Tolong, Bahu Bayi Sangkut! – Dr Muhammad Izzat

shoulder_dystocia_at_birthApakah yang dimaksudkan dengan bahu bayi sangkut ketika bersalin?

Ianya berlaku apabila kepala bayi sudah dilahirkan tetapi salah satu bahunya tersangkut pada belakang tulang pubis ibu, sekaligus melambatkan kelahiran badan bayi tersebut. Jika kejadian bahu sangkut ini terjadi, pertolongan tambahan perlu diberikan oleh penyambut kelahiran untuk melepaskan sangkutan bahu bayi. Walau bagaimanapun dalam kebanyakkan kes, bayi selalunya dilahirkan dengan selamatnya.

Berapakah kekerapan terjadinya kejadian bayi bahu sangkut ketika bersalin?

1 dalam 150 (0.7%) kelahiran normal (vaginal birth)

Bolehkan kejadian bahu bayi sangkut diramal dan dijangkakan?

Kejadian bahu bayi sangkut berlaku dengan tidak disangkakan ketika kelahiran dan kebanyakkan masa ianya tidak boleh diramal, bila ianya akan berlaku. Tetapi ada beberapa faktor menyebabkan kejadian bahu bayi sangkut ini mungkin berlaku :

  • Sejarah kelahiran terdahulu dengan masalah bahu bayi sangkut.
  • ibu mempunyai kencing manis (diabetes)
  • BMI ibu > 30 kg/m2 atau lebih
  • Kelahiran yang dipaksa (induced labour)
  • Proses kelahiran yang mengambil jangka masa yang panjang (prolonged labour)
  • Kelahiran yang dibantu oleh Forceps atau Ventouse/Vacumm

Kejadian bahu bayi sangkut selalunya terjadi pada bayi-bayi yang besar. Walaupun begitu selalunya tiada masalah untuk melahirkan bayi-bayi besar dalam majoriti kesnya yang mana melebihi 4.5 kg. Dalam kebanyakan kes bahu bayi sangkut didapati berat bayinya adalah kurang daripada 4 kg.

Bolehkan kejadian bahu bayi sangkut dicegah?

Dalam kebanyakan kes, kejadian bahu bayi sangkut tidak boleh dicegah kerana ianya sukar diramalkan bila ianya akan berlaku.

Walaupun begitu, jika ibu menghidapi kencing manis ketika hamil, anda seharusnya diberikan pilihan untuk bersalin awal (induction of labour) ataupun pilihan untuk bersalin secara pembedahan caesarean. Ini dapat mengurangkan risiko terjadinya bahu bayi sangkut ketika bersalin.

Jika anda tidak menghidapi kencing manis, pilihan untuk bersalin awal tidak akan mengurangkan risiko untuk terjadinya kejadian bahu bayi sangkut ini, walaupun bayi anda diramalkan besar. Pilihan untuk bersalin secara pembedahan caesarean juga tidak dicadangkan untuk anda. 

Apakah yang akan berlaku sekiranya terjadi kejadian bahu bayi sangkut ketika bersalin?

Penyambut kelahiran sudah bersiap sedia sekiranya ada terdapat beberapa faktor seperti yang dinyatakan seperti di atas.

Kejadian bahu bayi sangkut adalah KECEMASAN, maka jika ianya berlaku perlu ditangani dengan segera, tanpa berlengah-lengah kerana bahu bayi perlu dilepaskan daripada sangkutan supaya badan bayi dapat dilahirkan dan bayi boleh bernafas secara normal. Penyambut kelahiran akan meminta tolong dan membunyikan loceng kecemasan supaya beberapa kakitangan terlatih – doktor perbidanan, doktor bayi dan kakitangan perbidanan yang lain berada di tempat kejadian untuk membantu anda.

Ianya berlaku dengan sangat cepat, dan dalam sekelip mata terlalu banyak kakitangan yang diperlukan untuk menangani kecemasan ini berada dalam dewan bersalin. Keadaan ini akan menyebabkan anda berasa takut dan gusar. Walau bagaimanapun anda diminta terus bertenang kerana doktor perbidanan dan kakitangan perbidanan yang terlibat adalah terlatih dan boleh membantu anda dalam kelahiran yang melibatkan bahu bayi sangkut, dengan cepat dan selamatnya.

Doktor perbidanan/penyambut kelahiran akan:

  • Meminta anda supaya berhenti meneran
  • Akan mengubah kedudukan dan posisi ibu supaya lebih banyak ruang di dalam vagina. Anda akan diminta untuk baring dan kedua-dua belah kaki anda ditolak ke luar dan ke atas, dekat dengan dada, dikenali sebagai McRoberts Manoeuvre
  • Sedikit tekanan akan diberikan pada bahagian atas ari-ari untuk membantu melepaskan sangkutan bahu bayi (suprapubic pressure )
  • Episiotomy dilakukan , untuk membesarkan bukaan vagina sekiranya perlu melakukan kaedah lain untuk melepaskan sangkutan bahu

Selalunya dengan kaedah-kaedah ini bayi dapat dilahirkan dengan selamatnya. Jika bayi tetap tidak dapat dilahirkan,

  • Doktor perbidanan akan memasukkan tangan nya ke dalam vagina untuk melepaskan sangkutan bahu bayi
  • Anda mungkin akan dibantu untuk pusing kepada posisi ‘all fours’ yang mana dapat melepaskan sangkutan bahu bayi

Apakah yang akan terjadi kepada saya dan bayi saya selepas insiden bahu sangkut semasa kelahiran?

Ibu mungkin mengalami koyakkan yang teruk semasa kelahiran sehingga boleh melibatkan lubang dubur. Tumpah darah selepas bersalin boleh berlaku, kadangkala memerlukan transfusi dan pemindahan darah.

Untuk bayi pula, 1 daripada 10 bayi ( 10% ) yang mengalami bahu sangkut ketika bersalin mengalami kecederaan pada saraf brachial plexus , menyebabkan sebahagian anggota yang terlibat tidak boleh digerakkan. Jenis yang biasa terjadi dinamakan Erb’s palsy . Walaupun begitu, kecederaan ini hanyalah sementara dan pergerakkan tangan yang terlibat akan kembali pulih dalam beberapa jam atau hari. Kecederaan kekal sangat jarang berlaku.

Perlu diingatkan , kecederaan pada saraf brachial plexus bukan sahaja berlaku pada kejadian bahu bayi sangkut ketika bersalin normal, ianya juga boleh terjadi pada bayi yang dilahirkan secara pembedahan caesarean.

Kadangkala, kejadian bayi bahu sangkut ini boleh menyebabkan tulang bahu bayi patah. Walaupun begitu, dalam kebanyakkan kes, bayi sembuh seperti sediakala.

Walaupun langkah berjaga-jaga telah diambil dan pertolongan kecemasan diberikan segera ketika bahu bayi sangkut, bayi mungkin mengalami masalah otak kerana kekurangan oksigen sampai ke otak ketika insiden bahu sangkut itu berlaku .

Bagaimana dengan kelahiran saya yang berikutnya di masa hadapan?

Jika kelahiran kali ini anda mengalami masalah bahu bayi sangkut, risiko untuk ianya berulang kembali adalah sangat tinggi. 1 dalam 10 wanita yang bersalin akan mengalaminya sekali lagi. Maka, doktor perbidanan anda akan berbincang dengan anda dan pasangan anda cara yang terbaik untuk melahirkan bayi anda yang berikutnya . Anda mungkin memilih untuk bersalin secara normal (vaginal birth), jika ketika kejadian bahu bayi sangkut itu, bahu senang dilepaskan, dan bayi anda sihat dan bebas daripada komplikasi yang lain dan tidak mempunyai faktor-faktor lain. Anda boleh memilih untuk bersalin secara pembedahan caesarean, jika sebaliknya.

Artikel ini ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Registrar Obstetrik & Ginekologi ( O&G) kini berkhidmat di sebuah hospital di Kuala Lumpur. 

Rujukan

  • Shoulder dystocia – Information for you By Royal College of Obstetricians & Gynaecologists United Kingdom. Published in March 2013, Next review in 2016

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box