meliputi pengesanan, rawatan dan pencegahan yang efektif.

Apakah itu tibi?

Tibi merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis (M.tuberculosis). Tibi disebarkan melalui udara dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang terdedah kepada bakteria tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa kumpulan individu yang lebih berisiko untuk dijangkiti dan menghidap tibi, seperti:

  1. penghidap HIV
  2. penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan
  3. individu yang mempunyai sistem imuniti tubuh yang lemah seperti pesakit yang mengambil ubat-ubatan kemoterapi atau steroid, individu yang malnutrisi atau pesakit diabetes
  4. individu yang menjalani pemindahan organ dan mengambil ubat untuk mengelakkan penolakan organ baharu (anti-rejection medicines)
  5. bayi dan kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah

Seseorang individu boleh dijangkiti bakteria M.tuberculosis namun masih belum menunjukkan sebarang gejala. Keadaan ini digelar sebagai jangkitan tibi laten. Apabila keadaan imun individu yang mempunyai jangkitan laten ini terjejas, gejala-gejala utama akan mula muncul dan kini jangkitan tersebut dikenali sebagai tibi aktif. Antara gejala jangkitan tibi aktif termasuklah batuk yang berterusan melebihi 2 minggu, batuk berdarah, berpeluh pada waktu malam dan penurunan berat badan secara mendadak.

Rawatan untuk tibi

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan beberapa regimen rawatan untuk pesakit tibi. Setiap regimen adalah berbeza dari segi tempoh pengambilannya. Dos bagi setiap ubat antituberkulosis pula bergantung kepada berat badan dan usia pesakit.

Regimen ubat-ubatan antituberkulosis bagi rawatan tibi aktif yang disarankan ialah:

  1. Fasa intensif: ethambutol, isoniazid, rifampicin dan pyrazinamide selama 2 bulan dan diikuti oleh
  2. Fasa sambungan: isoniazid dan rifampicin selama 4 bulan

Ubat-ubatan antituberkulosis ialah ubat daripada kumpulan antibiotik. Setiap ubat tersebut mempunyai mekanisme tindakan, cara pengambilan dan juga kesan sampingan yang berbeza.

  • Isoniazid

Ubat ini perlu diambil sewaktu perut kosong (1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan). Antara kesan sampingan yang biasa dihadapi oleh pesakit ialah letih dan mual. Isoniazid juga mungkin menyebabkan tangan dan kaki menjadi kebas. Oleh sebab itu, pesakit akan turut dibekalkan dengan ubat pyridoxine (vitamin B6) bagi menangani kesan sampingan ini.

  • Rifampicin

Ubat ini perlu diambil sewaktu perut kosong dengan segelas penuh air. Kesan sampingan ubat ini termasuklah menyebabkan air liur, peluh, air mata dan air kencing bertukar menjadi jingga kemerahan. Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini tidak berbahaya dan hanya berlaku secara sementara sepanjang pesakit mengambil ubat rifampicin.

  • Ethambutol

 

 Ubat ini boleh diambil bersama-sama makanan bagi mengurangkan kesan sampingan kepada perut. Jika terdapat kesan sampingan serius seperti gangguan penglihatan yang mengganggu urusan harian, pesakit hendaklah segera berjumpa doktor.

  • Pyrazinamide

 

Ubat ini perlu diambil bersama-sama atau sejurus selepas makan. Antara kesan sampingan yang mungkin terjadi adalah letih, mual, ruam dan sakit sendi.

Terdapat juga kombinasi keempat-empat ubat antituberkulosis yang diformulasikan menjadi sebiji tablet. Kombinasi ini dikenali sebagai Fixed-Dose Combination (FDC) dan lazimnya diberikan untuk fasa rawatan intensif. Tablet FDC bertujuan untuk mengurangkan jumlah ubat yang perlu diambil, sekali gus  meningkatkan kepatuhan pesakit.

 

Kepentingan untuk kekal patuh kepada pengambilan ubat-ubatan antituberkulosis

Kesan sampingan ubat antituberkulosis juga dikenal pasti sebagai salah satu faktor ketidakpatuhan pesakit. Pesakit dinasihatkan untuk sentiasa berkomunikasi dengan doktor atau ahli farmasi jika terdapat kesan sampingan yang mengganggu rutin harian. Pengubahsuaian regimen ubat-ubatan dapat dilakukan agar pesakit dapat meneruskan keseluruhan tempoh rawatan. Keberkesanan rawatan tibi tidak hanya bergantung pada pesakit. Sokongan daripada ahli keluarga dan individu di sekeliling adalah penting untuk memastikan pesakit kekal patuh terhadap ubat-ubatan.

Kepatuhan kepada ubat-ubatan antituberkulosis adalah penting bagi memastikan pesakit sembuh sepenuhnya. Pesakit yang tidak mengambil ubat-ubatan seperti yang diarahkan berisiko untuk mengalami masalah kerintangan ubat antituberkulosis. Kerintangan ubat antituberkulosis merupakan keadaan apabila ubat-ubatan yang telah diberikan kepada pesakit tidak lagi berkesan untuk menghapuskan bakteria M.tuberculosis.

Akibatnya, proses penyembuhan terjejas dan menyebabkan pesakit perlu mengambil rawatan untuk tempoh yang lebih panjang ataupun diberikan ubat jenis lain yang mungkin lebih mahal serta sukar diperoleh. Tambah membimbangkan, ketidakpatuhan pesakit berisiko mengakibatkan kerintangan bakteria M.tuberculosis kepada beberapa jenis antituberkulosis yang dikenali sebagai multidrug resistance tuberculosis(MDR-TB).

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh KKM untuk meningkatkan tahap kepatuhan pesakit adalah dengan kaedah pemantauan langsung (DOT). Kaedah ini melibatkan pengambilan ubat tibi yang dipantau secara harian oleh anggota KKM atau ahli keluarga yang terlatih sepanjang tempoh rawatan intensif.

Nasihat untuk pesakit

Seorang pesakit tibi yang tidak dirawat boleh menularkan penyakit ini kepada 10 hingga 15 individu lain dalam masa 1 tahun. Sekiranya telah disahkan menghidap tibi, pesakit hendaklah sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin yang selamat seperti menutup mulut semasa batuk atau bersin. Selepas batuk atau bersin, pesakit harus mencuci tangan dengan sabun dan air hingga bersih. Pesakit juga disarankan untuk memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko menjangkiti orang lain. Elakkan juga daripada berkunjung ke tempat yang sesak dan menjadi tumpuan ramai.

Pesakit tidak seharusnya menghentikan pengambilan ubat-ubatan tanpa arahan doktor walaupun sudah berasa sihat selepas beberapa minggu menjalani rawatan. Ketidakpatuhan pesakit dapat meningkatkan risiko MDR-TB dan menyukarkan rawatan pada masa akan datang.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

Disediakan oleh Encik Mohammad Shah Rizal bin Ahmad Shahari Budin (Pegawai Farmasi UF13, Hospital Batu Gajah) & Puan Ng Wei Yee (Pegawai Farmasi UF12, Klinik Kesihatan Apin-Apin, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

RUJUKAN

  1. Ministry of Health Malaysia. Management of Tuberculosis (Fourth Edition). Malaysian Health Technology Assessment Section (MaHTAS); 2021. Available from:

https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/CPG/Respiratory/CPG-_Management_of_Tuberculosis_(4th_Edition).pdf

  1. Centers for Disease Control and Prevention. Tuberculosis (TB) – Risk Factors. [Internet]. 2023 [cited 2025 Jan 25]. Available from: https://www.cdc.gov/tb/risk-factors/index.html
  1. Ministry of Health Malaysia. Jangkitan TB Laten [infographic]. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia; 2023 [cited 2025 Jan 25]. Available from: https://infosihat.moh.gov.my/images/media_sihat/infografik/jpeg/JANG       KITAN%20TB%20LATEN.jpg
  1. Mayo Clinic. Tuberculosis (TB) – Symptoms and causes. Mayo Clinic; [Internet] [cited 2025 Jan 25]. Available from:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/tuberculosis/symptoms-causes/syc-20351250

  1. com. Isoniazid. [Internet] [cited 2025 Jan 25]. Available from: https://www.drugs.com/mtm/isoniazid.html
  1. com. Rifampin. [Internet] [cited 2025 Jan 25]. Available from: https://www.drugs.com/mtm/rifampin.html
  1. com. Ethambutol. [Internet] [cited 2025 Jan 25]. Available from: https://www.drugs.com/mtm/ethambutol.html
  1. Pyrazinamide [patient medicine]. [Internet] [cited 2025 Jan 25]. Available from:

https://www.mims.com/malaysia/drug/info/pyrazinamide/patientmedicine/pyrazinamide-oral

  1. Ministry of Health Malaysia. Garis Panduan Kawalan Pencegahan Tibi Dalam Kalangan Ibu Mengandung. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia. Available from:

https://moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/UMUM%20(KKM)/Garis_Panduan_Kawalan_pencegahan_Tibi_dalam_Kalangan_Ibu_Mengandung.pdf

  1. Ministry of Health Malaysia. Modul Tibi Kusta [booklet]. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia. Available from:

https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Garis%20Panduan/Garis%20Panduan%20Umum(KKM)/modul_TibiKusta_booklet.pdf

  1. Ministry of Health Malaysia. Influenza [poster]. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia. Available from:

https://infosihat.moh.gov.my/images/media_sihat/poster/images/Influenza/Poster-06.jpg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box