Ibu saya baru didiagnos menghidap kencing manis pada awal tahun ini. Sebagai seorang Jururawat dan suami merupakan seorang Penolong Pegawai Perubatan, saya dan suami akan kerap ‘membebel’ kepada ibu saya tentang kepentingan pengambilan ubatan mengikut jadual yang betul. Lebih-lebih lagi ibu saya merupakan seorang yang gemar minum air teh tarik dengan menggunakan susu krim pekat manis. 1 tin susu pekat manis di rumah akan bertahan selama hanya 3 hari untuk 1 tin.
Pesakit kencing manis sebenarnya memerlukan penjagaan rapi bukan sahaja dari segi pemakanan tetapi juga jagaan kaki bilamana kawasan tersebut mudah luka dan lukanya akan mengambil masa untuk sembuh.
Pesakit kencing manis juga perlu mengawal kandungan gula dalam badan kerana ia boleh merosakkan sistem saraf terutama di bahagian kaki. Apabila sistem saraf rosak, aliran darah terganggu. Ini akan mengakibatkan anda kurang atau tidak merasa sebarang kesakitan, kepanasan malah anda sendiri tidak perasan apabila perkara ini berlaku.
Kerosakan saluran darah di kaki pula akan menghalang pengaliran darah yang sempurna lalu menghalang bekalan oksigen dan zat-zat yang terkandung di dalam darah dari sampai ke kaki. Tanpa pengaliran darah yang baik, luka di kaki anda lambat atau juga mungkin tidak akan sembuh.
Luka yang tidak dirawat dengan baik pula, berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan. Ini menyebabkan tisu-tisu di kaki akan mati (gangrene), dan jika ia lewat dirawat, ia akan semakin merebak, maka kaki anda perlu dipotong bagi menyelamatkan nyawa anda.
Berikut merupakan beberapa tips penjagaan kaki pesakit kencing manis
- Membuat pemeriksaan kaki setiap hari bagi memerhati jika terdapat kesan cakar, bisul, bengkak, rekahan atau luka yang terjadi tanpa sedar. Jika ada, rawat dengan segera.
- Salah satu cara memeriksa tapak kaki adalah dengan menggunakan cermin. Caranya dengan meletakkan cermin di lantai dan lihat sekiranya ada luka di bahagian tapak kaki.(Cara ini sesuai bagi mereka yang berbadan besar dan capaian perlihatan adalah terbatas)
- Jaga kebersihan kaki terutamanya dicelah jari-jari kaki. Pastikan tiada kudis dan tidak sentiasa basah. Anda perlu membersihkan kawasan itu bagi mengelakkan kuman berkumpul.
- Gunakan sabun pembersih yang tidak berasid bagi mengurangkan hakisan pada kulit.
- Semasa membersihkan kaki, seeloknya gunakan air suam dan lap dengan tuala yang kering dan bersih dengan lembut. Elakkan memberus kaki menggunakan berus yang kasar.
- Elakkan kulit kaki dari menjadi kering dan kasar. Gunakan pelembap atau losyen yang bersesuaian. Ini kerana, apabila kulit menjadi kering, anda akan cenderung untuk menggaru dan ini akan menyebabkan kulit kaki menjadi luka. Tetapi elakkan penyapu losyen di celah-celah jari kaki kerana ia akan melembabkan kulit dan menyebabkan risiko jangkitan kuman.
- Anda perlu berhati-hati semasa memotong kuku. Seeloknya,minta pertolongan ahli keluarga atau mereka yang tidak mempunyai masalah penglihatan bagi mengelakkan tersalah potong. Semasa memotong kuku, pastikan potong mengikut bentuk kuku. Jangan memotong di sudut kuku kerana ia akan mengakibatkan cekam atau kuku tumbuh di dalam kulit.
- Anda perlu sentiasa memakai sarung kaki/kasut/selipar walaupun berada di dalam rumah. Ini bagi mengelakkan benda tajam yang berada di lantai akan menyebabkan tapak kaki anda terluka. Carilah stoking dan kasut yang tidak terlalu ketat yang boleh memberi keselesaan pada kaki anda.
- Berhati-hati bermain dengan haiwan peliharaan seperti kucing adakalanya akan mencakar apabila kita terpijak ekor atau semasa memegang mereka. Kesan cakaran ini akan mengambil masa lama untuk sembuh.
Pemilihan kasut yang betul mampu mengurangkan risiko kecederaan pada kaki. Kasut yang bersesuaian dengan ukuran kaki hendaklah menjadi keutamaan apabila anda membeli kasut. Bukan bergantung kepada kecantikkan kasut yang akan mempersonakan anda.
Pilih kasut samaada untuk berjalan atau kasut sukan yang dibuat dari material yang lembut terutamanya pada tapak kaki. Seeloknya ia mempunyai bahagian yang akan membenarkan pengaliran udara untuk mengelakkan kaki anda berpeluh. Cuba elakkan dari memakai kasut jenis terbuka di bahagian hujung atau jenis sandal yang mempunyai tali antara ibu jari dan jari kaki kerana ia boleh mencederakan jari kaki anda. Kasut yang anda pilih haruslah muat dengan kaki anda dan ada ruang yang mencukupi bagi jari-jari kaki.
Elakkan daripada memakai kasut yang terlalu ketat, bertumit tinggi dengan bahagian depan yang tirus kerana ia akan memberikan tekanan yang tinggi pada kaki dan boleh menyebabkan kaki anda melecet. Masa terbaik untuk membeli kasut adalah pada waktu petang apabila kaki anda berada dalam keadaan yang sedikit besar atau mengembang. Jika kasut yang dipakai sewaktu kaki anda mengembang berasa selesa, ia pasti akan dapat memberi keselesaan sepanjang hari.Sentiasa memakai kasut dengan stoking untuk membantu mengelakkan melecet atau kesakitan pada kaki. Pilih stoking yang lembut dan diperbuat daripada kapas atau campuran kapas yang boleh menyerap peluh dan membantu mengekalkan kekeringan kaki.
Elak daripada memakai stoking yang terlalu ketat terutamanya di pergelangan kaki kerana ia boleh menyekat aliran darah ke kaki anda. Tukar stoking setiap hari atau apabila kotor. Ingat! Sentiasa melakukan pemeriksaan terutama di bahagian dalam kasut anda bagi memastikan tidak terdapat benda asing, benda tajam sepertu paku ataupun binatang berbisa. Perkara yang disebutkan seperti di atas akan menyebabkan kemelecetan atau kesakitan pada kaki selain memberi kecederaan di tapak kaki.
Hargailah kaki anda. Jika terjadi luka dan ia berlarutan, segeralah berjumpa doktor. Jangan tunggu sehingga luka menjadi teruk baru ingin mendapatkan rawatan. Rawatan awal dapat mengurangkan komplikasi dari menjadi bertambah teruk dan melarat.
Kurangkan manis dalam minuman,
Tambahkan manis dalam senyuman.
Nur Nabiila Masfuzah Abdullah seorang jururawat terlatih yang sangat menitikberatkan pendidikan pesakit bagi meningkatkan kesedaran kesihatan. Beliau juga seorang ahli Medical Mythbusters Malaysia.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]