Tips Penjagaan Warga Emas – Muhammad Haizril Arif Md Mokhtar

SIRI CERIA SEPANJANG USIA

 

Memahami perubahan warga emas.

Proses penuaan merupakan suatu proses biasa yang dialami oleh setiap individu. Proses perubahan biologi, fisiologi dan psikologi akan berlaku pada setiap tahap kehidupan yang bermula dari tahap bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah ke peringkat tua. Seterusnya proses tersebut akan mempengaruhi perubahan fizikal, emosi, kognitif, tingkah laku dan sosial seseorang. Proses ini akan menyebabkan setiap fungsi atau keadaan diri seseorang berubah atau semakin berkurangan. Sebagai contoh, impak penuaan juga telah menyebabkan seseorang individu itu kehilangan atau tidak dapat mengekalkan keseimbangan badan. Faktor keturunan (genetik), pemakanan, persekitaran dan gaya hidup individu turut mempengaruhi proses penuaan.

 

Bagaimana berhadapan dengan warga emas?

Secara umumnya kita mengetahui warga emas mempunyai ragam yang pelbagai. Persoalan ini bukan suatu perkara yang remeh kerana ramai di kalangan penjaga yang mengalami tekanan kerana tiada kemahiran dalam asas penjagaan warga emas. Wacana ini juga menyelitkan secara ringkas dengan menyenaraikan beberapa kemahiran yang perlu dimiliki oleh penjaga warga emas supaya dapat memberikan perkhidmatan yang selaras dengan keperluan dan kehendak warga emas tersebut.

 

Mempunyai pengetahuan asas penjagaan warga emas:

 

  • Pengetahuan mengenai permasalah kesihatan:

Perihal ini penting bagi memastikan seseorang penjaga itu memahami dan dapat memberikan respon segera sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Pengetahuan kesihatan ini merangkumi jenis penyakit, ubat-ubatan yang diambil serta kesan sampingan ubat tersebut, tempat rawatan dan pakar-pakar perubatan yang merawat warga emas tersebut.

 

  • Pengetahuan tentang perubahan diri warga emas:

Ramai di kalangan penjaga yang gagal mendapat keserasian dengan warga emas yang dijaga. Salah satu sebabnya ialah, mereka tidak memahami perubahan diri seseorang warga emas seperti kemampuan kognitif, kecergasan fizikal dan kestabilan emosi. Justeru, penjaga perlu fahami dan belajar tentang perubahan-perubahan yang akan berlaku dan sedang dialami oleh warga emas.

 

  • Pengetahuan pengurusan warga emas:

Dalam aspek ini, penjaga perlu sedar bahawa terdapat banyak isu pengurusan yang perlu ditangani oleh penjaga warga emas. Isu-isu tersebut mencakupi pengurusan kewangan, pengurusan harta dan pengurusan kesihatan warga emas. Kesemua perkara tersebut perlu difahami dan boleh dipelajari sama ada melalui pembacaan, perkongsian pengalaman mahupun mendapatkan khidmat nasihat secara professional. Oleh itu, penjaga tidak perlu malu untuk berkongsi pengalaman atau permasalahan mereka dan mendapatkan bantuan dari orang lain.

 

Meningkatkan daya kesabaran:

Adalah sedia maklum bahawa menjaga warga emas sememangnya suatu tugasan yang mencabar serta memerlukan kesabaran yang tinggi.

Kejayaan penjaga dalam urusan penjagaan warga emas juga terletak kepada ketinggian kesabaran yang ada dalam diri mereka. Namun, bagaimana ingin menjadi penyabar? Persoalan ini boleh dijawab sekiranya penjaga mempunyai daya integriti yang tinggi seperti ikhlas, jujur dan bertanggungjawab.

Amalan nilai-nilai murni juga amat membantu bagi menenangkan diri penjaga untuk mengharungi segala cabaran dan karenah yang ditimbulkan oleh warga emas tersebut.

Seperkara lagi ialah meletakkan keyakinan bahawa tuhan akan mempermudahkan urusan bagi seseorang yang berniat baik. Keyakinan tersebut akan melonjakkan motivasi diri untuk terus komited dalam urusan penjagaan warga emas tersebut.

 

Kemahiran melayan:

Penjaga juga perlu mempunyai kemahiran melayan yang baik. Layanan yang lembut, sopan dan mesra dengan interaksi komunikasi yang berkesan boleh membuatkan seseorang warga emas merasa dirinya dihargai dan disayangi. Keadaan ini mampu membuatkan warga emas komited terhadap penjaganya, sekaligus akan memudahkan dan melancarkan proses penjagaan warga emas tersebut.

 

Kemahiran berkomunikasi:

Sesetengah warga emas sememangnya suka bercerita dengan mengimbau sejarah-sejarah silam mereka. Pada hakikatnya mereka berada dalam kesunyian dan memerlukan teman untuk berbual.

Oleh itu, penjaga perlu bersedia untuk mendengar dan mahir memberikan respon terhadap perkara yang disampaikan oleh warga emas tersebut. Sebagai pendengar yang baik perlulah beri tumpuan terhadap perkara yang disampaikan oleh penyampainya.

Ketika memberi maklum balas, penjaga perlu menggunakan ekspresi muka, nada suara, penggunaan kata dan bahasa badan yang betul supaya wujud satu interaksi dua hala yang berkesan. Seseorang warga emas akan rasa seronok dan merasai kehadiran mereka dihargai.

 

Empati terhadap masalah-masalah warga emas:

Empati atau memahami warga emas bukan semudah perkataan yang disebut. Menjadi seorang yang berempati, penjaga perlu mengenali dan peka terhadap sebarang situasi yang dihadapi oleh warga emas dan dapat bertindak mengikut kesesuaian dalam memberikan bantuan dan jagaan.

Dengan itu penjaga dapat memahami permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh warga emas tersebut dan akan lebih memudahkan mereka untuk merancang usaha untuk memberikan bantuan. Penjaga akan menjadi lebih matang dalam menguruskan jagaan warga emas tersebut.

Kesimpulan

Kebergantungan warga emas berlaku apabila mereka yang dahulunya mampu berdikari namun kini menjadi uzur dan terpaksa bergantung kepada orang lain yang menjadi penjaga mereka. Dalam intitusi kekeluargaan, adalah menjadi keperluan setiap individu untuk melindungi dan menjaga ahli keluarga yang sudah tua, sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka yang tidak ternilai terhadap kita.

Oleh itu, tips di atas telah merungkai secara ringkas mengenai isu-isu serta langkah-langkah bagi menghadapi situasi yang pelbagai ketika menggalas tanggungjawab menjaga warga emas.

Kemahiran asas penjagaan warga emas merupakan kunci utama untuk menjadi seorang penjaga yang berkualiti. Ianya mampu membuatkan seseorang penjaga mempunyai satu sikap yang positif serta sentiasa bersedia dengan kemungkinan situasi yang berlaku kepada warga emas yang dijaga. Persediaan mental dan fizikal yang rapi juga menjadi satu keperluan yang wajib dititikberatkan oleh mana-mana individu yang ingin menjaga warga emas.

Pepatah Inggeris ada menyatakan bahawa ‘the more you give, the more you get’, maka percayalah bahawa setiap pengorbanan itu akan mendapat balasan yang setimpal daripada Tuhan. Mungkin suatu ketika nanti anak-anak atau waris kita pula yang akan komited menjaga kita sewaktu kita di usia emas kelak.

 

Muhammad Haizril Arif Bin Md Mokhtar
memperolehi Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) (Komunikasi Antarapersonal), dari UiTM Shah Alam.

Beliau adalah seorang Penolong Penyelidik yang bekerja di bawah projek Prevent Elder Abuse and Neglect Initiative (PEACE) selama 4 tahun di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan & Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Beliau bertanggungjawab menjalankan tugas yang melibatkan komunikasi dan advokasi dalam memberi penerangan, pendidikan dan pendedahan tentang isu warga emas di Malaysia.

Minat dalam bidang tanggungjawab sosial korporat dan pelibatan komuniti ini menjadi salah satu sumber inspirasi untuk beliau terus berkhidmat dalam projek PEACE ini.

Beliau juga pencipta slogan ‘Warga Emas Disayangi, Masyarakat Disanjungi’ merujuk kepada pencapaian projek PEACE ini dalam menerbitkan buku ‘Panduan Penjaga Warga Emas’.

Rujukan:

  1. Farizah Mohd Hairi, Choo Wan Yuen, Noran Naqiah Hairi. (Eds) (2019). Panduan Penjaga Warga Emas. Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur
  2. Mohd Hairi, F., Hairi, N.N., Choo W. Y., Othman, S., Koh, E.Y., Md Mokhtar, M.H.A. (2017). Panduan Penjaga Warga Emas. Kuala Lumpur: Julius Centre University of Malaya. (Manual for Caregivers of Older Persons)

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box